Pakar jantung Melayu pertama di Singapura, Profesor Madya Dr Abdul Razakjr Omar, berharap lebih ramai belia berani mengambil risiko untuk berani bukan sahaja mencapai kejayaan, malah keluar daripada zon keselesaan.
“Tidak kira apa bangsa anda, ia tidak penting. Ia adalah apa yang apa yang anda sumbangkan. Usaha keras dan niat sebenar adalah apa yang membuat anda kekal berjaya,” ujar Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Specialist Care Group (SCG), itu ketika berkongsi pengalamannya dalam sesi ketiga Siri Jauhari anjuran Berita Harian (BH) dan OMGxBH pada 26 Julai.
Menyifatkan para peserta sebagai “muda, bertenaga dan bersemangat”, beliau juga ingin belia Melayu/Islam terus mencabar stereotaip sambil menitikberatkan sifat ketekunan dalam diri.
Siri Jauhari adalah ruang pemenang Anugerah Jauhari BH berkongsi kisah inspirasi mereka kepada golongan muda berusia 18 hingga 35 tahun.
Ia diadakan setiap bulan selama enam bulan, dengan sesi pertama menampilkan mantan presiden, Puan Halimah Yacob, pada 31 Mei; dan mantan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bank of Singapore, Encik Bahren Shaari untuk sesi kedua pada 24 Jun.
Dr Razakjr, yang juga pemenang Anugerah Jauhari 2013 itu, menyertai sekitar 50 belia di kafe (working title) di Maktab Seni LaSalle.
Beliau berkongsi kisah kejayaan hidup, kerjaya dan dan cabaran yang dihadapi dalam sesi bertajuk, ‘Atasi Rasa Takut: Keluar Dari Zon Keselesaan’.
Semasa sesi itu, peserta daripada pelbagai latar belakang kaum dan agama juga dibahagikan kepada empat kumpulan dan membincangkan empat topik.
Topik itu termasuk, menyumbang kepada masyarakat sambil mengimbangi kerjaya, keluarga dan pembelajaran berterusan; mempromosikan inklusiviti dan kepelbagaian dalam masyarakat; membina persekitaran yang menggalakkan kecemerlangan dan kejayaan; dan menangani stereotaip dan prasangka.
Antara peserta di sesi itu ialah pembantu pekerja sosial di Hospital Tan Tock Seng, Cik Nurul Ain Jamil, dan pelajar tahun pertama di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Timur, Encik Isa Sulaiman.
Cik Nurul Ain berkata: “Secara umumnya, bekerja dalam industri penjagaan kesihatan adalah industri yang mencabar. Jadi, saya fikir adalah menarik untuk mendengar daripada seseorang yang telah lama berada dalam industri ini.
“Selain itu, beliau sebagai pakar jantung Melayu pertama, saya rasa nilai peribadi memainkan peranan dalam sifat daya tahan untuk terus berada dalam industri ini. Adalah menarik mendengar nilai-nilainya...”
Siri Jauhari disokong unit maklum balas pemerintah, Reach.
Sesi ketiga turut disertai Anggota Parlimen GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah; Editor BH, Encik Nazry Mokhtar; Editor Audiens dan Perkembangan BH, Cik Norhaiza Hashim; dan Pengurus Reach, Encik Muhammad Nizam.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg