Tindakan Israel di Gaza keseluruhannya untuk kepentingan sendiri dan telah merapuh harapan terhadap penyelesaian yang adil dan berkekalan antara Israel dengan Palestin, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam.
Beliau berkata setakat ini adalah sukar untuk melihat laluan ke arah jalan penyelesaian.
“Pentadbiran Israel, secara jelas juga menyokong Hamas, kerana selagi Hamas wujud dan berkuasa di Gaza, Israel boleh berkata... lihat, ini adalah pertubuhan pengganas yang berkuasa di Gaza, dan bagaimana kita boleh mengadakan penyelesaian dua negara.
“Ia adalah perkiraan yang keseluruhannya untuk kepentingan diri sendiri,” kata Encik Shanmugam.
Pada 1 September, Kementerian Kesihatan di Gaza berkata 63,557 orang telah terbunuh dan 160,660 lagi cedera sejak 7 Oktober 2023.
Pada Ogos, IPC, sebuah agensi yang disokong Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata kebuluran sedang berlaku di sebahagian Gaza.
Israel sedang dituduh menyebabkan kebuluran kerana menyekat kemasukan makanan dan bantuan perubatan ke Gaza.
Ini sedang Israel merancakkan usaha menawan Bandar Gaza, dengan Kementerian Pertahanan Israel pada awal Ogos meluluskan pengerahan sekitar 60,000 askar simpanan untuk membantu dalam operasi menawan dan menguasai bandar itu.
Menteri Pertahanan Israel, Encik Israel Katz, pula berikrar pada 22 Ogos untuk memusnahkan Bandar Gaza jika Hamas tidak bersetuju melucutkan senjata, membebaskan semua tebusan yang masih ditahan di wilayah itu, dan menamatkan perang mengikut syarat Israel.
“Pendirian kami mengenai penyelesaian dua negara amat jelas. Kami menyatakan Singapura akan mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negeri dan telah membentangkan syarat-syarat untuk dipenuhi.
“Ia sukar, buat masa ini, untuk melihat sebarang laluan ke arah penyelesaian tersebut. Itulah kesimpulan realistik,” ujarnya, yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara.
Mengulangi hujah Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong pada 30 Mei, Encik Shanmugam berkata tindakan Israel adalah keterlaluan dan mungkin bertentangan dengan undang-undang kemanusiaan.
Encik Wong berkata bencana kemanusiaan yang sedang berlaku di Gaza adalah akibat tindakan keterlaluan Israel dan tindakan menyekat penghantaran bantuan kemanusiaan ke Gaza mungkin melanggar undang-undang antarabangsa.
Encik Shanmugam berkata demikian dalam ucapan untuk membuka tirai Sidang Tahunan Institut Timur Tengah (MEI) di Orchard Hotel pada 2 September.
Dianjurkan oleh MEI Universiti Nasional Singapura (NUS), sidang tersebut turut disertai peserta melalui dalam talian.
Sidang tahunan ini antara lain bertujuan mengupas kesan penyusunan semula kuasa di Timur Tengah ke atas negara-negara lain di dunia.
Selain berucap, Encik Shanmugam juga menyertai sesi soal jawab dengan peserta, yang mana beberapa soalan diajukan, antaranya termasuk keputusan Singapura mengekalkan hubungan diplomatik bersama Israel dan langkah beberapa negara seperti Australia dan Perancis yang berhasrat mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara.
Encik Shanmugam berkata Singapura membantu Gaza secara praktikal seperti membina keupayaan warga Palestin dan bukan menerusi perbuatan simbolik seperti memutuskan hubungan.
Memberi contoh, Encik Shanmugam berkata sekiranya hubungan diplomatik antara Singapura dan Israel diputuskan, Singapura tidak dapat mengetengahkan pandangannya kepada pemerintah Israel – sekali gus tidak membantu dalam mengutarakan nasib rakyat Palestin di Gaza, ujar Encik Shanmugam.
Encik Shanmugam berkata adalah penting untuk mengenal pasti kepentingan dan kesan berbuat demikian terhadap negara, di samping mengambil pendekatan konsisten dalam pelaksanaan dasar luar negara.
Menukil contoh peperangan sivil yang melanda Myanmar dan konflik Russia-Ukraine, dengan beberapa negara berbeza membekalkan senjata kepada pihak terlibat dalam peperangan sedemikian.
Encik Shanmugam berkata: “Adakah kita perlu putuskan hubungan dengan Russia? Adakah kita ingin putuskan hubungan dengan Israel? Kita sepatutnya memutuskan hubungan dengan Russia.
“Dan berdasarkan apa yang baru saya gariskan, kita sepatutnya memutuskan hubungan dengan Amerika Syarikat, Perancis, Britain – semua negara ini telah membekalkan senjata kepada banyak konflik tersebut.”
Baru-baru ini, Singapura menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza yang digugurkan dari udara oleh pesawat pengangkut C-130 milik Angkatan Udara Republik Singapura (RSAF).
Secara keseluruhannya, RSAF telah menghantar 14.9 tan muatan kemanusiaan ke Gaza menerusi udara.
Buat masa ini, Singapura telah menyalurkan sembilan pakej bantuan kemanusiaan bernilai lebih $22 juta ke Gaza.
Selain itu, bantuan teknikal bernilai $10 juta di bawah Pakej Bantuan Teknikal Dipertingkat (Etap) – yang bertujuan membina keupayaan pegawai awam di Palestin pula telah memanfaatkan lebih 800 pegawai Penguasa Palestin, kata Encik Shanmugam.
Pada 2026, Singapura juga akan melancarkan dua inisiatif, iaitu melatih pegawai polis awam di Palestin melalui kerjasama dengan Jepun dan berkongsi pengalaman Singapura dalam pentadbiran awam dengan pemimpin muda Palestin.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg