Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sanggup turun ke lapangan, bantu cari huraian teknologi agensi pemerintah

Dec 22, 2025 | 5:30 AM
Muhammad Sufyan Selamet
Encik Muhammad Sufyan Selamet, ialah pereka bentuk produk kanan dalam pasukan teknologi khas pemerintah Singapura, Produk Terbuka Pemerintah (OGP), dan kini mengetuai unit reka bentuk FormSG, salah satu platform pemerintah paling meluas digunakan di Singapura. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Beberapa tahun lalu, penunggang ‘ojek’ atau teksi motosikal di Indonesia yang menggunakan platform Grab pernah mengadu kepayahan menemui pelanggan yang tidak selalu berada di lokasi sewajarnya kerana mereka tidak mengisi butiran tepat di ruangan yang betul.

Ketika itu, Encik Muhammad Sufyan Selamet, 32 tahun, yang bertugas sebagai pereka bentuk produk kanan di syarikat teknologi penyedia khidmat pengangkutan, kiriman dan kewangan, Grab, terbang ke Indonesia untuk menjadi penumpang penunggang ‘ojek’ dan akhirnya berjaya menemui huraian dengan menjadikan antara muka aplikasi lebih mesra pengguna, sekali gus menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Bagi mengatasi isu pemandu yang keliru tentang lokasi penghantaran makanan, Encik Sufyan mencipta sistem yang lebih baik untuk mempertingkat pengalaman pengguna.

Hasilnya, pelanggan Grab dapat memasukkan butiran alamat dengan lebih mudah, sementara para penunggang di Indonesia pula tidak lagi khuatir kerana tempat pengambilan penumpang lebih tepat.

Kini, Encik Muhammad Sufyan telah meninggalkan Grab dan bekerja di Produk Pemerintah Terbuka (OGP), pasukan teknologi khas pemerintah Singapura, yang membangun alat digital dan teknologi bagi keperluan awam.

Beliau mengetuai unit reka bentuk di platform pembangun borang digital, FormSG, di OGP dan berusaha mengatur aliran kerja serta memudahkan sebarang kesulitan yang dihadapi dalam platform tersebut yang kian berleluasa penggunaannya di Singapura.

Platform itu membolehkan agensi pemerintah, pertubuhan dan institusi menghasilkan, berkongsi dan mengumpul maklumat secara selamat dalam talian.

Ketika ditemui Berita Harian (BH) di pejabat OGP di Bras Basah Road, Encik Sufyan menjelaskan: “Pengalaman saya bersama pemandu di Indonesia masih segar dalam ingatan kerana ia mengingatkan betapa besar impak yang boleh dihasilkan menerusi teknologi apabila sesuatu masalah berjaya diselesaikan.”

Sebagai individu yang berdaya usaha tinggi, Encik Sufyan proaktif mencari jalan penyelesaian dengan menghasilkan rekaan bagi manfaat masyarakat.

Pada Januari lalu 2025, beliau mengadakan siri lawatan pembelajaran ke beberapa agensi pemerintah di Singapura untuk memahami lebih mendalam tentang keperluan khusus setiap agensi.

Langkah tersebut membantu beliau memahami lebih jelas tentang masalah yang sedang ditangani pada setiap masa.

“Sejak kecil, saya gemar bermain blok Lego dan membina pelbagai objek.

“Saya juga sering meluangkan sehingga tiga jam membaca pelbagai rencana secara rambang di ensikopedia dalam talian, Wikipedia,” ujarnya.

Dengan latar belakang dalam media dan komunikasi, beliau kini menggabungkan minat dalam reka bentuk dengan semangat berbakti kepada masyarakat untuk menyelesaikan isu kemasyarakatan sekelilingnya.

Pada Julai, Encik Sufyan membimbing pelajar dalam acara ‘hackathon’ masyarakat, Sparks x Build for Good, yang menyatukan pencinta teknologi, belia dan anggota masyarakat, dalam program inovasi sebulan, bagi menghasilkan secara bersama huraian teknologi yang dapat membantu menangani cabaran sosial di Singapura.

Acara itu anjuran bersama Persatuan Rakyat (PA) dan OGP di bawah inisiatif PA, Sparks, yang memperkasa penduduk, sukarelawan, dan rakan kerjasama dalam membangun huraian inovatif bagi keperluan masyarakat.

Encik Sufyan menegaskan perkara utama dalam memperolehi huraian adalah kejelasan terhadap isu yang ingin dirungkai.

“Biarpun ada 1,001 perkara yang bergerak serentak, asalkan saya jelas tentang masalah yang mahu diselesaikan, ia membantu saya menyingkirkan segala kekusutan di minda dan membawa saya meraih penyelesaian yang lebih tepat,” tambahnya.

“Biarpun ada 1,001 perkara yang bergerak serentak, asalkan saya jelas tentang masalah yang mahu diselesaikan, ia membantu saya menyingkirkan segala kekusutan di minda dan membawa saya meraih penyelesaian yang lebih tepat.”
Encik Muhammad Sufyan Selamet, yang mengetuai unit reka bentuk di platform pembangun borang digital, FormSG di bawah Produk Pemerintah Terbuka (OGP).
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg