Penumpang boleh menjangkakan lebih banyak maklumat berkenaan laluan pengangkutan alternatif dan waktu perjalanan tambahan, sekiranya mereka menghadapi gangguan pada sistem pengangkutan awam kelak.
Mereka juga boleh menjangkakan maklumat itu dipaparkan menerusi satu wadah pusat, dengan tunjuk arah yang lebih baik, kata Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Anggota Parlimen (AP) GRC Sengkang, Encik Louis Chua, dalam sidang Parlimen pertamanya sejak menggalas jawatan tersebut pada 22 September.
Encik Chua menanyakan sama ada terdapat pengendali rel yang didenda kerana gagal memaklumkan pengguna rel berhubung kelewatan melebihi 10 minit, sejajar dengan keperluan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), sejak lima tahun kebelakangan ini.
Encik Siow berkata LTA tidak mengenakan sebarang denda terhadap mana-mana pengendali rel berhubung aspek itu, tetapi akur lebih banyak boleh dilakukan bagi memperbaiki pengalaman penumpang.
“Sebagai contoh, penumpang seharusnya diberikan maklumat lebih tepat mengenai laluan perjalanan alternatif dan masa perjalanan tambahan, bergantung pada lokasi khusus berbanding nasihat umum.
“Penumpang juga seharusnya boleh mendapatkan maklumat di satu lokasi pusat, mungkin melalui satu aplikasi, supaya penumpang tahu wadah mendapatkan maklumat semasa gangguan,” katanya.
Beliau berkata walaupun Singapura dilanda beberapa gangguan pada pengangkutan rel sejak kebelakangan ini, rangkaian MRT di sini masih kekal sebagai “salah satu sistem tren yang boleh dipercayai di dunia”.
Namun, Encik Siow berkata dengan rangkaian rel yang sedang diperluaskan, amat sukar untuk mendapatkan pengangkutan yang tanpa gangguan sama sekali.
“Kelewatan kereta api berlaku dalam setiap sistem, dalam setiap bandar.
“Telefon, komputer (dan sebagainya) ada kala perlu dihidupkan semula atau restart. Kereta juga boleh mengalami kerosakan, begitu juga dengan pengangkutan tren awam,” ujarnya.
Projek perluasan rangkaian rel termasuk pembinaan Laluan Rentas Pulau (CRL) dan Laluan Kawasan Jurong (JRL) – masing-masing dijangka beroperasi menjelang 2030 dan 2029.
Berkenaan pembentukan pasukan petugas yang diumumkan pada 19 September, Encik Siow berkata kumpulan itu dibentuk kerana pemerintah dan pihak berkepentingan ingin betul-betul meneliti supaya tidak ada masalah sistemik berlaku.
Pasukan petugas baru terdiri daripada pakar teknikal dan pemimpin kanan daripada LTA dan pengendali kereta api, SMRT dan SBS Transit, untuk mencari huraian segera bagi meningkatkan kebolehpercayaan kereta api, dan tindak balas terhadap gangguan perkhidmatan.
Dipengerusikan oleh ketua pegawai eksekutif LTA, Encik Ng Lang, pasukan itu akan melaporkan hasil dapatan kepada Encik Siow secara berkala dan saranan mereka akan diserahkan pada penghujung 2025.
Secara keseluruhannya, 18 soalan mengenai keandalan rel telah difailkan oleh AP, termasuk punca gangguan tren dan langkah yang diambil untuk menangani kerosakan pada masa hadapan.
Antara soalan itu termasuk daripada Encik Sharael Taha (GRC Pasir Ris-Changi), yang bertanya sama ada Kementerian Pengangkutan (MOT) akan meningkatkan lagi sasaran keandalan rel Singapura.
Encik Siow berkata Singapura telah menunjukkan prestasi konsisten dan berada di atas sasaran yang ditetapkan pada 2017 sejak 2019.
Pada 2017, sasaran kelewatan tidak melebihi lima minit untuk sekali sahaja dalam setiap sejuta kilometer operasi – dikenali sebagai purata kilometer antara gangguan (MKBF) dalam ukuran kejuruteraan.
Namun, beliau berkata ukuran MKBF tidak mengambil kira tempoh gangguan perkhidmatan dan kesannya terhadap penumpang.
Ia juga tidak membezakan gangguan penuh terhadap seluruh perkhidmatan rel dan gangguan tidak serius dengan perkhidmatan tren masih dapat diteruskan dan penumpang masih dapat meneruskan perjalanan mereka.
Encik Siow berkata beliau telah meminta LTA berkongsi data meliputi dua aspek – sungguhpun ia bersifat teknikal – dengan orang awam bagi memberikan gambaran lebih lengkap berkenaan prestasi rel.
Ia merangkumi ketepatan kereta api untuk sampai ke setiap perhentian penghabisan dan bahagian jarak berjadual yang dilalui kereta api, katanya.
“Kami bersifat telus kerana kami mempunyai sistem yang baik, dan tiada apa-apa yang ingin kami sembunyikan,” tambah Encik Siow.
Sepanjang tiga bulan lepas, terdapat sekurang-kurangnya 15 gangguan pada rangkaian rel.
Ini termasuk kerosakan pada pencawang elektrik pada 12 Ogos yang menyebabkan bekalan elektrik kepada beberapa bahagian Laluan Timur Laut (NEL) dan sistem LRT Sengkang-Punggol terputus. Punca kerosakan itu masih disiasat, kata Encik Siow.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg