Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pandan Gardens dikenal pasti sebagai lokasi gelanggang luncur ais baru saiz Olimpik

Feb 1, 2025 | 3:35 PM
Bekas Kompleks Renang Pandan Gardens di 200 Pandan Gardens telah muncul sebagai tapak yang berpotensi untuk dijadikan gelanggang luncur ais baru bersaiz Olimpik. 
Bekas Kompleks Renang Pandan Gardens di 200 Pandan Gardens telah muncul sebagai tapak yang berpotensi untuk dijadikan gelanggang luncur ais baru bersaiz Olimpik.  - Foto ST

Rundingan sedang dijalankan bagi pembinaan sebuah gelanggang luncur ais baru bersaiz Olimpik di kejiranan Pandan Gardens, dengan satu tapak bekas mercu tanda di kejiranan itu dianggap berpotensi sebagai lokasi

Tapak bekas Kompleks Renang Pandan Gardens – yang dibuka pada Oktober 1978 di 200 Pandan Gardens – malahan, sedang ‘diintai untuk gelanggang tersebut, The Straits Times difahamkan.

Dokumen yang diterbitkan baru-baru ini daripada dua persatuan sukan nasional – Persatuan Hoki Ais Singapura (Siha) dan Persatuan Luncur Ais Singapura (Sisa) – menyatakan bahawa sebuah gelanggang akan dibina di kawasan itu, tetapi tidak menyebut tapak sebenar kemudahan baru itu.

Menurut minit mesyuarat agung tahunan Siha yang diadakan pada 31 Ogos 2024, sebuah gelanggang di Pandan Gardens telah “disahkan dengan pajakan 10+10 tahun”.

Ini merujuk kepada tempoh pajakan awal selama 10 tahun, dengan pilihan untuk lanjutan 10 tahun.

Menurut minit tersebut, “kemudahan itu akan menampilkan sebuah gelanggang bersaiz Olimpik dan satu lagi gelanggang yang lebih kecil berukuran satu pertiga daripada saiz Olimpik”.

Buat sementara ini, pembinaan dijadualkan bermula pada Mac dan siap pada penghujung 2026.

Sisa juga berkata dalam nota bertulis kepada ahli-ahlinya pada 11 Mac 2024, bahawa “pemegangan tanah melebihi 10 tahun” telah berjaya diperolehi untuk pembangunan gelanggang di Pandan Gardens.

Atlet-atlet daripada dua persatuan itu tidak mempunyai kemudahan latihan yang mencukupi sejak gelanggang bersaiz Olimpik tunggal di Singapura, di pusat beli-belah JCube di Jurong East, ditutup pada Ogos 2023 untuk pembangunan semula pusat beli-belah itu.

Jika dibina, gelanggang di Pandan Gardens ini akan menawarkan lebih banyak tempat latihan bagi atlet dan peminat sukan musim sejuk di sini.

Satu-satunya gelanggang lain di negara ini, yang terletak di Leisure Park Kallang, lebih kecil daripada yang biasanya digunakan untuk pertandingan antarabangsa.

Justeru, atlet perlu berlatih di luar negara sementara menunggu gelanggang baru dibina di Singapura.

Cik Shelly Koh, ketua kewangan dan operasi di syarikat pengayaan sukan PeopleUp – penyewa utama di 200 Pandan Gardens sejak 2018 – berkata syarikat itu dalam pajakan di situ sehingga akhir Februari.

Cik Koh memberitahu ST pada 27 Januari, perbincangan untuk gelanggang yang akan dibangunkan di bekas tapak kompleks renang itu telah berlangsung selama kira-kira 1½ tahun, dan PeopleUp sedang menunggu maklumat terkini daripada tuan tanah, LHN Properties Investments, sama ada pajakannya itu akan dilanjutkan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg