Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pakar bedah pemindahan ginjal perintis S’pura meninggal

Feb 3, 2025 | 8:15 PM
Dr Chan Kong Thoe (tengah) mencipta sejarah perubatan apabila melakukan pemindahan buah pinggang pertama di Singapura.
Dr Chan Kong Thoe (tengah) mencipta sejarah perubatan apabila melakukan pemindahan buah pinggang pertama di Singapura. - Foto NUH

Dr Chan Kong Thoe, yang melakukan pemindahan buah pinggang pertama di Singapura pada 1970, meninggal dunia pada usia 95 tahun pada 1 Februari. 

Dr Chan mencipta sejarah perubatan di Singapura apabila beliau memberi Cik Doreen Tan, ketika itu berusia 29 tahun, kehidupan baru dengan pemindahan buah pinggang Singapura yang pertama.

Dalam tempoh 55 tahun sejak itu, pakar bedah di Singapura telah melakukan ribuan pemindahan buah pinggang menggunakan organ daripada penderma hidup dan yang telah meninggal dunia. 

Pemindahan buah pinggang kepada pesakit kegagalan buah pinggang memberikan jangka hayat lebih panjang serta mutu kehidupan yang lebih baik.

Dr Chan meninggalkan isterinya, Dr Chan Tuck Kin, tiga anak perempuan, enam cucu dan seorang cicit.

Profesor A. Vathsala, pengarah Pusat Universiti Nasional untuk Pemindahan Organ, menyifatkan Dr Chan, yang berkhidmat dua penggal sebagai presiden Kelab Tanglin berprestij, sebagai “tokoh perintis dalam sejarah perubatan Singapura”.

Beliau berkata bahawa pembedahan pemindahan pertama yang dilakukannya pada 1970 “telah membuka jalan bagi pemindahan buah pinggang penderma hidup serta prosedur pemindahan organ lain seperti jantung, hati, paru-paru dan pankreas di Singapura dalam tempoh lima dekad berikutnya”.

Beliau menambah: “Visi dan komitmen beliau dalam memajukan amalan perubatan telah meninggalkan legasi berpanjangan dalam bidang pemindahan organ di Singapura, menyelamatkan banyak nyawa melalui kerja perintisnya, dan memberi inspirasi kepada generasi akan datang pakar bedah, doktor pemindahan dan karyawan penjagaan kesihatan di Singapura.”

Prof Vathsala berkata Cik Tan “menjalani kehidupan dengan buah pinggang yang berfungsi sangat baik selama hampir 22 tahun”.

Cik Tan, yang menghidapi penyakit buah pinggang selama beberapa tahun sebelum pemindahan, telah menjalani dialisis selama beberapa bulan sehingga buah pinggang daripada penderma yang telah meninggal dunia tersedia.

Beliau sebenarnya berada di tempat ketiga dalam barisan untuk pemindahan. Tetapi salah seorang daripada dua pesakit sebelumnya telah meninggal dunia, manakala seorang lagi sakit, dan tidak dapat menjalani pemindahan.

Penderma, Encik Yee Kwok Chong, yang berusia 20 tahun ketika itu, berada di hospital akibat ketumbuhan di otaknya. Apabila doktor memberitahu ibunya bahawa beliau berada di ambang kematian, Encik Yee bersetuju mendermakan buah pinggangnya.

Dr Chan, yang ketika itu merupakan ketua Jabatan Pembedahan Universiti Singapura, menghabiskan tiga jam menjalankan pembedahan untuk memasukkan buah pinggang ke bahagian kiri Cik Tan. 

Pasukan lain telah mengeluarkan buah pinggang daripada Encik Yee.

Prosedur di Hospital Besar Singapura (SGH) itu dianggap “percubaan”. 

Pasukan yang terlibat telah menjalani latihan ke atas anjing selama setahun sebelum pemindahan pertama ke atas manusia dilakukan.

Hanya selepas pembedahan, Dr Chan mendapati penderma itu meninggal dunia akibat jangkitan otak, dan bukan ketumbuhan otak. 

Namun, beliau memutuskan untuk membiarkan buah pinggang itu kekal di tempatnya dan berusaha melawan sebarang jangkitan yang mungkin timbul.

Keadaan berjalan lancar dan dalam masa beberapa hari, Cik Tan sudah mampu duduk dan berbual dengan suaminya semasa lawatan hariannya.

Beliau dibenarkan keluar dari hospital pada September tahun itu.

Namun, ubat yang perlu diambilnya selepas pemindahan itu menyebabkan artritis pada sendi pinggul kirinya. 

Empat tahun selepas pemindahan, Cik Tan memerlukan tongkat untuk berjalan.

Namun, beliau tetap bersyukur dengan peluang hidup baru yang diberikan oleh pemindahan itu, dan beliau banyak membantu pesakit pemindahan buah pinggang yang lain dengan nasihat dan galakan.

Pada 1990, Cik Tan dan Dr Chan menghadiri majlis perjumpaan sempena memperingati peristiwa tersebut di Blok Bowyer, SGH, tempat pembedahan dilakukan. 

Kira-kira 150 orang, termasuk lebih 40 penerima buah pinggang lain, turut menghadiri acara itu.

Upacara persemadian Dr Chan diadakan di Island Hall, Woodlands Memorial, sehingga 5 Februari.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg