Palang Merah Singapura (SRC) akan menghantar $50,000 ke Myanmar untuk menyokong usaha bantuan bencana susulan taufan Yagi dan banjir teruk, kata badan amal itu dalam satu kenyataan pada 20 September.
Ini merupakan sumbangan terbarunya, bersama dengan komitmen sebanyak $50,000 setiap satu untuk bantuan kemanusiaan kepada Laos dan Vietnam, yang diumumkan pada 29 Ogos dan 12 September.
Di Myanmar, SRC berkata jumlah itu akan membiayai pengagihan makanan, air bersih, kit kebersihan dan bekalan penting lain kepada masyarakat yang paling teruk dilanda bencana.
Ia menambah bahawa penapis air juga akan dihantar dalam beberapa minggu akan datang untuk membekalkan air minuman yang selamat.
Di Laos, pasukan SRC tiba pada 16 September untuk operasi bantuan dan memberi bantuan berdasarkan keperluan mangsa.
Pasukan tersebut tiba di wilayah utara Luang Namtha, di mana 40,000 orang di dua daerah – kampung Thong Kua dan Tavanh – memerlukan bantuan segera.
Di kampung Thong Kua, pasukan itu mengagihkan kit keperluan rumah yang mengandungi selimut, kelambu dan barangan lain.
Di kampung Tavanh pula, pasukan itu menunjukkan cara penggunaan penapis air kepada sukarelawan Palang Merah Lao dan penduduk kampung, bagi menyokong akses mereka kepada air minuman bersih, kata SRC.
Sebanyak 50 penapis air juga dihantar oleh SRC ke Laos melalui Pusat Penyelarasan Bantuan Kemanusiaan dan Bencana Serantau Changi (RHCC) Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).
Encik Benjamin William, setiausaha agung dan ketua pegawai eksekutif SRC, berkata:
“Kehilangan nyawa, termasuk kanak-kanak dan orang tua, dan pemindahan besar-besaran masyarakat, telah menyebabkan banyak kemusnahan dan kesedihan.
“Dalam masa krisis, perpaduan adalah kekuatan terbesar kita.”
Beliau menambah bahawa harapannya adalah agar rakyat Singapura dapat menyumbang kepada rayuan pengumpulan dana SRC untuk banjir di Asia Tenggara.
Mereka yang ingin menderma kepada dana SRC boleh berbuat demikian di laman SRC atau Giving.sg.
Untuk sumbangan PayNow, derma boleh dibuat kepada UEN S86CC0370EBLD (Rujukan: Southeast Asia Floods).
Mereka yang ingin menderma melalui cek boleh membuat pembayaran kepada ‘Singapore Red Cross Society’ ke alamat Red Cross House, 15 Penang Lane, Singapura 238486, dengan menyatakan nama dan alamat anda serta tuliskan ‘Southeast Asia Floods’ di belakang cek.
Derma secara peribadi juga diterima di alamat SRC yang sama dari Isnin hingga Jumaat, 9 pagi hingga 6 petang.
Banjir dan tanah runtuh akibat taufan Yagi telah mengorbankan lebih 500 orang di seluruh Asia Tenggara, dengan rumah, jalan dan jambatan musnah, menurut media tempatan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg