Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pakar teknologi bantu masyarakat dari segi agama, kesihatan dan kumpul dana

Pengurus produk pasukan teknologi khas S’pura bangun platform mudahkan orang awam dalam pelbagai aspek kehidupan
Dec 22, 2025 | 5:30 AM
Jan Donyada, Open Government Products, AI
Encik Jan Donyada telah menerajui projek penghasilan pelbagai wadah teknologi yang membantu masyarakat dari segi kesihatan, agama dan pengumpulan dana. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Produk Terbuka Pemerintah (OGP) ialah pasukan teknikal yang bereksperimen dengan membina alat digital mesra pengguna untuk dimanfaatkan awam, seperti ScamShield, Parking.sg, FormSG dan Data.gov.sg.

Antara lain, mereka memberi tumpuan kepada usaha berinovasi secara pantas, mengamalkan sumber terbuka dan mencari huraian praktikal bagi masalah harian yang jika berkesan pada tahap kecil akan diperluas secara lebih menyeluruh.

Berita Harian (BH) mewawancara dua warga Singapura yang memberi sumbangan kepada OGP.

Sejak kecil, Encik Jan Donyada, bercita-cita menyelamatkan nyawa orang lain sebagai pakar bedah.

Walaupun cita-citanya tidak kesampaian, beliau merebut peluang menjadi Pengurus Produk Kanan di Produk Pemerintah Terbuka (OGP), pasukan teknologi khas pemerintah Singapura, yang membangun alat digital dan teknologi bagi keperluan awam.

Misi OGP adalah bagi mempercepat transformasi digital khidmat pemerintah dengan bereksperimen melalui amalan teknologi baru dan membangun huraian yang merujuk pada pengalaman pengguna.

Apa yang dihasilkan pasukan teknologi itu mampu menghurai masalah sebenar orang awam dan kakitangan awam.

Justeru, penyertaan Encik Jan, 38 tahun, dalam OGP yang merupakan sebahagian daripada Agensi Teknologi Pemerintah (GovTech), pada 2022, membolehkan dirinya mencapai impian membantu masyarakat, meskipun dalam suasana berbeza.

Projek pertama yang diterajuinya di OGP ialah Sistem Janji Temu Kesihatan (HAS), hasil kerjasama dengan Kementerian Kesihatan (MOH).

HAS merupakan platform janji temu digital nasional yang memudahkan warga Singapura membuat janji temu bagi urusan jagaan kesihatan, khususnya dalam khidmat jagaan pencegahan seperti mendapatkan suntikan dan penyaringan kesihatan di klinik doktor Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (Chas).

“Impian saya membantu orang dan mendekati masyarakat secara tidak langsung tercapai kerana kami akhirnya ibarat menyelamatkan nyawa juga dengan memastikan lebih ramai orang dapat menerima suntikan vaksin secara mudah dengan membuat janji temu menerusi platform HAS,” katanya dalam wawancara bersama Berita Harian (BH).

Daya usaha HAS itu telah menyumbang kepada peningkatan kadar pengambilan vaksin bagi menangani jangkitan pneumokokus atau bakteria yang menyebabkan pelbagai jangkitan serius sehingga menyebabkan masalah radang paru-paru, radang selaput otak, jangkitan darah dan jangkitan telinga.

Menurut laporan MOH, kadarnya dalam kalangan penduduk Singapura berumur dari 65 hingga 74 tahun, ialah daripada 26.5 peratus pada 2022 kepada 35 peratus pada 2023.

Di samping itu, beliau turut menerajui projek menghasilkan Isomer, sebuah peralatan digital yang memudahkan pegawai kementerian mencipta laman web yang selamat, mudah diakses, penuh maklumat dan berpatutan dari segi kos, walau tiada kemahiran pengekodan.

Dengan Isomer, laman web Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dapat dinaiktarafkan dengan memaparkan waktu solat dan maklumat tentang ibadah haji secara berkesan.

Bagaimanapun, apabila ditanya tentang ciptaan yang dekat di hatinya, Encik Jan menyatakan wadah derma dalam talian, KampungSpirit, merupakan ciptaan yang tidak dapat dilupakan.

Platform derma dan pendanaan awam yang selamat itu dihasilkan bagi membantu masyarakat menyokong keluarga memerlukan dengan mengumpulkan sumbangan berupa keperluan seharian dan khidmat penting yang mereka perlukan.

Lebih 500 keluarga memerlukan meraih manfaat daripada inisiatif itu yang dilancarkan pada 24 Januari 2024, menyusuli proses pembangunan dan penghasilan prototaip yang dilakukan pada acara tahunan OGP, Hack for Public Good, pada awal tahun tersebut.

Sejak Februari 2024, sekurang-kurangnya $185,000 telah dijana melalui platform KampungSpirit, dengan lebih 680 barangan keperluan, seperti kerusi roda dan mesin basuh, diperoleh untuk penerima bantuan.

Menurut Encik Jan, idea bagi platform itu tercetus apabila beliau menjalankan projek amal sendiri pada November 2022.

“Keluarga memerlukan ini sering menerima barangan dapur. Tetapi mereka sebenarnya lebih memerlukan bantuan mendapatkan peralatan seperti televisyen, periuk nasi automatik, katil dan barangan lain.

“Namun, sukar untuk saya membiayai kos peralatan serba baru dan mencari satu per satu barangan yang diperlukan ini.

“Kadangkala pula, barangan terpakai yang diperoleh juga dalam keadaan kurang baik,” jelasnya yang merupakan bapa kepada anak perempuan berusia lima tahun.

Lantas, Encik Jan mencipta KampungSpirit untuk memudahkan proses mengenal pasti keperluan setiap penerima, menjana dana yang diperlukan, mendapatkan peralatan yang diperlukan sejajar dengan permintaan penerima bantuan.

Pihaknya kemudian menghantar peralatan serba baru itu kepada keluarga memerlukan.

Di samping itu, pihaknya mendapat kerjasama pekerja sosial bagi menyenaraikan keperluan keluarga yang menerima bantuan.

“Mereka lebih memahami keadaan penerima bantuan ini dan boleh dipercayai dalam melaksanakan tugas dengan amanah,” katanya lagi.

Penderma bagi platform KampungSpirit diberi keterangan bagaimana sumbangan mereka dapat dimanfaatkan penerima bantuan.

Menurut Encik Jan, strategi kempen mikro itu adalah bagi mengumpul dana yang dapat memenuhi bantuan lebih cepat berbanding kempen berskala besar.

“Kira-kira separuh permintaan di KampungSpirit dipenuhi dalam masa dua minggu.

“Misalnya, hanya empat atau lima penderma diperlukan untuk membiayai kos untuk satu permintaan,” jelas Encik Jan.

Beliau menambah penerima bantuan juga mampu berasa diri mereka lebih dihargai kerana menerima derma barangan serba baru yang memenuhi keperluan mereka.

KampungSpirit turut membenarkan komunikasi dua hala.

Para penderma boleh mendapatkan kemas kini tentang proses pendermaan mereka, manakala penerima bantuan boleh meninggalkan pesanan penghargaan untuk penderma melalui laman web itu.

Kini, beliau masih memikirkan inisiatif seterusnya tetapi semangatnya membantu masyarakat masih berkobar-kobar.

“Saya suka rakan dan keluarga saya meraih manfaat daripada kerja seharian saya dan projek yang dibangunkan.

“Jika saya buat kerja ini dengan amanah, jutaan orang lain yang menggunakan peralatan yang pasukan OGP cipta dapat meraih manfaatnya,” ujar beliau.

“Impian saya membantu orang dan mendekati masyarakat secara tidak langsung tercapai kerana kami akhirnya ibarat menyelamatkan nyawa juga dengan memastikan lebih ramai orang dapat menerima suntikan vaksin secara mudah dengan membuat janji temu menerusi platform HAS (Sistem Janji Temu Kesihatan).”
Encik Jan Donyada, Pengurus Produk Kanan di Produk Pemerintah Terbuka (OGP).
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg