Nilai-nilai kerja keras dan berani keluar dari zon keselesaan menjadi pemangkin yang membantu pakar jantung, Profesor Madya Dr Abdul Razakjr Omar, untuk berjaya dalam kehidupan.
Walaupun memasuki sekolah kejiranan, Sekolah Menengah Clementi Town, beliau bekerja keras, cemerlang dalam subjek Biologi dan muncul sebagai pelajar terbaik peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘O’.
Beliau yang dibesarkan di flat sewa di Toa Payoh, menjadi pakar jantung Melayu/Islam pertama pada usia 35 tahun selepas lulus dalam bidang perubatan dari Universiti Nasional Singapura (NUS).
Kini, beliau juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Specialist Care Group (SCG) di Hospital Mount Elizabeth.
Profesor Madya Dr Razakjr, 54 tahun, berkata: “Anda harus menunjukkan bahawa anda sanggup bekerja keras.
“Ia lebih baik jika anda bijak dan mempunyai sifat kerja keras kerana ia membolehkan para mentor untuk membimbing anda dan melalui perjalanan kehidupan bersama.”
“Pada usia saya, apabila saya melihat pekerja, saya suka ciri-ciri seperti kerja keras dan bijak.
“Walaupun anda tidak begitu bijak, tetapi jika anda bekerja keras, anda akan belajar perkara baru dan berkembang,” ujarnya.
Dr Razakjr berkongsi pengalaman hidupnya kepada golongan muda berusia 18 hingga 35 tahun yang hadir dalam, Siri Jauhari, anjuran Berita Harian (BH) dan OMGxBH pada 26 Julai.
Siri Jauhari diperkenalkan dalam usaha menyediakan ruang kepada para pemenang Anugerah Jauhari BH berkongsi pengalaman kerjaya dan kehidupan mereka kepada golongan muda.
Ia juga membolehkan golongan muda menanyakan soalan kepada pemenang Anugerah Jauhari.
Siri bulanan selama enam bulan itu disokong oleh unit maklum balas pemerintah, Reach.
Sesi ketiga Siri Jauhari, yang berlangsung di kafe (working title) di Maktab Seni LaSalle, turut disertai Anggota Parlimen GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah.
Dr Wan Rizal berkata sesi perkongsian oleh Dr Razakjr itu berguna bagi para belia mendapatkan cetusan inspirasi dalam mengemudi kehidupan mereka.
“Ia juga menarik untuk mendengar bahawa mereka (belia) mempunyai banyak saranan bagaimana mereka mahu mengemudi masa depan mereka.
“Kita mahu memastikan bahawa suara mereka bukan sahaja didengar, malah saranan mereka dapat dipertimbangkan,’’ kata Dr Wan Rizal.
Sementara itu, Dr Razakjr berkata tanggungjawab untuk mencapai kejayaan dalam perkembangan peribadi dan profesional bukan sahaja terletak kepada individu itu sahaja.
Malah, persekitaran kerja yang kondusif dan budaya yang menyokong pembangunan berterusan amat membantunya.
“Ciri-ciri tempat (kerja) yang amat membantu dalam kemajuan kerjaya adalah tempat yang membuka ruang untuk pembelajaran.
“Dalam masanya saya perlu laksanakan kerja saya, saya juga harus belajar untuk mendapat pengetahuan baru.
“Selain itu, ia juga penting untuk mempunyai mentor, seorang mentor yang bagus.
“Mengimbas kembali fasa latihan saya dahulu, saya bernasib baik kerana mendapat bimbingan mentor yang baik, yang sanggup duduk bersama saya dan berkongsi secara terus-terang kekuatan dan kelemahan saya,” kongsi Dr Razakjr, penerima Anugerah Jauhari 2013.
Masanya banyak diluangkan di hospital tetapi di atas dorongan dan pengorbanan isteri dan dua anaknya, beliau dapat berjaya dalam kerjayanya.
Dr Razakjr turut menggalakkan golongan belia agar berani keluar dari zon selesa dan mengambil risiko agar mereka dapat mencuba sesuatu yang baru atau sukar.
Beliau juga menjelaskan bahawa dalam konteks sekarang, fahaman meritokrasi itu sentiasa berubah dan harus dijadikan lebih terangkum.
“Terdapat pemikiran bahawa seseorang itu belajar bersungguh-sungguh untuk mendapatkan kemewahan dari segi mempunyai kereta dan rumah yang besar. Sememangnya, mempunyai matlamat tersebut itu adalah bagus.
“Tetapi, bagi saya, tanggapan itu harus berubah. Belajar bersungguh-sungguh, supaya anda memperoleh pengetahuan untuk menjadi insan yang lebih baik.
“Saya belajar kerana saya mahu meningkatkan kemahiran saya untuk merawat pesakit saya dengan lebih berkesan, dan ia memberikan saya kepuasan.
“Adakah saya mendapat sejuta dolar untuk sedemikian? Tidak. Tetapi, saya rasa optimis kerana saya tahu yang saya telah melakukan kerja yang baik,” kongsi beliau.
Meskipun sibuk merawat pesakit, beliau gemar melihat video di TikTok untuk merehatkan minda selepas sibuk bertugas.
Antara peserta yang hadir di sesi itu ialah pembantu pekerja sosial di Hospital Tan Tock Seng, Cik Nurul Ain Jamil, 29 tahun.
Cik Nurul Ain berkata: “Secara umumnya, bekerja dalam industri penjagaan kesihatan adalah industri yang mencabar. Jadi, saya fikir adalah menarik untuk mendengar daripada seseorang yang telah lama berada dalam industri ini.
“Selain itu, demi mencapai gelaran pakar jantung Melayu pertama, saya rasa memiliki nilai peribadi yang kukuh memainkan peranan penting dalam mengekalkan sifat daya tahan untuk terus berada dalam industri ini.”
Bagi Encik Muhammad Irfan Abdul Salim, 23 tahun, seorang karyawan yang bekerja di sebuah bank digital; dan Encik Muhammad Fauzan Abul Fazil, 31 tahun, mantan pegawai pencegahan pengubahan wang haram di sebuah bank di sini, pula berkata mereka telah meraih banyak manfaat melalui pencerahan yang disampaikan.
“Ruang perkongsian seperti ini akan membantu untuk menghubungkan lebih ramai belia dengan golongan dewasa, sesuatu yang tidak kerap berlaku dalam kalangan generasi sebelumnya.
“Menangani masalah yang sukar dan memecahkan halangan adalah mencabar. Jadi, mengadakan interaksi dan dialog seperti ini amat menyegarkan,” ujar Encik Irfan, yang telah menyertai sesi tersebut buat kali pertama.
Mengimbas kembali penekanan Dr Razak terhadap nilai kerja keras ini, Encik Fauzan berkata:
“Beliau seringkali mengulangi perkataan ‘kerja keras’. Bagi sesetengah orang, itu mungkin kelihatan mudah atau common sense (akal budi).
Bagi sesetengah orang pula, ia adalah sesuatu perkara yang tidak semestinya dikongsikan malah membosankan.
“Dr Razakjr adalah seorang yang berjaya dan beliau ialah seorang pakar jantung.
“Jika beliau mengatakan bahawa kerja keras adalah begitu penting, pasti ada makna di sebaliknya,” kongsi beliau, yang akan melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) dalam jurusan Pengurusan.
Dalam pada itu, para peserta turut menyertai salah satu daripada empat kumpulan untuk membincangkan topik mengenai cara menyumbang kepada masyarakat sambil mengimbangi kerjaya, keluarga dan pembelajaran berterusan; mempromosikan inklusiviti dan kepelbagaian dalam masyarakat; membina persekitaran yang menggalakkan kecemerlangan dan kejayaan; serta menangani stereotaip dan prasangka.
Untuk topik membina persekitaran yang menggalakkan kecemerlangan dan kejayaan, para peserta menyarankan pentingnya memupuk iklim sosial yang positif dengan menggalakkan individu melakukan yang terbaik.
Ini termasuk memberi sokongan yang membina meskipun mereka gagal.
Dalam kumpulan perbincangan fokus untuk topik menangani stereotaip dan prasangka pula, para peserta juga berkongsi peri pentingnya mempunyai sekutu atau allies yang bukan sahaja mencabar stereotaip, malah boleh menguatkan suara individu yang terpinggir.
“
Anda harus menunjukkan bahawa anda sanggup bekerja keras. Ia lebih baik jika anda bijak dan mempunyai sifat kerja keras kerana ia membolehkan para mentor untuk membimbing anda dan melalui perjalanan kehidupan bersama.“
Ia juga menarik untuk mendengar bahawa mereka (belia) mempunyai banyak saranan bagaimana mereka mahu mengemudi masa depan mereka. Kita mahu memastikan bahawa suara mereka bukan sahaja didengar, malah saranan mereka dapat dipertimbangkan.“
Secara umumnya, bekerja dalam industri penjagaan kesihatan adalah industri yang mencabar... Demi mencapai gelaran pakar jantung Melayu pertama, saya rasa memiliki nilai peribadi yang kukuh memainkan peranan penting dalam mengekalkan sifat daya tahan untuk terus berada dalam industri ini.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg