Satu pameran kebangsaan yang menggunakan penceritaan imersif dan kecerdasan buatan (AI) generatif untuk mencipta pengalaman peribadi bagi setiap pengunjung akan dibuka di Perpustakaan Orchard pada 26 Ogos dan berlangsung hingga penghujung 2025.
Sebagai acara utama untuk memperingati Jubli Berlian Singapura, SG60 Heart&Soul Experience, kini dibuka untuk tempahan tiket di laman www.heartandsoul.gov.sg.
Penyertaan adalah percuma, manakala tiket boleh diperolehi mengikut ‘siapa cepat dia dapat’.
Slot tiket baru akan dibuka pada setiap 1 hari bulan untuk bulan berikutnya, lapor The Straits Times (ST).
Sebagai contoh, mereka yang berminat untuk mendapatkan tiket pada Oktober boleh menempahnya mulai 1 September.
Selain memilih tarikh dan masa lawatan, pengunjung perlu memberikan nama, e-mel dan bahasa pilihan mereka.
Pengunjung akan diminta memuat naik gambar untuk mencipta ‘avatar’ atau memilih daripada koleksi ‘avatar’ yang disediakan.
Pengunjung kemudiannya akan menerima e-mel pengesahan bersama e-tiket percuma.
Dengan tiket yang diperolehi, pengunjung boleh menikmati pameran selama 60 hingga 90 minit dalam empat bahasa rasmi.
Pameran itu dibuka kepada pengunjung berumur tujuh tahun dan ke atas.
Pameran di Perpustakaan Orchard, Aras 3 dan 4 Orchard Gateway, dibuka dari 9 pagi hingga 6 petang pada Isnin, dan 9 pagi hingga 10 malam dari Selasa hingga Ahad.
Orang ramai juga boleh menikmati pameran yang tidak memerlukan tiket di atrium tingkat bawah Orchard Central dan Orchard Gateway, dari 9 pagi hingga 10 malam setiap hari.
Pameran tersebut menghimpunkan bahan-bahan berharga daripada koleksi Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) serta lebih 110 rakan kongsi daripada sektor awam, swasta dan masyarakat.
Semua kandungan tersebut dimasukkan ke dalam set data yang kemudiannya diproses menjadi watak dan adegan cerita.
Berdasarkan maklumat yang dikongsi oleh setiap pengunjung, AI generatif akan menghasilkan video pratonton unik selama 25 saat yang menggambarkan masa depan mereka.
Dibangunkan bersama oleh Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) serta NLB, Heart&Soul bertujuan memperingati ulang tahun ke-60 Singapura serta ulang tahun ke-30 NLB.
Pengarah kreatif eksekutif pameran itu, yang juga Ketua Pustakawan NLB, Cik Gene Tan, berharap setiap rakyat Singapura dapat menemui tempat mereka dalam masa depan Singapura dan berasa terhubung dengannya.
“Ini adalah pameran yang berasaskan diri anda, diinspirasikan oleh anda dan unik untuk anda. Dan ia akan berubah setiap kali anda datang,” katanya.
Pameran tersebut dijangka menarik sekitar 400,000 pengunjung dan akan berlangsung hingga 31 Disember.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg