Pameran nasional SG60 Heart & Soul Experience sempena ulang tahun ke-60 kemerdekaan Singapura, yang diadakan di Perpustakaan Orchard, telah menarik lebih satu juta pengunjung dalam tempoh hampir tiga bulan sejak dibuka pada akhir Ogos.
Slot hujung minggu untuk pameran ini juga selalunya habis ditempah. Walaupun masuk adalah percuma, tiket diperlukan untuk bahagian tertentu pameran. Setakat ini, lebih 122,000 tiket telah dikeluarkan.
Apabila ditanya mengenai pengalaman mereka, sebilangan besar pengunjung memberi penilaian empat daripada lima mata.
Mengemas kini mengenai pameran itu, Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo, berkata dalam hantaran media sosialnya pada 24 November:
“Para pengunjung, tak kira usia, telah berpeluang merasai pandangan diperibadikan dan unik tentang masa depan Singapura melalui pengalaman melibatkan pelbagai deria.
“Pameran ini adalah sambutan penuh makna terhadap perjalanan bersama kita sebagai sebuah negara, membolehkan pengunjung berhubung dengan ilmu, minat baru, dan antara satu sama lain.”
Beliau menambah pameran itu menggambarkan rancangan masa depan lebih 110 rakan kongsi – termasuk pelan Melakar Hala Tuju Singapura dan Pelan Singapura Menghijau 2030 – dalam masyarakat digital yang terangkum di mana setiap individu boleh maju bersama.
Antara ciri pameran paling popular ialah Windows In The Sky, Wheels Of Time, Call Me In The Future dan Time Traveller, kata Cik Teo.
Windows In The Sky ialah ruang pengalaman pelbagai deria yang membolehkan pengunjung merasai bagaimana kisah masa depan mereka berkembang seiring dengan pengunjung lain, melalui gabungan bunyi, visual dan sensasi.
Pameran itu dilancarkan oleh Perdana Menteri Lawrence Wong pada 26 Ogos dan akan berlangsung sehingga 31 Disember.
Ia dibangunkan bersama oleh Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) serta Lembaga Perpustakaan Negara (NLB), dan serta direka oleh pasukan di sebalik The Bicentennial Experience pada 2019 dan pameran SG50 Future of Us pada 2015.
Pasukan tersebut termasuk Pengarah Kreatif Eksekutif, Encik Gene Tan, yang juga Ketua Pustakawan Dan Ketua Pegawai Inovasi NLB, serta Pengarah Kreatif, Cik Beatrice Chia-Richmond dan Encik Michael Chiang.
Menggunakan teknik penceritaan menyeluruh dan kecerdasan buatan generatif (Gen AI), pameran di Perpustakaan Orchard itu menawarkan setiap pengunjung pengalaman diperibadikan yang penuh imaginasi.
Pengunjung boleh membayangkan bagaimana mereka akan hidup, bekerja dan beriadah di Singapura pada masa depan, serta ‘berbual’ dengan versi diri mereka pada masa hadapan.
Di akhir pameran, setiap pengunjung dapat membawa pulang penanda buku dengan kod QR yang membolehkan mereka mengakses video pendek peribadi sepanjang 25 saat mengenai gambaran masa depan mereka.
Pengalaman yang disyorkan untuk pengunjung berumur tujuh tahun dan ke atas ini, tersedia dalam empat bahasa rasmi dan berlangsung sekitar 60 hingga 90 minit.
Penganjur SG60 Heart&Soul Experience pada awalnya menyasarkan sekitar 400,000 pengunjung sepanjang tempoh acara.
Pameran itu diadakan di Perpustakaan Orchard, di tingkat tiga dan empat Orchard Gateway, dari 9 pagi hingga 6 petang pada Isnin; dan dari 9 pagi hingga 10 malam pada Selasa hingga Ahad.
Selain itu, terdapat siri pameran tanpa tiket di atrium tingkat satu Orchard Central dan Orchard Gateway yang dibuka setiap hari dari 9 pagi hingga 10 malam.
Tiket percuma untuk slot 90 minit boleh didapati di www.heartandsoul.gov.sg


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg