Satu pameran memperingati pembangunan Singapura yang menawarkan rakyatnya peluang meneroka masa hadapan telah dilancarkan oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, pada 26 Ogos di Orchard Central.
Projek hasil kerjasama Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) dan Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) itu, yang bertajuk Pengalaman Jiwa & Raga SG60 atau Heart & Soul Experience ialah acara utama bagi tahun ke-60 kemerdekaan Singapura.
Berucap di majlis pelancaran, Encik Wong berkata harapannya ialah agar pengunjung dapat rasa semangat yang telah memacu pembangunan Singapura.
“60 tahun bukanlah tempoh yang lama bagi kebanyakan negara.
“Tetapi bagi Singapura, ia merupakan satu pencapaian yang sangat penting kerana permulaan kita yang sukar, serta segala yang telah kita lalui bersama sepanjang 60 tahun ini.
“Itulah sebab sejak awal 2025 – tahun sempena SG60 – kita telah mengatakan bahawa SG60 bukan sekadar masa untuk perayaan.
“Ia juga merupakan masa untuk renungan: merenung masa lalu, masa kini, dan masa depan kita,” kata Encik Wong.
Dalam pada itu, dengan menggunakan gaya penceritaan mendalam dan kecerdasan buatan (AI) generatif, setiap pengunjung di pameran itu ditawarkan dengan satu pengalaman peribadi yang penuh imaginasi.
Mereka akan dapat melihat diri mereka tinggal, bekerja dan beriadah dalam gambaran masa depan Singapura, serta berpeluang “berbual dengan masa hadapan mereka sendiri”.
Di akhir pameran, setiap pengunjung boleh membawa pulang penanda buku dengan kod QR yang mempunyai pautan kepada treler video peribadi sepanjang 25 saat.
Encik Wong disertai Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo; Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Encik Tan Kiat How; Menteri Negara Kanan (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Cik Low Yen Ling; dan Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam.
Lebih 300 tetamu, termasuk artis kurang upaya daripada festival seni Shaping Hearts, pertubuhan rakan kongsi dan agensi pemerintah yang telah menyumbang kepada pameran itu, turut hadir di pelancaran tersebut.
Memberi rumusan kepada maklum balas yang diterima setakat ini, Cik Teo berkata:
“Kami sangat teruja dengan sambutan bersemangat warga Singapura. Sekurang-kurangnya untuk minggu ini, hampir semua tempat telah ditempah, tetapi secara beransur-ansur, kami akan menyediakan lebih banyak tempat.”
Lebih daripada 90 peratus tempat bagi minggu pembukaan pameran itu telah ditempah, dengan tempat bagi hujung minggu pembukaan sudah melebihi kapasiti.
Lebih daripada 1,700 orang boleh mengunjungi pameran yang berlangsung sehingga 31 Disember itu, setiap hari.
Bahagian pameran yang memerlukan tiket, menawarkan empat bahasa rasmi, dan berlangsung selama kira-kira 60 hingga 90 minit untuk pengunjung berusia tujuh tahun ke atas.
Ia diadakan di Perpustakaan Orchard di tingkat tiga dan empat Orchard Gateway, dari 9 pagi hingga 6 petang setiap Isnin, dan dari 9 pagi hingga 10 malam Selasa hingga Ahad.
Terdapat juga bahagian pameran yang tidak memerlukan tiket di atrium lantai satu Orchard Central dan Orchard Gateway yang dibuka dari 9 pagi hingga 10 malam setiap hari.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg