Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pancing ‘tangkap’ erti kehidupan

Aug 18, 2024 | 5:30 AM
Wartawan, Muhd Hazman Abd Aziz, bergambar bersama ikan pertama yang ditangkapnya di pantai Changi.
Wartawan, Muhd Hazman Abd Aziz, bergambar bersama ikan pertama yang ditangkapnya di pantai Changi. - Foto BM oleh ABDUL QAYYUM SARIP

Pengalaman memancing pertama saya seperti mengharungi ombak yang bergelora, penuh dengan peristiwa tidak terduga.

Dari memancing di atas kayak, hujan lebat, menunggu berjam-jam lamanya untuk tangkapan pertama, dan belajar memancing di tengah laut – ia merupakan pengalaman yang penuh kerendahan hati.

Ia menguji ketabahan dan kesabaran kerana usaha yang diperlukan untuk mendapatkan ikan pertama itu benar-benar mencabar.

Pengalaman ini menjadi lebih istimewa apabila saya mendapat peluang untuk melakukan aktiviti kayak sambil memancing bersama pemancing kayak berpengalaman, Encik Mohammad Nordin Kasmuri.

Kami berkayak dari pantai Changi pada 11 pagi dan menuju ke kelong berdekatan Pulau Ubin yang berjarak sekitar 5 kilometer pergi dan pulang.

Aktiviti memancing memerlukan daya kesabaran yang tinggi – ada hari yang mampu membuat kita senyum kegembiraan, ada juga sebaliknya.

Kami memulakan dengan cukup baik apabila, di kelong pertama, alat pengesan ikan yang digunakan Encik Nordin berjaya mengesan dua ekor ikan yang berada berdekatan dengan kami.

Malangnya, umpan yang ditabur tidak dapat mengumpan ikan tersebut. Selepas sekitar setengah jam menunggu, kami meneruskan perjalanan ke dua lagi kelong.

Kami mula merasakan tekanan kerana di kededua kelong itu kami masih lagi tidak mendapatkan ikan.

Awan mula berkumpul dan langit mula membasahi kami.

Dengan berteduhkan sebuah atap di kelong berdekatan, kami terus menunggu ikan di sekitarnya.

Sekitar 1.45 petang, akhirnya umpan Encik Nordin berjaya dimamah seekor ikan dan beliau segera memberikan saya joran beliau untuk saya cuba menarik ikan tersebut.

Dengan jeritan semangat beliau serta pergelutan yang berlangsung untuk beberapa minit, akhirnya saya berjaya menarik ikan keluar.

Ia merupakan ikan duri jahan yang beratnya adalah lebih kurang 3 kilogram!

Sepanjang aktiviti kami, Encik Nordin turut membimbing saya dalam cara mengawal kayak di samping ‘tugas’ menangkap ikan.

Antara tip yang dapat saya cedok daripada beliau adalah bagaimana kekuatan arus itu boleh meningkatkan lagi peluang untuk mendapatkan ikan.

Kekuatan arus mampu ‘menyebarkan’ bau umpan itu dan menarik perhatian ikan yang lebih jauh.

Disebabkan arus pada hari itu tidak begitu kuat, kami memerlukan masa yang lebih lama untuk mendapatkan ikan.

Selain itu, apabila ikan mula menggigit umpan, kami tidak boleh bermain tarik tali bersamanya.

Jika kededuanya menarik, ia akan memutuskan tali joran, dan terlepaslah ikan itu.

Itulah yang saya lalui selepas dua ikan berjaya meloloskan diri, ia terasa bak umpan habis, ikan tidak kena. Usaha menunggu dan pergelutan tidak membawakan hasil.

Teknik yang diajar ialah saya perlu menunggu ikan itu berhenti menarik, kemudiannya baru saya mula menggulung kekili. Saya perlu mengulangi proses tersebut sehinggalah berjaya menarik keluar ikan.

Aktiviti yang berlangsung selama enam jam itu diakhiri dengan kami berjaya mendapatkan ikan duri jahan yang ketiga dan yang terakhir.

Pengalaman memancing ini mengingatkan saya tentang cabaran yang dihadapi oleh para nelayan hanya untuk membawa pulang hasil tangkapan.

Lebih-lebih lagi bagi nelayan terdahulu yang tidak mempunyai sebarang teknologi atau alat memancing yang lebih canggih, tugas mereka membawa pulang ikan pastinya penuh cabaran, dan lebih sukar.

Dengan bantuan teknologi, saya dan pembimbing saya dapat menangkap tiga ekor ikan dalam masa enam jam, bagaimana pula dengan mereka?

Pada hari laut tenang dan tidak bergelora, tidak mempunyai teknologi untuk mengesan pergerakan ikan sudah pasti cabaran yang jauh lebih besar.

Apa yang pasti, mereka akan lebih menghargai segala penangkapan yang mereka peroleh kerana kegembiraan mendapatkan hanya seekor ikan merupakan perasaan yang luar biasa.

Memancing bukan sekadar menangkap ikan. Ia juga memerlukan kesabaran, disiplin, kekuatan fizikal, dan reda dengan hasil penangkapan kita, sudah pasti ia membawa pengajaran kepada banyak hal.

Jika anda bertanya tentang aktiviti yang boleh memberikan erti kehidupan, mungkin memancing adalah antara aktivitinya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg