Palang Merah Singapura (SRC) telah memperuntuk kiriman tambahan bekalan bantuan kemanusiaan bernilai $550,000 untuk membantu masyarakat terjejas akibat gempa bumi di Myanmar.
Kiriman itu termasuk keperluan kebersihan untuk keluarga, keperluan kebersihan wanita, tikar plastik, kelambu dan terpal, serta jerigen (jerry can) untuk mengumpul, mengagih dan menyimpan secara selamat air bersih. Bekalan itu akan didapatkan oleh rakan sejawatan SRC di Myanmar.
Bekalan kiriman itu dijangka menyokong sekitar 8,000 isi rumah di seluruh daerah Myanmar yang terjejas, kata SRC pada 10 April, lapor The Straits Times.
Selain itu, ia telah menghantar hampir 300 alat penapis air ke wilayah seperti Mandalay dan Sagaing, pusat gempa bumi sekuat 7.7 menurut skala Richter bagi meningkatkan akses kepada air minuman bersih dan selamat, di samping hampir 900 lampu berkuasa suria untuk menyokong anggota masyarakat yang tiada bekalan tenaga.
Sumbangan itu dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 80,000 orang yang terjejas teruk akibat gempa itu.
SRC telah mengumpulkan lebih $2.7 juta untuk tujuan tersebut melalui pengumpulan dana awam, dan telah mengagihkan hampir $700,000 bantuan kemanusiaan setakat ini.
Kumpulan itu telah menghantar sebuah pasukan tiga orang, terdiri daripada dua kakitangan dan seorang sukarelawan, ke Yangon untuk menilai keadaan kemanusiaan yang sedang berkembang di Myanmar dan menyelaraskan usaha bantuan selanjutnya.
Ia turut bekerjasama dengan rakan sejawatannya di negara itu, Palang Merah Myanmar (MRC), untuk mengerahkan sukarelawan MRC dan dua ambulans untuk menyokong pemindahan pesakit di antara hospital medan Pasukan Perubatan Kecemasan Singapura dengan Hospital Besar Mandalay.
SRC menyelaras rapat dengan Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan dan Bantuan Bencana Serantau Changi, Pusat Penyelarasan Asean untuk Bantuan Kemanusiaan mengenai Pengurusan Bencana dan MRC untuk menggabungkan bantuan kemanusiaan dari Singapura.
Mereka bekerjasama dengan pertubuhan bukan pemerintah lain, seperti Mercy Relief dan Relief Singapore, untuk menghantar bekalan ke Myanmar.
Sejak gempa pada 28 Mac itu, dua penghantaran bekalan telah dibuat, kata SRC.
Kiriman bantuan terbaru itu menyusuli penghantaran awal bernilai $150,000, yang termasuk pengagihan bekalan penting, seperti air, selimut dan terpal, untuk menangani keperluan segera penduduk yang terjejas akibat gempa itu.
Gempa itu adalah antara yang paling kuat pernah melanda Myanmar dalam seabad.
Lebih 3,600 orang terbunuh, dengan 5,017 cedera dan 148 hilang.
Hampir 49,000 rumah dan lebih 2,100 bangunan pemerintah musnah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg