Pakatan dagang mineral usulan Trump masih ‘di peringkat awal’
Pakatan dagang mineral usulan Trump masih ‘di peringkat awal’
Vivian: S’pura akan terus jadi hab rantaian bekalan yang dipercayai
Cadangan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, untuk membentuk pakatan perdagangan baru bagi mineral kritikal bersama sekutu dan rakan kongsi masih di peringkat awal.
Perinciannya dijangka diumumkan dalam beberapa bulan akan datang.
Jepun, Kesatuan Eropah (EU) dan Mexico telah menunjukkan minat untuk meneroka usulan Amerika bagi mewujudkan zon perdagangan keutamaan yang merangkumi penetapan harga minimum yang diselaraskan bagi mineral kritikal.
Penguasaan besar China ke atas banyak mineral kritikal yang amat penting untuk ekonomi kecerdasan buatan (AI) termaju, industri pertahanan dan prasarana tenaga, merupakan punca utama ketegangan geopolitik.
Nama China tidak disebut secara langsung dalam ucapan pegawai Amerika pada Mesyuarat Menteri-Menteri Mineral Kritikal yang dianjurkan Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, di Washington pada 4 Februari.
Namun, cadangan pakatan perdagangan itu dilihat sebagai usaha untuk menghalang China daripada memanfaatkan kelebihannya dengan membanjiri pasaran sejagat menggunakan mineral murah, sekali gus menjejas keupayaan negara lain dan syarikat mereka untuk membangunkan lombong serta kemudahan penapisan sendiri.
Kebanyakan daripada sekitar 50 negara yang berkumpul untuk membincangkan isu itu masih belum menyatakan pendirian mengenai pakatan perdagangan tersebut atau berikrar untuk menyertainya.
Singapura setakat ini belum mengulas mengenai perkara tersebut.
Dalam satu hantaran di media sosial, Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, berkata beliau menghadiri mesyuarat tersebut atas undangan Encik Rubio untuk membincangkan cara memperkukuh rantaian bekalan mineral kritikal.
“Singapura merupakan hab yang dipercayai dan boleh diharapkan dalam rantaian bekalan sejagat,” tulis Dr Balakrishnan di Facebook.
“Kami percaya kepada perdagangan terbuka yang berasaskan peraturan dan akan terus memainkan peranan kami untuk memastikan rantaian bekalan ini kekal berdaya tahan,” tambahnya, sambil menekankan kepentingan mineral seperti nikel, litium dan kobalt.
“Mineral kritikal penting untuk banyak sektor, termasuk semikonduktor, kenderaan elektrik, tenaga boleh diperbaharui dan pertahanan.
Apabila negara mempercepat peralihan digital dan hijau, akses kepada mineral semakin penting bagi daya saing ekonomi dan keselamatan negara,” kata Dr Balakrishnan.
Singapura merupakan anggota inisiatif Pax Silica yang diterajui Amerika sejak Disember 2025 untuk melindungi rantaian bekalan AI – termasuk semikonduktor, pengeluaran silikon, pusat data dan tenaga – melalui pakatan yang dipercayai.
Anggota lain termasuk Jepun, Korea Selatan, Australia, Britain, Israel, Qatar dan Amiriah Arab Bersatu (UAE).
India dijangka menyertai inisiatif itu lewat Februari ini.
Amerika bergantung sepenuhnya kepada import bagi 12 mineral kritikal dan bergantung kepada import untuk lebih separuh daripada penggunaan 29 mineral kritikal lain.
Justeru, kerjasama dengan sekutu dan rakan kongsi amat penting bagi meningkatkan bekalan serta mengurangkan kebergantungan kepada China.
Cadangan pakatan perdagangan itu diumumkan pada permulaan mesyuarat oleh Naib Presiden Amerika, Encik J.D. Vance, yang mencadangkan “zon perdagangan keutamaan bagi mineral kritikal, dilindungi daripada gangguan luaran melalui penetapan harga minimum yang boleh dikuatkuasakan”.
Beliau menambah harga itu akan dikekalkan melalui “tarif yang boleh disesuaikan”.
Walaupun beliau dan Encik Rubio tidak menyebut China secara langsung, kedua-duanya menyuarakan kekecewaan terhadap keupayaan negara itu untuk menyaingi syarikat Barat melalui harga yang jauh lebih rendah.
China menguasai 60 peratus simpanan unsur nadir bumi dan hampir 90 peratus kapasiti pemprosesan untuk menukar mineral itu kepada produk berguna seperti magnet nadir bumi, yang penting dalam penghasilan barangan daripada jet pejuang hingga telefon pintar.
“Kami mahu menghapuskan masalah pihak yang membanjiri pasaran dengan mineral kritikal murah untuk menjejas pengeluar tempatan, kerana sebaik sahaja mereka ditewaskan, pihak yang sama akan keluar dan menaikkan harga ke tahap tidak adil,” kata Encik Vance.
“Kami mahu ahli membentuk satu pakatan perdagangan dalam kalangan sekutu dan rakan kongsi,” katanya sambil menjanjikan manfaat “segera dan berkekalan” kepada negara yang menyertainya.

