Insiden gelora udara ekstrem yang ditempuh pesawat syarikat penerbangan Singapore Airlines (SIA) – yang mengakibatkan seorang penumpang maut dan puluhan lain cedera – telah menyebabkan kesan psikologi atau trauma kepada mereka yang terselamat.
Seorang penumpang yang menyifatkan pengalaman dalam pesawat SQ321 itu sebagai “cukup menakutkan” berkata beliau mungkin tidak akan terbang lagi untuk jangka masa tertentu.
Seorang lagi penumpang menceritakan bahawa beliau muntah selepas sedar (daripada pengsan) di lantai kapal terbang ekoran fenomena udara itu, dan turut mendengar tangisan orang lain, serta melihat darah di sekelilingnya.
Pesawat tersebut mengalami gelora udara ekstrem pada 21 Mei di Lembangan Irrawaddy di Myanmar, kira-kira 10 jam setelah berlepas dari London ke Singapura.
Juruterbang kemudian mengisytiharkan kecemasan perubatan dan melencongkan pesawat itu ke Lapangan Terbang Suvarnabhumi di Bangkok.
Sedang penumpang kini menjalani proses pemulihan, The Straits Times (ST) bercakap dengan beberapa pakar untuk mengetahui kesan psikologi daripada pengalaman mengerikan itu terhadap penumpang dan kru kabin pesawat itu, dan malah orang tersayang mereka.
Karyawan kesihatan mental dan pengasas Budding Space, Dr Amanda Oh, berkata pengalaman traumatik yang dialami seseorang boleh membuat mindanya sukar memahami atau memproses sesuatu keadaan.
“Bagi pengalaman unik sedemikian seperti apa yang dialami penumpang ini, ia adalah satu pengalaman yang amat memberi kesan,” kata Dr Oh, sambil menambah insiden tersebut boleh menyebabkan kesakitan psikologi dan fisiologi.
Mereka yang berada dalam pesawat itu boleh mengalami masalah kesihatan mental, termasuk gangguan tekanan akut (ASD), gangguan tekanan selepas trauma (PTSD) dan gangguan kebimbangan.
Pakar psikologi klinikal utama di Annabelle Psychology, Dr Annabelle Chow, pula berkata sehingga sebulan selepas kejadian itu, mereka yang terjejas boleh mengalami ASD, termasuk gejala seperti terbayang semula insiden itu secara berulang kali dan tanpa disengajakan, perubahan selera makan dan tidur, serta hilang ingatan bagi sesuatu kejadian khusus atau perinciannya.
Untuk meningkatkan rasa selamat, penumpang yang terjejas harus mengekalkan gaya hidup sihat dan melakukan kegiatan seperti berjalan kaki dan berenang, yang akan membantu minda memproses pengalaman traumatik itu dengan lebih baik, kata Dr Oh.
Menurut beliau, seseorang yang melalui pengalaman traumatik mungkin berasa dirinya kurang selamat.
“Anda mungkin selamat di dalam bilik anda tetapi anda mungkin tidak menganggap diri anda selamat, kerana fikiran anda sentiasa berwaspada dan melihat-lihat (sekiranya wujud) ancaman. Jadi anda akan terus mengingati semula pengalaman itu,” ujar Dr Oh.
Anggota keluarga juga boleh memainkan peranan dengan memenuhi keperluan mereka yang terjejas.
“Contohnya, jika (individu yang trauma) mahu menangis atau bercerita mengenainya, biarkan mereka berbuat demikian,” jelasnya.
Pengarah perubatan di klinik Resilienz, Dr Thomas Lee, pula mengesyorkan mereka yang terjejas menjalani terapi yang digelar ‘penyahpekaan dan pemprosesan semula pergerakan mata’ (EMDR), iaitu satu kaedah popular dalam terapi trauma.
Berbanding penumpang, kru kabin mungkin mengalami kesan kesihatan mental yang lebih teruk.
“Anda mungkin berfikir mereka sudah biasa menempuh gelora udara, tetapi kes kali ini cukup teruk,” kata Dr Lee, sambil menambah bahawa amat baik jika khidmat kaunseling diberikan kepada kru kabin sebagai langkah pencegahan awal.
Dr Oh menyatakan kru kabin boleh pulih daripada insiden tersebut apabila mereka dapat memproses insiden traumatik itu.
Beliau menjangka minat kru kabin untuk terus ‘terbang’ dan pilihan mereka untuk meneruskan pekerjaan tersebut tidak akan terjejas.
Ketiga-tiga pakar tersebut berharap mereka yang terjejas berupaya pulih, dan bersetuju bahawa tempoh masa pemulihan bergantung kepada individu.
Menurut Dr Lee, berdasarkan pengalamannya, proses pemulihan boleh mengambil masa berbulan-bulan, malah bertahun-tahun.
Tahap kesakitan dan penderitaan yang dirasai individu dalam penerbangan itu, yang ditentukan faktor seperti sama ada mereka dilanggar objek ketika terjadinya fenomena udara itu, akan turut mempengaruhi masa pemulihan, kata Dr Chow.
Proses pemulihan juga lebih panjang jika seseorang masih belum pulih daripada trauma lain yang pernah dialaminya, kata Dr Oh.
“
“Anda mungkin selamat di dalam bilik anda tetapi anda mungkin tidak menganggap diri anda selamat, kerana fikiran anda sentiasa berwaspada dan melihat-lihat (sekiranya wujud) ancaman. Jadi anda akan terus mengingati semula pengalaman itu.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg