Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Panduan reka bentuk siap bagi 13 bandar HDB

Inisiatif bertujuan pastikan setiap estet miliki perwatakan unik dan ada kaitan dengan warisannya
Sep 7, 2024 | 6:06 PM
Estet Pasir Ris Street 11 dengan menara rumah api di blok HDB.
Estet Pasir Ris Street 11 dengan menara rumah api di blok HDB. - Foto ST

Selaras dengan visi menjadikan Pasir Ris “bandar peranginan tepi laut”, projek flat Bina Ikut Tempahan (BTO) di bandar itu akan menggabungkan elemen pantai manakala sebuah jalan raya di situ akan bertemakan sungai.

Tema ini, yang diinspirasikan daripada sejarah bandar itu sebagai destinasi tepi laut yang popular, dipaparkan dalam sebuah panduan reka bentuk yang menggariskan visi perancangan keseluruhan bandar dan tema yang berbeza.

Panduan reka bentuk bagi 13 daripada 24 bandar Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) telah disiapkan sejak panduan sedemikian diperkenal pada 2018, kata HDB pada 7 September.

Bandar ini termasuk Pasir Ris, Ang Mo Kio, Bukit Merah, Tengah, Punggol dan Woodlands.

Panduan reka bentuk bagi Pasir Ris telah disiapkan pada 2020 dan dikemas kini pada 2024.

Panduan ini membantu membimbing perkembangan baru dalam sesebuah bandar, serta usaha menaik taraf dan pembaharuan di ruang sedia ada dan kawasan umum, kata ketua perancang bandar HDB, Dr Chong Fook Loong.

“Panduan ini memastikan ketekalan dalam reka bentuk merentasi kitaran hayat bandar, serta membantu mengekalkan identiti tempat dan ciri-ciri berbeza bandar HDB kami,” tambahnya.

Di Pasir Ris, blok perumahan di Pasir Ris Street 13, yang dibina pada 1990-an, mempunyai bukaan lubang angin bulat atau porthole di sepanjang muka bangunan seperti yang dilihat pada kapal persiaran, kata HDB. 

Blok-blok lain di Pasir Ris Street 11 mempunyai sudut yang direka bentuk untuk kelihatan seperti menara rumah api.

Panduan reka bentuk bandar diilhamkan menerusi identiti ini, tambah HDB.

Sebagai contoh, projek Costa Grove BTO di Pasir Ris Drive 3 akan mempunyai taman permainan bertemakan bakau selaras dengan tema pantai, serta motif ikan tembakul dan burung raja udang.

Projek itu dijadualkan siap pada suku keempat 2025.

Di Queenstown, tema bandar urban kawasan itu diilhamkan oleh bagaimana pelbagai estet mempunyai kemudahan tinggal berdekatan dengan pelbagai prasarana, kata HDB.

Panduan reka bentuk bandar ini bertujuan memastikan setiap estet di Queenstown mempunyai perwatakan yang unik dan ada kaitan dengan warisannya, tambahnya.

Di Queensway misalnya, ia bertemakan ‘kampung di tepi laluan kereta api’ kerana kawasan itu terletak di sepanjang Koridor Kereta Api dan ini juga merupakan ilham bagi reka bentuk projek BTO akan datang seperti Queensway Canopy.

Projek itu, yang direka oleh arkitek HDB, akan mempunyai jambatan yang menghubungkan setiap blok untuk membentuk trek berlari-lari anak sepanjang 800 meter. 

Jambatan penghubung telah direka mengikut reka bentuk jambatan kekuda (truss bridges) – satu ikon bersejarah bekas landasan kereta api yang digunakan untuk berulang-alik dan mengangkut barangan antara Singapura dengan Malaysia dahulu.

Dr Chong berkata HDB berharap panduan ini akan membantu rakan kerja HDB seperti agensi pemerintah lain dan perunding reka bentuk, untuk mewujudkan sebuah bandar dengan identiti yang kukuh buat penduduk.

Panduan bagi 11 bandar lain akan disiapkan secara bertahap dalam beberapa tahun akan datang. 

Bandar ini termasuk Bishan, Jurong East, Sengkang, Sembawang dan Marine Parade.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg