Singapura akan terus menaik taraf perusahaannya, termasuk sektor tenaga dan bahan kimia (E&C), bagi mencapai perkilangan bernilai lebih tinggi, rendah karbon dan lebih mampan, meskipun berdepan persekitaran ekonomi sedunia yang mencabar, kata Timbalan Perdana Menteri Encik Gan Kim Yong.
Bagi mencapai matlamat tersebut, pemerintah akan bekerjasama dengan peneraju industri dan melabur dalam faktor yang menjadikan Singapura berdaya saing.
Ini termasuk tenaga kerja berkemahiran, prasarana bermutu tinggi, persekitaran mesra perniagaan serta penyepaduan dalam aliran tenaga sedunia, barangan dan bakat, kata Encik Gan, yang juga Menteri Perdagangan dan Perusahaan, pada 16 Disember.
Berucap pada majlis perasmian ‘Projek Resid Upgrade’ atau projek naik taraf sisa minyak mentah syarikat gergasi tenaga Amerika Syarikat, ExxonMobil, yang menghasilkan stok asas pelincir bernilai lebih tinggi serta bahan api rendah sulfur, Encik Gan berkata ExxonMobil merupakan antara rakan kongsi paling penting Singapura dalam sektor E&C.
Loji baru itu merupakan satu-satunya kemudahan ExxonMobil di dunia buat masa ini yang menghasilkan stok asas pelincir bertaraf tertinggi, EHC 340 MAX, untuk membekalkan pelanggan di Asia, Eropah dan Amerika Utara, lapor The Straits Times (ST).
“Majlis ini bukan sahaja menandakan permulaan kemudahan baru ExxonMobil di Singapura, malah satu mercu tanda penting dalam perkongsian jangka panjang yang telah membentuk pertumbuhan sektor tenaga dan bahan kimia kita,” kata Encik Gan.
Sektor E&C merupakan tonggak utama asas perkilangan Singapura dan menyumbang kira-kira satu perempat daripada keseluruhan hasil perkilangan negara, selain mengukuhkan kedudukan Singapura dalam rantaian bekalan bahan api dan bahan kimia sedunia.
ExxonMobil, yang membuka kilang penapisan pertamanya di Singapura pada 1966, kini mengendalikan kompleks penapisan dan petrokimia bersepadu di Pulau Jurong dengan pelaburan melebihi $30 bilion setakat ini.
Pelaburan tersebut telah mewujudkan pekerjaan bermutu, keupayaan teknikal mendalam serta rangkaian kukuh pembekal dan penyedia perkhidmatan.
Pada 2024, syarikat itu melancarkan Makmal Korporat ExxonMobil-NTU-A*Star bagi membangunkan penyelesaian untuk mengurangkan pelepasan karbon dan meningkatkan kecekapan sumber.
Encik Gan berkata syarikat E&C kini berdepan tekanan baru akibat lebihan keupayaan sedunia, perubahan permintaan dan peralihan ke arah masa depan sifar bersih.
Namun, Singapura kekal komited menyokong perubahan ini melalui persekitaran operasi yang stabil, tenaga kerja berkemahiran serta ekosistem inovasi dan kemampanan.
Sehubungan itu, Singapura menggariskan visi baru Pulau Jurong sebagai hab bahan kimia khusus dan bahan mampan, serta tapak ujian bagi tenaga baru dan teknologi rendah karbon sedunia.
Kemudahan penapisan khusus ExxonMobil di Pulau Jurong akan meningkatkan keupayaan pengeluaran stok asas Singapura sebanyak 20,000 tong sehari (bpd), sekali gus mengukuhkan perkilangan bernilai tinggi dan menyokong peralihan kepada produk khusus dan berprestasi tinggi.
“
“Majlis ini bukan sahaja menandakan permulaan kemudahan baru ExxonMobil di Singapura, malah satu mercu tanda penting dalam perkongsian jangka panjang yang telah membentuk pertumbuhan sektor tenaga dan bahan kimia kita.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg