Topik diikuti
Pergi ke BHkuPanduan ringkas fahami PRN Johor
Panduan ringkas fahami PRN Johor
Panduan ringkas fahami PRN Johor
Negeri paling selatan Malaysia yang berjiran dengan Singapura itu bakal mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 11 Julai.
Ia melibatkan kira-kira 2.7 juta pengundi, dengan kempen pilihan raya kini berlangsung dengan rancak.
Dalam perkembangan yang menarik, gabungan pemerintah negeri kini berdepan saingan daripada sekutunya sendiri di peringkat persekutuan, sekali gus menguji hubungan dalam pentadbiran Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bagi rakyat Singapura, pilihan raya ini bukan sekadar urusan politik dalaman Malaysia.
Keputusan PRN Johor dijangka memberi kesan kepada hala tuju pembangunan negeri itu, yang menjadi tunjang kepada Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Berikut panduan ringkas yang disediakan The Straits Times (ST) bagi membantu anda memahami situasi semasa.
Bilakah pengundi akan mengundi?
Hari Penamaan Calon berlangsung pada 27 Jun lalu, sekali gus menandakan bermulanya tempoh berkempen selama 14 hari yang berakhir pada 11.59 malam, sehari sebelum hari mengundi pada 11 Julai.
Pengundian awal pula dijadualkan pada 7 Julai, melibatkan petugas yang menjalankan tugas rasmi seperti anggota polis, tentera dan pegawai pilihan raya.
Tarikh pengundian diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 12 Jun selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan pada 1 Jun, lebih awal daripada jangkaan.
Siapakah gabungan utama yang bertanding?
Gabungan pemerintah Johor ketika ini ialah Barisan Nasional (BN), yang dilihat berada pada kedudukan kukuh untuk mengekalkan pentadbiran negeri, iaitu negeri kelahiran parti terasnya, Umno.
Dalam PRN Johor 2022, BN memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN sekali gus memperoleh majoriti dua pertiga.
Pencabar utama BN ialah Pakatan Harapan (PH) yang diterajui Datuk Anwar, meskipun kededua gabungan merupakan sekutu di peringkat persekutuan menerusi apa yang dikenali sebagai Kerajaan Perpaduan.
Seorang lagi pencabar utama ialah Perikatan Nasional (PN).
Walau bagaimanapun, gabungan itu hanya akan bertanding di 33 kerusi walaupun pada awalnya berikrar meletakkan calon di semua kerusi.
Suasana dalam PN juga dilaporkan kurang harmoni selepas parti tonggaknya, Parti Islam SeMalaysia (PAS), baru-baru ini memutuskan hubungan dengan sekutunya, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
