Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ambil gambar, berikrar sambil sumbang kepada masyarakat

Reruai foto interaktif ‘Windows of Time’ boleh diakses secara percuma hingga 31 Dis di beberapa lokasi
Aug 19, 2025 | 3:12 PM
 Windows of Time
Sebagai sebahagian daya usaha Masyarakat Ihsan 2025, Tote Board dan Singapore Pools akan menyumbang $1 bagi setiap gambar yang dirakam di reruai foto interaktif, ‘Windows of Time’, dengan jumlah sumbangan dihadkan kepada $500,000. - Foto ZAOBAO

Satu pameran visual yang menyingkap kisah Singapura dari masa lalu hingga akan datang membolehkan pengunjung merakam gambar sebagai ikrar perjalanan mereka bersama negara, sekali gus menyumbang kepada badan kebajikan.

Daya usaha itu diadakan menjelang pameran nasional, ‘SG60 Heart&Soul Experience’ di Perpustakaan Orchard yang akan dilancarkan pada 26 Ogos.

Dari 18 Ogos hingga 31 Disember, reruai foto interaktif, ‘Windows of Time’, boleh diakses secara percuma di beberapa lokasi.

Ini termasuk di atrium aras satu Orchard Central dari 9 pagi hingga 10 malam, pintu masuk perpustakaan daerah Punggol dan Jurong dari 10 pagi hingga 9 malam kecuali cuti umum, serta di lobi bangunan Singapore Pools di Middle Road dari 8 pagi hingga 9 malam.

Sebagai sebahagian daya usaha Masyarakat Ihsan 2025, Tote Board dan Singapore Pools akan menyumbang $1 bagi setiap gambar yang dirakam di reruai tersebut, dengan jumlah sumbangan dihadkan kepada $500,000.

Dana yang dikumpul akan disalurkan kepada empat pertubuhan amal di bawah Dana Masyarakat yang menumpukan usaha kepada kesejahteraan mental iaitu Persatuan Bantuan Kanak-Kanak, Kelab Heal, Mindfull Community dan Persatuan Kesihatan Mental Singapura (SAMH).

Pameran ‘SG60 Heart&Soul Experience’ turut mendapat sambutan baik.

Pembukaannya pada hujung minggu menerima pendaftaran melebihi kapasiti dan banyak tempahan daripada kumpulan besar dijadualkan. 

Lebih 1,700 pengunjung sehari berpeluang menikmati pengalaman itu, dengan tiket ditawarkan secara percuma kepada orang ramai melalui tempahan pautan di laman web, www.heartandsoul.gov.sg.

Pengarah Kreatif Eksekutif, Encik Gene Tan, yang juga Ketua Pustakawan dan Ketua Pegawai Inovasi, Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), berkata:

“Saya sangat terharu dengan sambutan hangat yang melebihi jangkaan kami.”

Pameran itu dijangka menarik sekitar 400,000 pengunjung, lapor The Straits Times (ST).

Menggunakan kaedah penceritaan menyeluruh dan kecerdasan buatan generatif (GenAI), pameran tersebut membolehkan pengunjung berbual dengan pustakawan digital yang menyerupai manusia mengenai kehidupan serta minat mereka.

Perbualan itu dijadikan asas untuk menghasilkan video pendek peribadi yang memaparkan pengunjung bekerja, bermain dan menjalani kehidupan di Singapura pada masa depan menurut imaginasi mereka.

Pengunjung turut boleh ‘berbual’ dengan versi diri mereka pada masa depan.

Pada akhir pameran, setiap pengunjung akan menerima penanda buku dengan kod QR yang membolehkan mereka mengakses video pendek peribadi sepanjang 25 saat itu.

Acara utama sempena ulang tahun ke-60 kemerdekaan Singapura, atau SG60, itu dibangunkan bersama oleh Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) dan NLB.

Lebih 110 rakan kongsi daripada sektor awam, swasta dan masyarakat telah menyumbang pandangan serta rancangan masa depan yang membentuk kandungan pameran itu seperti Pelan Induk Melakar Hala Tuju Singapura dan Pelan Singapura Menghijau 2030.

Pengalaman itu ditawarkan dalam empat bahasa rasmi, berlangsung selama sekitar 60 hingga 90 minit dan disyorkan untuk pengunjung berumur tujuh tahun dan ke atas.

Acara itu diadakan di Perpustakaan Orchard, di tingkat tiga dan empat Orchard Gateway, dari 9 pagi hingga 6 petang pada Isnin; dan dari 9 pagi hingga 10 malam pada Selasa hingga Ahad.

Selain itu, terdapat siri pameran tanpa tiket di atrium tingkat satu Orchard Central dan Orchard Gateway yang dibuka setiap hari dari 9 pagi hingga 10 malam.

Siri yang meraikan SG60 secara visual itu menjejaki perjalanan negara sepanjang zaman. 

Pengunjung berpeluang berjalan di sisi tokoh sejarah dalam video arkib berwarna yang disediakan oleh Arkib Negara Singapura dari era 1900-an hingga 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NLB, Encik Ng Cher Pong, berkata:

“’Windows of Time’ adalah lanjutan... daripada SG60 Heart&Soul Experience.

“Ia bukan sahaja mengajak rakyat Singapura merenung perjalanan bersama sambil melihat ke depan, malah menyediakan cara mudah untuk semua menyumbang kembali kepada masyarakat.”

Beliau menambah, kerjasama dengan Tote Board dan Singapore Pools menjadikan pengalaman itu sebagai sokongan nyata kepada pertubuhan amal yang mempromosikan kesejahteraan mental, justeru mencerminkan semangat ‘Heart&Soul’ (Hati dan Jiwa) rakyat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg