Lelaki warga Singapura berusia 30 tahun, yang dikenakan Arahan Sekatan (RO) di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada Julai, telah mengunjungi pusat menembak di luar negara untuk berlatih menggunakan senjata.
Malah, dia mempertimbangkan untuk menyertai kumpulan kontraktor tentera privet di Syria kerana ingin mempertahankan orang yang tertindas dan “mati kerana sebab yang bermakna”.
Individu yang dikenakan RO dibataskan pergerakannya dan perlu mematuhi beberapa syarat dan sekatan, seperti tidak dibenarkan menukar tempat tinggal atau pekerjaannya, atau keluar dari Singapura tanpa kelulusan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (ISD). Individu itu juga tidak boleh mengakses Internet serta media sosial tanpa kebenaran Pengarah ISD.
Dalam satu kenyataan pada 9 September, ISD berkata Muhammad Jihadul Mustaqiim Mahmud telah memendam hasrat untuk berjuang menentang rejim bekas Presiden Syria, Bashar al-Assad, sebelum kejatuhan pemimpin itu pada Disember 2024.
Setelah kejatuhan rejim Assad, Jihadul telah mengalihkan perhatiannya kepada pertikaian wilayah yang berlarutan antara Turkey dengan Greece, dan mempertimbangkan untuk menggunakan senjata bagi mempertahankan Turkey.
Dia adalah salah seorang daripada dua warga Singapura yang telah dikenakan RO di bawah ISA dalam beberapa bulan kebelakangan ini. Seorang lagi pelajar Menengah Tiga yang menganggap dirinya anggota ISIS.
Pelajar lelaki berusia 14 tahun itu dikenakan RO pada September.
Menurut ISD, aspirasi Jihadul untuk terlibat dalam konflik bersenjata di luar negara tercetus apabila dia mula mengikuti perkembangan konflik Syria melalui media sosial pada 2011.
Dia mula rasa simpati terhadap warga Syria yang terjejas dengan konflik sejak 2011 itu dan timbul perasaan benci terhadap rejim Assad, yang dilihatnya sebagai menindas.
Jihadul kemudian berhasrat untuk berjuang bersama kumpulan pemberontak Syria bagi menjatuhkan rejim Assad pada lewat 2019.
Walaupun keinginannya untuk berjuang di Syria semakin pudar dan berkurangan, pemilik perniagaan dalam talian itu tetap tertarik dengan idea itu.
Ini termasuk menonton video latihan taktikal dan menyertai aktiviti menembak di luar negara, serta mencari pusat menembak yang menyediakan model senapang serangan yang biasa digunakan oleh kumpulan tentera di Syria dan Turkey.
Meskipun tidak menemui pusat menembak untuk orang awam yang menggunakan senjata tersebut, dia mengunjungi pusat menembak di Phuket, Thailand, dan mencuba tiga jenis senjata api konvensional semasa percutiannya pada Februari 2025.
Selain itu, Jihadul berharap dapat bertemu bekas pejuang Syria yang pernah menentang rejim Assad ketika berkunjung ke Syria, supaya mereka boleh melatihnya dalam pergerakan taktikal dan menembak.
Malahan, dia mengalihkan perhatiannya kepada pertikaian wilayah yang berlarutan antara Turkey dan Greece selepas kejatuhan rejim Assad pada Disember 2024.
Mengikuti perkembangan pertikaian antara Turkey dengan Greece itu sejak 2022, Jihadul melibatkan diri secara mendalam dengan mendapatkan maklumat mengenai isu itu dan mempertimbangkan untuk berjuang bagi mempertahankan Turkey sekiranya berlaku konflik.
Ini kerana dia merasakan Greece telah ‘menzalimi’ Turkey dalam pertikaian tersebut, dan mengagumi pencapaian sejarah Turkey semasa zaman Empayar Uthmaniyah, kata ISD.
Menurut ISD dalam kenyataannya lagi, beberapa rakyat Singapura telah terdorong untuk bertempur bagi pelbagai konflik asing– daripada konflik Syria, Israel-Palestin sehingga kepada pertikaian wilayah lain.
Antaranya ialah seorang remaja 14 tahun yang menyokong Hamas dan menanam hasrat bertempur di bawah Tentera Bendera Hitam – seperti yang diguna pakai oleh kumpulan pengganasan ISIS.
Sehubungan itu, ISD berkata kes Jihadul menonjolkan bagaimana konflik luar negara boleh memberi kesan terhadap keselamatan domestik Singapura.
“Bagi kes Jihadul, dia melihat keganasan bersenjata sebagai cara yang sah untuk membetulkan ketidakadilan politik (sama ada untuk melindungi orang awam di Syria atau mempertahankan Turkey daripada Greece).
“Pada masa yang sama, keinginannya untuk melarikan diri daripada masalah peribadi mendorong dia mencari erti dan tujuan hidup melalui perjuangan bagi mereka yang dianggapnya telah ‘dianiaya’ atau ‘tertindas’ dalam konflik tersebut.
“Ahli keluarga Jihadul tidak mengetahui hasratnya untuk bertempur di luar negara,” ujar ISD.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg