Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, semakin berdepan dengan tekanan mendesak untuk menyatukan kuasanya dalam pemerintah gabungan sayap kanan dalam beberapa minggu akan datang.
Ini setelah parti ortodoks sayap kanan, United Torah Judaism (UTJ), mengumumkan ia menarik diri daripada gabungan pemerintah pada Jun.
Dengan penarikan UTJ, pemerintah gabungan semasa yang diketuainya hanya memegang 61 daripada 120 kerusi Parlimen apabila ia bersidang semula pada hujung Oktober, dengan salah satu tumpuannya kini adalah mengelakkan pilihan raya mengejut, sekiranya satu parti memutuskan mengundur diri daripada pemerintah gabungan.
Ditambah pula dengan desakan para pemimpin dunia supaya menghentikan kegiatan ketenteraan Israel di Gaza, Encik Netanyahu menghadapi cabaran getir dari aspek luaran dan domestik, kata wartawan dan penganalisis di Financial Times dan Forum Dasar Israel, Encik Neri Zilber.
Beliau berkata: “Pada penghujung Oktober, Parlimen Israel akan bersidang semula selepas rehat dan kini berdepan dengan krisis politik domestik yang sebenar.
“Sebahagian besarnya bukanlah berkenaan konflik atau peperangan, tetapi mengenai kerahan golongan ‘ultra ortodoks’ dalam IDF (Angkatan Pertahanan Israel).
“Secara rasmi, parti ultra ortodoks telah keluar daripada pemerintah gabungan tetapi secara tidak rasmi, mereka belum lagi keluar, jadi Encik Netanyahu perlu menangani isu ini atau pemerintah gabungannya akan mengalami masalah besar.”
Encik Zilber berkata demikian selaku anggota panel untuk sesi perbincangan bertajuk ‘Winners and Losers in a New Regional Order’ (Yang Menang dan Kalah Dalam Aturan Rantau Baru) sebagai sebahagian perbincangan Sidang Tahunan Institut Timur Tengah (MEI) di Hotel Orchard pada 2 September.
Dianjurkan MEI Universiti Nasional Singapura (NUS), acara itu dihadiri cendekiawan dari dalam dan luar negara, di samping tetamu terhormat, Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam.
Selain Encik Zilber, anggota panel lain sesi itu terdiri daripada Pensyarah Kanan bagi Pengajian Iran di Pusat Pengajian Arab dan Islam, Universiti Nasional Australia, Dr Alam Saleh; dan Penganalisis Kanan bagi Syria di International Crisis Group, Dr Nanar Hawach.
Perbincangan dipengerusikan Felo Pengajian Kanan MEI NUS, Dr Jean-Loup Samaan.
Antara lain, perbincangan tersebut mengetengahkan cabaran domestik dan serantau Iran, cabaran Syria selepas mantan Presiden, Bashar al-Assad, yang digulingkan pada 2024, dan bagaimana konflik Israel-Palestin boleh berakhir.
Mengulas lebih lanjut, Encik Zilber berkata susulan “bencana terburuk” yang melanda Israel, berikutan serangan Hamas di selatan Israel pada 7 Oktober 2023 yang membunuh lebih 1,200 orang yang kebanyakannya orang awam, Encik Netanyahu masih memegang kuasa hingga hari ini.
Bukan setakat itu, beliau juga dapat menyatukan pemerintah gabungannya, tambah Enck Zilber.
“Encik Netanyahu bijak dalam politik. Malah, hari-hari selepas (kejadian) 7 Oktober, sebelum isu tersebut beransur pulih, beliau sudah mula merancang cara untuk memperbaiki kerosakan politik melalui kempen awam dan media.
“Beliau berjaya mengalihkan tumpuan dan tanggungjawab (akibat kejadian 7 Oktober) kepada orang lain,” ujarnya, sambil menambah bahawa beberapa ketua keselamatan kebangsaan telah mengundur diri atau dipecat menyusuli serangan tersebut.
Pembentangan Belanjawan pada April 2026 menjadi satu lagi cabaran yang menanti Encik Netanyahu, jelas Encik Zilber, dengan berlatarbelakangkan perbelanjaan ketenteraan terhadap konflik Israel-Palestin dan tahun Pilihan Raya Umum.
Dalam pada itu, Dr Alam berkata serangan Israel terhadap sasaran kemudahan dan pemimpin tertinggi Iran sempena Perang 12 Hari (13 hingga 24 Jun) tidak mencapai matlamatnya.
Semasa tempoh itu, Israel, antara lain, melancarkan serangan kejutan ke atas kemudahan ketenteraan dan nuklear utama Iran, dan merosakkan pertahanan udara Iran.
Menurut Dr Alam, serangan sedemikian membuatkan Iran “lebih bimbang tentang ancaman dan pencerobohan oleh pihak luar”.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg