Singapura mungkin telah merasai kesan El Nino ketika cuaca kering dan berjerebu melanda pada September dan Oktober lalu. Namun, ia dijangka tidak menjejas cuaca “musim sejuk” di negara ini pada penghujung 2026.

Menurut pakar yang ditemu bual oleh The Straits Times (ST), Singapura dijangka terus mengalami hujan berpanjangan, angin kencang dan suhu lebih sejuk sepanjang Disember. 

Perkhidmatan Kaji Cuaca Singapura (MSS) memberitahu ST: “Kawasan sekitar Singapura termasuk Sumatera dan Kalimantan Barat lazimnya mengalami jumlah hujan pada paras purata atau lebih tinggi antara Disember hingga Februari ketika fenomena El Nino berlaku.”

Fenomena El Nino menyebabkan cuaca lebih panas dan kering di kawasan khatulistiwa Asia Tenggara. Fenomena yang mula terbentuk pada pertengahan 2026 itu digelar El Nino “Godzilla” kerana kekuatannya yang luar biasa.

MSS sebelum ini menyatakan bahawa El Nino kali ini berpotensi menjadi antara yang paling kuat dalam beberapa dekad, malah mungkin yang terkuat pernah direkodkan. 

Fenomena itu turut memburukkan kebakaran hutan dan tanah gambut di Indonesia sehingga menyebabkan jerebu menyelubungi Singapura antara September dan Oktober. 

Ketika itu, tahap pencemaran udara mencecah paras sangat tidak sihat, sekali gus menjadikan krisis jerebu tersebut yang terburuk di rantau ini dalam tempoh lebih sedekad.

Profesor klimatologi bandar di Universiti Nasional Singapura (NUS), Prof Matthias Roth, berkata pengaruh El Nino terhadap jumlah hujan di Singapura tidak begitu ketara ketika musim monsun timur laut. 

Lihat berita utama daripada semua kategori di satu tempat.

Ketika musim monsun timur laut, angin bertiup dari Hemisfera Utara yang lebih sejuk menuju ke kawasan khatulistiwa. Singapura lazimnya mengalami hujan lebat dan suhu lebih rendah ketika fasa basah monsun pada Disember dan Januari.

“Disember dan Januari biasanya merupakan bulan yang menerima hujan paling banyak. Singapura masih berkemungkinan mengalami hujan lebat berpanjangan akibat tiupan angin monsun, walaupun jumlah hujan keseluruhan mungkin lebih rendah daripada biasa,” katanya.

Namun, kesan El Nino dijangka kembali dirasai sekitar Februari dan Mac.

Singapura biasanya mengalami cuaca lebih kering pada tempoh tersebut apabila kawasan yang membawa hujan monsun bergerak ke selatan.