Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tempahan tiket pameran dokumen rahsia S’pura pisah dari M’sia dibuka 18 Nov

Nov 18, 2025 | 6:30 PM
Berjudul ‘Fail Albatross: Kemerdekaan Singapura Didedahkan Rahsianya’, pameran tetap itu membolehkan pengunjung menelusuri detik-detik penting sejarah kemerdekaan Singapura melalui artifak asal, dokumen diubah status, dan pengalaman interaktif.
Berjudul ‘Fail Albatross: Kemerdekaan Singapura Didedahkan Rahsianya’, pameran tetap itu membolehkan pengunjung menelusuri detik-detik penting sejarah kemerdekaan Singapura melalui artifak asal, dokumen diubah status, dan pengalaman interaktif. - Foto fail

Tempahan tiket bagi pameran baru yang membolehkan pengunjung mengetahui lebih mendalam tentang perjalanan Singapura menuju kemerdekaan dibuka pada 18 November.

Pameran tetap tersebut, yang berjudul ‘Fail Albatross: Kemerdekaan Singapura Didedahkan Rahsianya’ (The Albatross File: Singapore’s Independence Declassified), dibuka pula kepada orang ramai di tingkat 10 Bangunan Perpustakaan Negara, yang terletak di Victoria Street, mulai 8 Disember.

Tiket boleh ditempah dalam talian dan masuk percuma.

Pameran tersebut membolehkan pengunjung mendalami kisah perjalanan Singapura menuju kemerdekaan, antaranya perpisahan Singapura dari Malaysia pada Ogos 1965, melalui gabungan babak dramatik, artifak asal dan dokumen yang baru diubah status.

Menurut kenyataan bersama Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) dan Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) pada 18 November, pengunjung pameran berkenaan boleh melihat pameran artifak asal buat kali pertama.

Ini termasuk kertas Kabinet dari 1964 hingga 1965, nota bertulis dan artifak asal daripada mantan Timbalan Perdana Menteri Singapura, mendiang Dr Goh Keng Swee, serta petikan sejarah lisan daripada mantan Perdana Menteri, mendiang Encik Lee Kuan Yew.

Mereka merupakan beberapa orang pemimpin perintis dan antara tulang belakang dalam rundingan Singapura dengan Malaysia pada waktu itu.

Dibangunkan bersama oleh NLB dan MDDI, pameran itu berlandaskan buku bertajuk ‘Fail Albatross: Kisah Perpisahan Dari Sudut Dalaman’ (The Albatross File: Inside Separation), yang bakal diterbitkan serentak dengan pelancaran pameran tersebut pada 7 Disember.

Seiring dengan sambutan ulang tahun kemerdekaan Singapura ke-60 (SG60) dan sambutan ulang tahun ke-30 NLB, Ketua Eksekutif NLB, Cik Melissa Tam, berkata acara kemuncak SG60 itu merupakan sebahagian daripada matlamat NLB sebagai institusi memori negara untuk berkongsi lebih banyak cerita Singapura kepada semua.

“Melalui usaha gigih Arkib Negara dalam mengumpul dan memelihara Fail Albatross serta catatan sejarah lain, dan dengan kerjasama rapat bersama pelbagai rakan, termasuk rakan media, kami dapat mempersembahkan pameran ini sebagai hadiah SG60 kepada negara.

“Kami berharap pameran dan buku ini akan membolehkan rakyat Singapura memperoleh pemahaman lebih mendalam tentang perjalanan penuh liku yang dilalui para perintis kita sepanjang tempoh sukar dalam sejarah negara ini,” jelasnya.

Pengunjung juga berpeluang meneroka empat bahagian interaktif di pameran tersebut.

Bahagian pertama BILIK menampilkan penceritaan dramatik mengenai peristiwa di sebalik pintu tertutup menjelang perpisahan Singapura dari Malaysia dengan gabungan rakaman arkib dan wawancara sejarah lisan.

Di REKOD, pengunjung boleh mendengar suara pemimpin utama dan meneliti dokumen rasmi serta nota bertulis termasuk dokumen Fail Albatross yang baru diubah status.

Bahagian ATLAS, yang disifatkan sebagai tumpuan utama pameran itu, memaparkan dinding interaktif yang menjejak bulan, hari, dan saat penting menjelang perpisahan Singapura dari Malaysia dan mengikuti peristiwa tersebut menerusi Jam Ruang Masa.

Pengunjung juga dapat menikmati perkhidmatan sembang berlandas kecerdasan buatan (AI) di CHATBOOK yang membolehkan mereka berinteraksi mengenai kandungan buku Fail Albatross serta sejarah Singapura.

NLB dan MDDI menyatakan pameran itu disyorkan buat pengunjung berusia 10 tahun ke atas, dengan setiap lawatan dijangka mengambil masa sekitar satu jam.

“Panduan pameran akan disediakan secara digital dalam empat bahasa rasmi Singapura,” kongsi mereka.

Maklumat lanjut mengenai tempahan tiket dan pameran boleh didapati di laman https://go.gov.sg/albatrosstickets.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg