Pertubuhan Palang Merah Singapura (SRC) telah mengikrarkan sebanyak $50,000 bagi membantu mangsa banjir kilat di Afghanistan, selain melancarkan rayuan mengumpul dana untuk menyokong operasi bantuan dan pemulihan.
Dalam satu kenyataan media pada 20 Mei, SRC berkata dana tersebut akan digunakan untuk memenuhi keperluan segera mangsa yang terjejas, termasuk menyediakan makanan, tempat perlindungan kecemasan, penjagaan trauma kecemasan, barangan bukan makanan, serta air, sanitasi dan keperluan kebersihan.
Bantuan itu juga secara tidak langsung akan meningkatkan usaha bantuan yang dikendalikan Masyarakat Sabit Merah Afghan (ARCS) dan Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Masyarakat Sabit Merah (IFRC), tambahnya.
“Kami sedih dengan kehilangan nyawa, kecederaan, dan kesan ke atas rumah dan mata pencarian akibat banjir kilat,” kata Ketua Pegawai Eksekutif SRC, Encik Benjamin William.
“Kami sedang bekerja rapat dengan rakan kongsi kami dari Pergerakan Bulan Sabit Merah untuk terus mendapatkan perkembangan terkini terhadap situasi di situ.
“Sedang kami memulakan usaha mengumpul dana kami, kami juga berharap rakyat Singapura akan bersama kami dalam menyokong masyarakat yang memerlukan.”
Dalam kenyataannya lagi, SRC berkata bahawa ARCS, dengan kerjasama rakan kongsinya, sedang menyediakan bantuan segera kepada mereka yang dipindahkan dengan memudahkan pergerakan mereka, menyediakan tempat perlindungan sementara, dan menawarkan perkhidmatan kesihatan kecemasan mudah alih, yang dilengkapi keperluan pertolongan cemas penting.
IFRC juga mengerahkan pasukan tindak balas kecemasan untuk menyokong operasi bantuan dan secara berterusan menilai keperluan yang mendesak di kawasan terjejas.
Usaha mengumpul dana itu akan berlangsung dari 20 Mei hingga 31 Ogos.
Banjir kilat akibat hujan lebat sejak 10 Mei telah memusnahkan kawasan perkampungan di utara Afghanistan.
Ia mengakibatkan lebih 300 orang terkorban sementara lebih 1,600 lagi cedera, kata pihak berkuasa pada 19 Mei.
Bencana alam itu juga mengakibatkan lebih 3,000 rumah musnah, merosakkan jalan raya dan jambatan, serta menyaksikan kerugian besar terhadap bidang ternakan dan pertanian.
Keadaan muka bumi yang mencabar dan infrastruktur yang rosak telah menyukarkan lagi operasi bantuan untuk sampai ke kawasan yang memerlukan bantuan.
Jabatan meteorologi Afghanistan telah memberi amaran tentang cuaca hujan yang berterusan dan kemungkinan banjir kilat yang merentasi semua wilayah negara itu.
Menurut Program Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), bantuan masih belum lagi dapat dihantar ke Baghlan, wilayah yang teruk terjejas akibat banjir kilat itu.
Afghanistan terdedah kepada bencana alam, dan PBB menganggapnya sebagai salah satu negara yang paling terdedah kepada perubahan iklim.
Pakar iklim berkata Afghanistan - yang sedang dilanda perang dan terasing daripada dunia sejak Taliban mengambil alih kuasa pada 2021 - adalah salah satu negara yang paling kurang bersedia menangani kesan perubahan iklim.
Setakat ini, 25 daripada 34 wilayah di Afghanistan terjejas akibat banjir, tambah SRC, manakala hujan masih diramalkan di kawasan terjejas dalam beberapa hari akan datang.
Mereka yang ingin menderma kepada usaha mengumpul dana ini boleh berbuat demikian menerusi laman SRC.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg