Pertumbuhan pesat penduduk di SMC Hong Kah North telah mencetuskan perubahan besar dalam sempadan pilihan raya di barat Singapura, dengan kubu kuat Parti Tindakan Rakyat (PAP), GRC Jurong, dibahagikan ke kawasan sekitarnya.
Pemerhati politik berkata pengagihan pengundi ini boleh mengukuhkan sokongan kepada parti pemerintah di GRC baru, yang merangkumi kawasan yang sebelum ini sengit dipertandingkan.
Mereka juga menyatakan perubahan sempadan akan memberi kesan kepada dua kawasan di mana parti pembangkang mencapai kemajuan pada pilihan raya lalu – GRC West Coast dan SMC Bukit Batok, lapor The Straits Times (ST).
Namun, mereka menegaskan prestasi kukuh PAP di Jurong – yang merupakan GRC dengan keputusan terbaik bagi PAP dalam dua pilihan raya umum lalu – juga bergantung pada lawan yang dihadapi dan calon yang ditampilkan.
“Tidak semestinya sesuatu kawasan atau estet akan sentiasa memberikan sokongan kuat kepada PAP,” kata Profesor Madya (Adjung) Terence Ho, dari Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew.
PAP menang tipis di GRC West Coast, dengan 51.68 peratus undi menentang pasukan Parti Kemajuan Singapura (PSP) yang diketuai mantan tokoh PAP, Encik Tan Cheng Bock.
Di Bukit Batok, Encik Murali Pillai dari PAP memperoleh 54.8 peratus undi, menewaskan ketua Parti Demokratik Singapura (SDP), Encik Chee Soon Juan.
Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) mencadangkan pengagihan semula 132,272 pengundi dari GRC Jurong ke empat kawasan pilihan raya.
Encik Ho berkata langkah ini boleh mengukuhkan prestasi PAP di kawasan yang menerima sebahagian pengundi dari GRC Jurong.
GRC baru, Jurong East-Bukit Batok, yang mempunyai lima anggota, akan menampung 142,510 pengundi, termasuk 62,424 dari GRC Jurong serta sebahagian pengundi dari SMC Bukit Batok, SMC Yuhua dan SMC Hong Kah North.
Sebanyak 41,404 pengundi dari GRC Jurong akan berpindah ke GRC baru, West Coast-Jurong West, yang kini menampung 158,581 pengundi.
SMC Jurong Central pula akan mempunyai 29,620 pengundi, manakala 2,776 pengundi akan dipindahkan ke GRC Holland-Bukit Timah.
Zamil Kanan Institut Kajian Dasar (IPS), Cik Gillian Koh, menegaskan bahawa EBRC bersifat neutral, tetapi perubahan ini boleh mengukuhkan PAP, memandangkan pengaruh kuatnya di bekas GRC dan Yuhua.
Walaupun pembangkang makin berkembang, kawasan ini kekal kubu kuat PAP.
Pakar undang-undang dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Encik Eugene Tan, berkata perubahan ini nampaknya menguntungkan parti pemerintah, tetapi PAP sudah lama menunjukkan prestasi baik di bahagian barat Singapura, di mana Parti Pekerja (WP) kurang terlibat.
Presiden Singapura, Encik Tharman Shanmugaratnam, yang berkhidmat lebih 20 tahun di Jurong, ialah tokoh utama kejayaan GRC tersebut.
Dengan sempadan baru, Taman Jurong dan sebahagian Jurong Spring akan digabungkan dengan GRC West Coast dan dinamakan semula sebagai GRC West Coast-Jurong West, yang kekal sebagai kawasan lima anggota.
Profesor Madya Tan berkata Taman Jurong berpotensi memberi sokongan kuat kepada PAP.
Beliau juga menyatakan bahawa PSP mungkin menghadapi kesulitan kerana kehadiran Taman Jurong dalam GRC ini.
Penambahan Jurong Spring pula mengukuhkan kedudukan Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee, sebagai calon utama untuk kawasan tersebut.
Sebelum ini, Encik Lee mewakili kawasan itu sebagai Anggota Parlimen (AP) GRC Jurong selama hampir sedekad sebelum berpindah ke West Coast pada 2020.
Dr Mustafa Izzuddin, penganalisis hal ehwal antarabangsa kanan di Solaris Strategies Singapore, berpendapat peluang PSP untuk menang di GRC West Coast-Jurong West “boleh dikatakan telah berkurang”.
Namun, usaha berterusan parti pembangkang di kawasan tersebut sejak pilihan raya lepas menunjukkan kawasan baru ini berpotensi menjadi medan persaingan sengit, kata pemerhati.
Gabungan SMC Bukit Batok ke dalam GRC baru, Jurong East-Bukit Batok, bermakna SDP kini perlu menghantar pasukan, bukannya calon tunggal, jika mereka mahu terus bertanding di kawasan Bukit Batok, kata pemerhati politik bebas, Dr Felix Tan.
Dr Tan juga menyatakan kemungkinan besar, kawasan pilihan raya baru ini akan diwakili oleh pemimpin seperti Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, yang memimpin SMC Yuhua buat masa ini.
SMC Yuhua juga akan diserap ke dalam GRC Jurong East-Bukit Batok.
Bahagian-bahagian dalam GRC baru ini telah mencatat prestasi baik untuk PAP dan dipercayai kawasan ini akan menjadi kubu kuat bagi parti tersebut.
Namun, ia bergantung pada parti pembangkang yang bertanding dan calon yang dipilih.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg