Lebih banyak usaha dapat dilakukan bagi meningkatkan kesedaran dan pemahaman terhadap bahaya ideologi sayap kanan dan sayap kiri, apatah lagi dalam kalangan belia.
Antara lain, pakar yang dihubungi Berita Harian (BH) mengusulkan agar ditingkatkan keupayaan golongan belia bagi menilai mana yang benar dan salah, khususnya melibatkan kandungan dalam talian.
Mereka berkata demikian menyusuli Arahan Sekatan (RO) di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang dikenakan terhadap dua warga Singapura, seperti yang didedahkan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD) pada 9 September.
Ia melibatkan seorang pelajar Menengah 3 berusia 14 tahun; dan pemilik perniagaan dalam talian berusia 30 tahun, Muhammad Jihadul Mustaqiim Mahmud.
Identiti pelajar itu tidak didedahkan oleh ISD.
Belia itu merupakan kes pertama meradikalkan diri yang ISD sifatkan sebagai “pencampuran ideologi ekstremis”, berikutan pendedahan dan kaitannya dengan pelbagai ideologi pelampau berbeza.
Menurut ISD, dia penyokong tegar ISIS dan berfahaman anti-Yahudi dengan dukungan ideologi pelampau sayap kanan.
ISD menambah belia itu turut mengakui dirinya sebagai bujang secara terpaksa atau ‘incel’ – golongan bujang yang sebahagian besarnya adalah kaum Adam, yang pasrah dengan nasib tidak bertemu pasangan, sungguhpun mereka mempunyai keinginan.
Pengarah urusan perundingan pendidikan Islam Attawasol Insaniy, Ustaz Dr Leyaket Ali Mohamed Omar, berkata kes remaja itu menunjukkan bahaya kandungan dalam talian, khususnya kandungan yang menyusup ideologi berhaluan sayap kanan atau sayap kiri secara halus ke atas belia.
Ini memandangkan golongan tersebut “tidak mempunyai latar belakang yang cukup” untuk menilai ideologi sedemikian, kata beliau.
“Mereka (golongan belia) biasanya tidak benar-benar memahami ideologi itu secara mendalam, namun tertarik dengan emosi dan naratif ringkas yang dipromosikan seperti ‘mangsa (penindasan) menentang musuh’ atau ‘dunia menindas kita’,” ujar Ustaz Dr Leyaket.
Beliau menambah fenomena mencampuradukkan ideologi itu boleh berlarutan dan sukar dikawal, apatah lagi dengan kandungan dalam talian kini dipacu algoritma.
Ini sekali gus menjadikan golongan belia lebih mudah terseret dalam ruang gema tersendiri, dengan seseorang hanya menemui maklumat atau pendapat yang mencerminkan dan menguatkan pandangan mereka.
Hal itu turut dikongsi anggota Kumpulan Pemulihan Keagamaan (RRG), Ustaz Mustazah Bahari.
Beliau berpendapat lebih banyak kes seperti remaja tersebut dapat dijangkakan pada masa hadapan, disebabkan kandungan dalam talian yang diperoleh dengan mudah.
Oleh demikian, beliau menggesa agar “spektrum kesedaran lebih meluas” terhadap kesan pendedahan berterusan kepada ideologi ekstremis ditingkatkan.
Ini termasuk penerapan program kemahiran pemikiran kritis khas dan kecelikan digital dalam kurikulum di peringkat sekolah atau institut pengajian tinggi.
“Golongan remaja lebih mudah terpengaruh dan mereka masih memerlukan panduan daripada orang dewasa (yang berwibawa).
“Bahkan ada kalanya kegiatan dalam talian belia perlu diperiksa secara berkala,” katanya.
Jika tidak dipantau dan dibiarkan sahaja, ia berupaya menimbulkan kesan yang bukan sahaja dapat membawa mudarat kepada belia terbabit, malah membahayakan orang lain dan menjadikannya lebih sukar untuk memulihkan belia sedemikian, tambah Ustaz Mustazah.
Ia sesuatu yang ditekankan pendidik dan kaunselor RRG, Dr Muhammad Mubarak Habib Mohamed.
Menurutnya, kebimbangan mengenai isu belia menjadi radikal bukan semata-mata tentang bilangan belia yang menjadi radikal, malah, kini ia meliputi cara mereka menjadi radikal, berlatarbelakangkan teknologi dan rangkaian digital.
Dr Mubarak berkata: “Sempadan antara ideologi kian kabur, dan ini didorong oleh perubahan dalam psikologi belia, ekosistem digital dan teknologi AI (kecerdasan buatan).
“Sebelum ini, seseorang individu mungkin mengambil masa berbulan-bulan lamanya untuk mendaki ‘tangga radikalisasi’.
“Hari ini, ia telah dipercepatkan oleh ekosistem berkuasakan AI.
“Wadah dalam talian kini memaparkan kandungan sesebuah ideologi secara tersuai melalui algoritma yang direka untuk memaksimumkan penglibatan, bukan keselamatan.”
Beliau memberi contoh ‘chatbot’ iaitu program komputer sembang yang kini boleh berfungsi sebagai ejen radikal.
Justeru, kepentingan kemahiran berfikiran kritis tidak boleh diambil sambil lewa, katanya, sambil menambah ia juga harus sealiran dengan faktor lain.
“Pemikiran kritis adalah penting, namun ia hanya sebahagian daripada ekosistem yang lebih luas daripada faktor seperti perkembangan, emosi, sosial dan digital, yang membentuk bagaimana orang muda berinteraksi dengan idea, naratif dan identiti dalam dunia hari ini,” ujarnya.
Lebih utama, kata beliau, adalah memberikan ruang untuk belia berasa selamat, terhubung dan diperkasa, agar golongan itu dapat membezakan kandungan berunsur manipulasi, berhenti sejenak sebelum bertindak, serta bijak memilih naratif yang selaras dengan nilai belas kasihan dan keadilan.
Beliau akur proses pemulihan bagi pelajar 14 tahun yang dikenakan RO itu amat rumit, memandangkan ia berunsur gabungan ideologi ekstremis berbeza.
Dr Mubarak menjelaskan: “Pemulihan (bagi belia seperti itu) tidak harus tertumpu pada menghapuskan satu ideologi dan lebih kepada memulihkan keperluan yang menjadikan gabungan ideologi sedemikian begitu meyakinkan.
“Bagi belia, perubahan jarang bermula dengan perdebatan. Ia bermula dengan kepercayaan.
“Fasa awal tertumpu kepada pembinaan hubungan dalam suasana yang selamat, tidak menghukum dengan cepat dan menerima emosi remaja terbabit tanpa menyokong pandangan yang berbahaya.”
Sejak dikenakan RO pada September 2025, pelajar 14 tahun itu menjalani program pemulihan yang merangkumi kaunseling agama oleh RRG serta pemulihan psikologi dan sosial, kata ISD.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg