Satu panduan dalam talian, yang bertujuan membantu penjaga merancang masa depan anak mereka selepas kematian ibu bapa, telah dilancarkan.
Bertajuk Hidup Selepas Mati (Life After Death), panduan tersebut merangkumi topik kewangan, kesihatan, dan perumahan serta pilihan penjagaan.
Ia disusun oleh Rangkaian Autisme Singapura (ANS), sebuah gabungan lima agensi sosial, dan dikeluarkan pada penghujung 2025, lapor akhbar ST.
Dalam satu kenyataan media pada 27 Mac, ANS menyatakan panduan tersebut dibangunkan oleh pasukan ibu bapa dan penjaga individu autisme, serta karyawan dan sukarelawan autisme.
Versi draf panduan itu telah disemak oleh karyawan seperti peguam dan perunding kewangan, dan telah diuji dengan lebih 20 ibu bapa dan penjaga dalam bengkel.
Cik Ho K.M, ibu kepada anak 26 tahun yang ada autisme, berkata panduan ini mengumpulkan sumber yang tersedia untuk membantu penjaga seperti dirinya memastikan anak-anak mereka menjalani kehidupan yang memuaskan.
“Saya teruja mengetahui bahawa kami tidak bersendirian dalam hal ini, dan adanya masyarakat (ANS) yang boleh kami bergantung dan bersama-sama melalui perjalanan ini,” ujar beliau.
Panduan itu adalah idea daripada Cik Denise Phua, Presiden Pusat Sumber Autisme (Singapura) dan pengerusi Persatuan Autisme (Singapura).
Cik Phua, yang ada anak lelaki dengan autisme, berkata panduan ini dicipta untuk memperkasa dan menggalakkan ibu bapa serta penjaga merancang dan bertindak.
“Ia adalah seruan untuk bertindak bagi keluarga, karyawan dan masyarakat untuk bersama-sama memastikan individu dalam spektrum autisme terus berkembang dan menjalani kehidupan bermutu selepas hayat penjaga mereka,” kata beliau, yang juga Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) Central.
Encik Bernard Chew, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Autisme St. Andrew’s (SAAC), berkata semua anggota masyarakat mempunyai tanggungjawab bersama untuk menyokong penjaga.
“Lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk mengiktiraf dan meringankan beban mereka yang kadangkala senyap – melalui rehat, sokongan emosi dan perancangan jangka panjang.
“Dengan bekerjasama, kita dapat meringankan beban mereka dan mewujudkan masyarakat lebih inklusif bagi kededua penjaga dan individu menghidapi autisme,” ujar Encik Chew, yang meminta kelonggaran waktu kerja dan pemahaman lebih luas daripada masyarakat.
Salah satu anggota ANS, Pusat Sumber Autisme (Singapura), merancang mengadakan bengkel bagi membimbing penjaga melalui panduan tersebut pada penghujung 2025.
Penjaga yang berminat boleh mengetahui lebih lanjut atau menyatakan minat untuk turut serta di https://www.autism.org.sg/.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg