Beberapa penduduk di sebuah blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Bedok Reservoir dikejutkan apabila air berwarna coklat keruh mengalir dari paip rumah mereka beberapa hari lalu.

Insiden ini mencetuskan kebimbangan mendalam mengenai tahap keselamatan bekalan air di kediaman mereka.

Agensi air negara PUB mengesahkan telah menerima laporan mengenai kejadian di Blok 611 Bedok Reservoir Road itu pada 16 Jun, susulan maklum balas daripada seorang penduduk.

PUB dan Majlis Bandaran Aljunied-Hougang (AHTC) telah menjalankan pemeriksaan bersama di unit terjejas pada 5.30 petang hari yang sama.

“Kami telah melakukan proses pembersihan di unit terjejas, serta dua lagi unit di tingkat sama, dan pemeriksaan sampel daripada paip utama PUB mengesahkan tiada sebarang ketidakselarasan pada kualiti air,” jelas PUB.

Pihak majlis bandaran juga telah membersihkan paip perkhidmatan air dalaman yang terjejas, sekali gus menyelesaikan masalah perubahan warna air tersebut.

PUB kini bekerjasama dengan majlis bandaran dan penduduk bagi menyiasat punca sebenar insiden berkenaan.

Salah seorang penduduk wanita terjejas memberitahu portal berita 8World, bahawa beliau mendapati air yang paipnya berwarna keruh pada 12, 15, dan 16 Jun.

Menerusi hantaran di TikTok dengan nama akaun @sl33pydumpling, penduduk tersebut berkata air berkenaan mengeluarkan bau logam dan insiden itu berlaku berulang kali.

“Ia berlaku sebanyak tiga kali dalam tempoh 48 jam.”

Namun, ini bukanlah kali pertama penduduk itu berdepan dengan gangguan sedemikian.

Beberapa bulan lalu, air berwarna karat pernah mengalir dari paipnya, namun beliau sekadar menganggapnya sebagai kesan sampingan rutin pembersihan tangki air.

Dalam insiden terbaru ini, beliau membiarkan air mengalir sehingga sejam, namun mendapan kuning tetap degil membekas di sinki dan mangkuk tandasnya.

Difahamkan, masalah tersebut hanya melanda unitnya dan beberapa jiran di tingkat yang sama.

Rasa bimbang kian menghantui apabila beliau tersedar telah menggunakan air keruh itu untuk menggosok gigi, sekali gus mempersoalkan tahap keselamatannya.

Kini, beliau hanya mampu menanti keputusan ujian sampel air dengan penuh tanda tanya.

Ketika dihubungi The Straits Times (ST) pada 18 Jun, penduduk itu mengesahkan bahawa air paip di rumahnya akhirnya kembali jernih.