Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Panel bebas: Saran rel ditutup lebih lama untuk kerja senggara

Panel ditubuh untuk sedia panduan strategik, kepakaran kukuhkan keandalan rel S’pura
Nov 18, 2025 | 7:34 PM
keandalan rel, penasihat bebas, singapura
Penemuan dan cadangan panel penasihat bebas akan menjadi sebahagian daripada laporan pasukan petugas yang akan dikemukakan kepada Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow, menjelang akhir 2025. - Foto fail

Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) wajar merancang tempoh penutupan lebih lama pada bahagian tertentu perkhidmatan rel supaya projek penyenggaraan dan pembaharuan dapat dipercepat dengan selamat dan berkesan.

Demikian antara saranan panel penasihat bebas yang ditubuhkan untuk menyediakan panduan strategik dan kepakaran teknikal bagi mengukuhkan rangkaian serta keandalan rel Singapura.

Lima anggota panel itu kini berada di Singapura dari 17 hingga 21 November, bagi mengadakan rundingan bersama LTA serta pengendali rel tempatan, SMRT dan SBS Transit.

Demikian menurut satu kenyataan bersama LTA, SMRT dan SBS Transit pada 18 November.

Seorang anggota panel itu, Dr Tony Lee, pakar kejuruteraan rel dari Hong Kong, berkata kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaharuan perlu dipertingkatkan, sedang rangkaian Singapura berkembang dan semakin berusia.

“Pada masa yang sama, pembaharuan beberapa sistem kritikal secara serentak sambil mengurus operasi harian rel menimbulkan cabaran, dan tugas itu perlu dirancang dengan teliti serta dilaksanakan secara berperingkat.

“Buat masa ini, jumlah masa kerja kejuruteraan yang tersedia adalah terhad.

“LTA wajar merancang penutupan berjadual yang lebih panjang bagi segmen tertentu perkhidmatan rel supaya kerja penyelenggaraan dan pembaharuan dapat dipercepat dengan selamat dan berkesan,” kata Dr Lee, selaku wakil panel itu, dalam kenyataan tersebut.

Menurut kenyataan itu lagi, panel tersebut akan melawat kemudahan rel tempatan bagi menilai amalan operasi semasa, protokol penyelenggaraan, pendekatan penyepaduan sistem dan langkah meningkatkan keandalan rangkaian rel.

Para anggota panel tersebut terdiri daripada Dr Lee, yang juga mantan Pengarah Operasi dan Inovasi, pengendali pengangkutan awam Hong Kong, MTR Corporation; Encik Patrick Bauchart, mantan Naib Presiden Pengisyaratan Kereta Api Bandar Asia, di syarikat penyedia sistem pengisyaratan Perancis, Thales; Dr Cai Chang Jun, mantan Timbalan Pengurus Besar Guangzhou Metro Group; Profesor Tsay Huel-Sheng, mantan Pengerusi dan Presiden Taipei Rapid Transit Corporation; dan Encik Kon Shinichiro, Pegawai Eksekutif Pengurusan Meidensha Corporation Japan.

Cadangan lain yang dikemukakan termasuk menggalakkan pasukan petugas berusaha mewujudkan sistem pemantauan keadaan yang lebih menyeluruh.

Dr Lee dan panel akur ia akan memakan masa untuk mewujudkan sistem tersebut namun mengambil maklum selain daripada meningkatkan sistem rel, pasukan petugas turut sedang meneliti peningkatan penggunaan teknologi baru seperti pendigitalan, kecerdasan buatan (AI) dan automasi untuk mengurus sistem dan memperbaiki kerosakan sebelum ia berlaku.

“Adalah juga berbaloi untuk melabur dalam sistem simulasi bagi menguji senario dan mengurangkan risiko keadaan sedemikian lebih awal,” cadang Dr Lee.

Panel itu turut menekankan kepentingan usaha berterusan membangun bakat bagi melahirkan tenaga kejuruteraan dalam sektor rel.

Untuk mencapai matlamat ini, para pereka sistem perlu memperoleh pengalaman operasi di barisan hadapan dan diberikan peluang untuk menukar kerjaya dalam sektor tersebut.

Operator barisan hadapan juga harus memperkukuh pengetahuan dalam reka bentuk sistem dan pengurusan aset, tambah Dr Lee.

Sementara itu, pengendali rel juga perlu terus membangunkan kecekapan kejuruteraan yang lincah bagi menangani cabaran harian, saran panel itu.

Penemuan dan cadangan panel tersebut akan menjadi sebahagian daripada laporan pasukan petugas yang akan dikemukakan kepada Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow, menjelang akhir 2025.

“Buat masa ini, jumlah masa kerja kejuruteraan yang tersedia adalah terhad. LTA wajar merancang penutupan berjadual yang lebih panjang bagi segmen tertentu perkhidmatan rel supaya kerja penyelenggaraan dan pembaharuan dapat dipercepat dengan selamat dan berkesan.”
Dr Tony Lee, pakar kejuruteraan rel dari Hong Kong yang merupakan antara anggota panel penasihat bebas.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg