Topik diikuti
Pergi ke BHkuPakar: Rasa sunyi dalam kalangan warga emas lebih sekadar soal tinggal sendiri
Kehilangan insan tersayang, kesihatan merosot, pergerakan terbatas antara faktor dikaitkan
Pakar: Rasa sunyi dalam kalangan warga emas lebih sekadar soal tinggal sendiri
Keinginan untuk keluar rumah dan bergaul dengan masyarakat sering terbatas kerana keadaan kesihatannya yang menyebabkan badan beliau mengalami kesakitan dan keletihan berpanjangan.
Bagi Cik Roszita Idrus, 60 tahun, yang tinggal bersendirian sejak bercerai pada 2017, keadaan itu ada kalanya membuatkan beliau berasa sunyi.
“Kadangkala, saya tak terasa ingin keluar kerana badan sakit dan penat.
“Tetapi sebenarnya, saya fikir, bagus juga kalau dapat keluar dan berbual dengan orang lain.
“Siapa yang tak nak bergaul, kan?” luah beliau, yang tidak bekerja sejak lebih 30 tahun lalu atas faktor kesihatan.
Cik Roszita menghidap fibromyalgia – keadaan kronik yang menyebabkan kesakitan meluas pada tubuh – sejak berusia sekitar 23 tahun, selain mengalami gangguan keresahan dan kemurungan sejak di bangku sekolah rendah.
Meskipun berdepan keterbatasan itu, beliau berusaha mengekalkan hubungan sosial dengan meluangkan masa bersama kedua-dua anaknya yang sudah berkeluarga, mengikuti kelas mengaji dalam talian, berkebun bersama penduduk di kawasan kejiranannya, serta mengambil berat tentang kebajikan kucing terbiar di situ.
Pengalaman Cik Roszita mencerminkan antara cabaran yang dihadapi warga emas dalam mengekalkan hubungan sosial, sedang dapatan satu kajian menunjukkan lebih separuh warga emas yang ditinjau mengalami kesunyian.
Menurut kajian oleh Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penuaan (CARE), pusat penyelidikan akademik Sekolah Perubatan Duke-Universiti Nasional Singapura (NUS), 53.5 peratus responden berusia 67 tahun dan ke atas mengalami kesunyian sekali-sekala atau pada kebanyakan masa.
Dalam kalangan responden Melayu pula, angka itu mencecah 72.9 peratus, berbanding 61.1 peratus bagi responden India, dan 51 peratus bagi responden Cina.
Dapatan itu diperoleh menerusi pusingan ketiga kajian THE SIGNS Study I yang dijalankan pada 2023 hingga 2024.
Kajian tersebut turut menunjukkan bahawa dalam kalangan kumpulan responden Melayu yang sama yang ditinjau sejak 2016, kadar kesunyian meningkat dengan ketara daripada 42.4 peratus pada pusingan kedua kepada 72.4 peratus pada pusingan ketiga.
Dapatan itu disingkap sedang Singapura menjadi sebuah masyarakat sangat tua atau super-aged, dengan 21.4 peratus rakyatnya berusia 65 tahun dan ke atas pada Jun 2026, berbanding 13.7 peratus pada 2016, menurut perangkaan terkini Divisyen Kependudukan dan Bakat Nasional (NPTD).
Menjelang 2035, lebih seorang daripada setiap empat warga Singapura dianggarkan berusia 65 tahun dan ke atas.
Fahami punca, kesan kesunyian
Pengarah Eksekutif CARE, Profesor Madya Rahul Malhotra, berkata meskipun warga emas yang terasing secara sosial lebih cenderung mengalami kesunyian, kedua-dua keadaan itu tidak semestinya seiring.
Menurutnya, pengasingan sosial merujuk kepada keadaan seseorang yang mempunyai sedikit hubungan sosial atau jarang berinteraksi dengan orang lain, manakala kesunyian merupakan perasaan subjektif apabila hubungan sosial seseorang tidak memenuhi apa yang diingininya.
Beliau berkata berdasarkan dapatan THE SIGNS Study I, seorang daripada setiap dua warga emas yang tinggal bersendirian tidak mengalami kesunyian, manakala seorang daripada setiap tiga warga emas yang tinggal bersama orang lain mengalami kesunyian.
“Sebahagian warga emas yang terasing secara sosial tidak berasa sunyi kerana mereka berpuas hati dengan mutu hubungan sosial yang terhad itu dan mendapati hubungan itu bermakna,” jelasnya.
Menurut Encik Malhotra, antara faktor yang dikaitkan dengan kesunyian termasuk kehilangan insan tersayang, kedudukan sosioekonomi yang rendah, masalah kesihatan fizikal dan mental, serta keterbatasan pergerakan.
Tambahnya, kesunyian turut dikaitkan dengan kemurungan, penyakit kardiovaskular, kemerosotan fungsi kognitif, dan mutu tidur yang rendah.
Pengarah Eksekutif Lions Befrienders, Cik Karen Wee, berkata meskipun keperluan kewangan dan fizikal seseorang warga emas dipenuhi, mereka masih boleh mengalami kesunyian sekiranya kurang berinteraksi secara bermakna dengan anggota keluarga.
Menurutnya, warga emas bukan sahaja ingin dijaga, bahkan ingin dilibatkan dalam kehidupan keluarga, pandangan mereka dihargai serta diberi ruang untuk berkongsi pengalaman.
Namun, tambahnya, sesetengah warga emas mungkin memilih untuk tidak meluahkan perasaan kerana tidak mahu menambah kebimbangan anak yang perlu mengimbangi tuntutan pekerjaan, kewangan dan tanggungjawab keluarga masing-masing.
Menurut kajian terdahulu oleh penyelidik Duke-NUS, warga emas pada usia 60 tahun yang mengalami kesunyian sekali-sekala atau pada kebanyakan masa mempunyai jangka hayat berbaki yang dianggarkan tiga hingga lima tahun lebih pendek, berbanding rakan sebaya yang tidak pernah berasa sunyi.
Pakar perunding geriatrik yang juga pengasas dan pengarah Alami Clinic, Dr Nur Farhan Alami, berkata selain kehilangan insan tersayang, warga emas juga mungkin bergelut dengan kehilangan kebebasan, keupayaan fizikal dan peranan yang selama ini memberikan makna kepada kehidupan mereka.
Beliau memberi contoh seorang pesakitnya yang berasa kecewa kerana tidak lagi dapat pergi ke kedai kopi untuk membeli minumannya sendiri, meskipun pembantu rumahnya boleh membawakan minuman itu pulang.
Menurutnya, apa yang dirindui pesakit tersebut bukan sekadar minuman itu, tetapi kebebasan menjalani rutin hariannya dan melibatkan diri dalam kehidupan masyarakat.
Beliau berkata kesunyian boleh mencetuskan satu kitaran apabila warga emas semakin menjauhkan diri daripada kegiatan sosial dan menjadi kurang aktif secara fizikal, sekali gus menyukarkan mereka untuk kembali bergaul.
“Tidak cukup sekadar menyuruh warga emas yang kesunyian supaya lebih kerap keluar rumah atau menyertai kegiatan masyarakat.
“Kita perlu terlebih dahulu memahami apa yang menghalang mereka daripada membuat demikian,” terang Dr Nur Farhan.
Cabaran dekati warga emas
Ketua Pejabat Generasi Warga Emas (SGO), Agensi Penjagaan Bersepadu (AIC), Encik Low Chung Guan, berkata antara cabaran utama dalam mendekati warga emas yang mengalami kesunyian ialah keengganan mereka menerima sokongan yang tersedia.
Menurutnya, sesetengah warga emas mungkin tidak menyedari mereka memerlukan sokongan atau enggan mendapatkan bantuan kerana bimbang membebankan orang lain.
“Dalam banyak keadaan, kesunyian juga tidak dapat dilihat dengan segera, justeru penting untuk membina kepercayaan dari semasa ke semasa menerusi interaksi berterusan,” ujarnya.
Menurut Encik Low, Duta Generasi Warga Emas (SGA) menjalankan kunjungan dari rumah ke rumah bagi menggalakkan warga emas mengamalkan gaya hidup sihat, kekal aktif, dan terus berhubung dengan masyarakat.
Menerusi perbualan berterusan, katanya, para sukarelawan dapat memahami minat dan rangkaian sokongan warga emas dengan lebih baik sebelum menghubungkan mereka dengan kegiatan atau khidmat masyarakat yang bersesuaian.
Encik Low berkata bagi memperluas usaha mendekati warga emas, rangkaian sukarelawan SGO telah berkembang daripada sekitar 3,000 pada 2023 kepada hampir 9,000 buat masa ini, di samping pengenalan kaedah interaksi melalui telefon dan wadah digital.
Pengurus Program Pemulihan Kesejahteraan Kelab Heal, Cik Rabi’atull Syerida Juma’at, pula berkongsi bahawa warga emas yang mengalami masalah kesihatan mental mungkin kurang yakin untuk kembali menyertai kegiatan berkumpulan kerana bimbang dihakimi.
“Seseorang warga emas mungkin berminat dengan sesuatu kegiatan, tetapi masih teragak-agak untuk melangkah masuk ke sebuah bilik yang tiada seorang pun dikenalinya,” katanya.
Menurut beliau, jemputan peribadi atau kehadiran seseorang yang dikenali untuk menemani mereka boleh membantu memudahkan langkah pertama itu.
Dalam mendekati warga emas daripada pelbagai latar belakang pula, Cik Wee berkata penting untuk memahami dan menghormati kepercayaan agama, amalan budaya, serta bahasa yang selesa digunakan mereka.
Bagi warga emas Melayu/Islam, misalnya, beliau berkata antara perkara yang perlu diambil kira termasuk waktu solat dan keperluan makanan halal.
Menurut Cik Wee, kerjasama dengan masjid dan pertubuhan Melayu/Islam, serta usaha mendekati warga emas menerusi rangkaian masyarakat yang sudah mereka percayai, juga penting dalam membina hubungan dengan golongan tersebut.
Kaunselor kanan Yayasan Tsao, Cik Lina Koh, pula berkata sesetengah warga emas dibesarkan dengan tanggapan bahawa ketabahan bermakna mengharungi kesukaran secara senyap, menyebabkan mereka cenderung memendam perasaan.
Menurut beliau, antara halangan mendapatkan khidmat kaunseling termasuk kurangnya pemahaman tentang khidmat tersebut serta tanggapan bahawa ia hanya diperlukan oleh mereka yang mengalami masalah kesihatan mental yang serius.
Tambahnya, sokongan keluarga dan pegangan agama boleh melengkapi sokongan emosi yang diterima warga emas menerusi khidmat kaunseling.
“Kita juga perlu membantu warga emas memahami bahawa mendapatkan khidmat kaunseling tidak bermakna mereka lemah,” nasihatnya.
Pupuk hubungan bermakna
Pengarah Divisyen Penuaan Aktif AIC, Cik Dolly Cheng, berkata Pusat Penuaan Aktif (AAC) bukan sekadar menyediakan kegiatan, bahkan memberi peluang kepada warga emas menjalin persahabatan dan membentuk kumpulan berdasarkan minat bersama.
Menurutnya, menerusi program Age Well Kakis, warga emas dipadankan dengan peluang kesukarelawan yang bersesuaian dengan minat, keupayaan, dan kelapangan mereka.
Tambahnya, antara peluang kesukarelawan yang ditawarkan menerusi program itu termasuk menemani warga emas lain, membantu mereka menjalankan urusan harian serta mengiringi mereka ke janji temu perubatan.
Menerusi Program Silver Guardian pula, Cik Cheng berkata AIC merekrut, melatih, dan menempatkan sukarelawan warga emas di AAC untuk mendampingi rakan sebaya atau membantu mengendalikan kegiatan di pusat tersebut.
“Melalui interaksi ini, warga emas yang menerima sokongan mendapat manfaat daripada persahabatan dan hubungan sosial, manakala sukarelawan memperoleh rasa mempunyai tujuan, kepuasan dan peluang untuk terus terlibat secara aktif,” jelasnya.
Cik Cheng turut berkata warga emas juga digalakkan menerajui kumpulan berdasarkan minat bersama di AAC, sekali gus memberi mereka peluang memainkan peranan lebih aktif dalam membentuk kegiatan yang dijalankan di pusat tersebut.
Namun, menurut Encik Malhotra, penyelidikan mengenai langkah menangani kesunyian dalam kalangan warga emas di Singapura masih terhad.
Beliau berkata program pendampingan yang lazim dilaksanakan pertubuhan khidmat sosial setempat lebih tertumpu kepada usaha mengurangkan pengasingan sosial, dengan kajian di negara lain menunjukkan kesannya terhadap kesunyian mungkin kecil.
Cik Wee turut mengakui angka penyertaan dalam kegiatan sahaja tidak dapat menunjukkan sejauh mana kesunyian telah berkurangan.
Menurutnya, Lions Befrienders mencatatkan 272,491 penyertaan terkumpul dalam kegiatan AAC pada tahun kewangan 2024/2025.
Dalam tempoh sama, katanya, mereka mempunyai 10,952 anggota AAC, dengan 18,346 sesi kegiatan dijalankan.
Tambahnya, seramai 522 warga emas turut menerima khidmat pendampingan menerusi AAC pertubuhan itu.
“Bagi kami, kejayaan adalah apabila seseorang warga emas mempunyai teman untuk meluahkan perasaan, berkongsi berita gembira, dan seseorang yang akan menyedari ketiadaan mereka,” ujar beliau.
Di samping usaha pertubuhan masyarakat, Cik Wee turut menekankan pentingnya peranan keluarga dalam menjaga kesejahteraan emosi warga emas, bukan sekadar memenuhi keperluan fizikal mereka.
Menurutnya, selain bertanya sama ada ibu bapa sudah makan atau mengambil ubat, anak-anak juga boleh bertanya tentang perkara yang menggembirakan mereka atau memberi ruang kepada mereka berkongsi cerita dan meluahkan perasaan.
Beliau berkata warga emas juga boleh dilibatkan dalam membuat keputusan keluarga, manakala cucu-cucu boleh meluangkan masa bersama datuk dan nenek mereka dengan mempelajari resipi keluarga atau mendengar kisah kehidupan mereka.
Sementara itu, Dr Nur Farhan menekankan bahawa usaha menggalakkan warga emas menjalani kehidupan aktif juga perlu mengambil kira keinginan dan keupayaan masing-masing.
“Penuaan aktif seharusnya menjadi satu peluang, bukan kewajipan.
“Kita harus mengiktiraf bahawa setiap individu mempunyai aspirasi berbeza bagi tahun-tahun mendatang, dan kehidupan yang lebih tenang juga boleh menjadi sama bermakna dan memuaskan,” katanya.
Sekilas usaha penuaan aktif 2026
- April: Program Penambahbaikan Kediaman bagi Warga Emas Aktif (Ease) diperluas ke rumah privet, sediakan subsidi untuk pasang kelengkapan rumah bagi warga emas
- April: Palang Merah Singapura (SRC) agih 80 pek jagaan, bantu warga emas hadapi cuaca panas, jerebu
- Mei: Bedok, Bukit Panjang dan Tiong Bahru-Redhill ditetapkan sebagai Kejiranan Sihat Menua (AWN), beri warga emas akses khidmat penjagaan dipertingkat
- Jun 2026: Program Move2Connect dilancar; bakal sokong, libat warga emas di Eunos
- Ogos: Santunan Emas diperluas ke 4 masjid utara, sasar dekati 3,000 warga emas menjelang akhir 2026
- Oktober: Kumpulan Warga Emas Parti Tindakan Rakyat (PAPSG) tubuhkan pasukan dekati warga emas tinggal sendiri di 9 cawangan
- Oktober: Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) dan kelompok penjagaan kesihatan awam, NHG Health meterai Memorandum Persefahaman (MOU), perkukuh sokongan kesihatan dan kesejahteraan warga emas menerusi program Santunan Emas
- November: 200 warga emas sertai acara jalan kaki di Our Tampines Hub (OTH).
Masyarakat sangat tua setakat ini
Singapura capai status masyarakat ‘superaged’ atau sangat tua pada 2026. Menurut Bank Dunia, berikut antara masyarakat tertua dengan 21 peratus atau lebih daripada jumlah penduduknya berusia 65 tahun dan ke atas.
- Monaco
- Jepun
- Italy
- Portugal
- Greece
- Jerman
- Hong Kong
- Bosnia
- Perancis
- Sepanyol
- Denmark
“
Tidak cukup sekadar menyuruh warga emas yang kesunyian supaya lebih kerap keluar rumah atau menyertai kegiatan masyarakat. Kita perlu terlebih dahulu memahami apa yang menghalang mereka daripada membuat demikian.“
Seseorang warga emas mungkin berminat dengan sesuatu kegiatan, tetapi masih teragak-agak untuk melangkah masuk ke sebuah bilik yang tiada seorang pun dikenalinya.“
Kita juga perlu membantu warga emas memahami bahawa mendapatkan khidmat kaunseling tidak bermakna mereka lemah.