Panel yang diketuai oleh Ketua Perkhidmatan Awam, Encik Leo Yip, akan mengkaji punca utama pendedahan nombor kad pengenalan (NRIC) penuh dalam insiden portal perniagaan Bizfile, kata Menteri Kedua (Kewangan merangkap Pembangunan Negara), Cik Indranee Rajah, dalam satu kenyataan menteri di Parlimen pada 8 Januari.
Menurut Cik Indranee, panel tersebut akan mengkaji semula dasar pemerintah mengenai penggunaan nombor NRIC yang bertanggungjawab, dan isu pendedahan nombor NRIC penuh di portal Bizfile baru Penguasa Pengawalan Perakaunandan Korporat (Acra).
Panel tersebut, yang akan lapor kepada Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean, akan melibatkan Setiausaha Tetap yang kementeriannya tidak terlibat dalam dasar NRIC atau insiden itu, yang termasuk Setiausaha Tetap Kementerian Kewangan (MOF) yang menyelia Acra dan Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI).
Ia akan mengkaji apa yang berlaku, bagaimana keputusan dibuat, proses pelaksanaan dan komunikasi, penyelarasan antara agensi sektor awam, serta di mana pemerintah sepatutnya dan boleh perbaiki, yang dijangka selesai pada Februari.
Selain itu, ia juga akan mencadangkan bidang-bidang untuk penambahbaikan, dan menyelidik reka bentuk dan pelaksanaan fungsi carian ‘People Search’ di Bizfile.
Sama ada tindakan akan diambil terhadap mereka yang terlibat, Cik Indranee berkata keputusan itu bergantung pada hasil kajian.
“Berdasarkan penemuan awal Panel, insiden ini kelihatan sebagai kes salah komunikasi yang timbul akibat kefahaman yang tidak mencukupi mengenai niat dasar dan keperluan serta kehendak setiap pihak.
“Namun, jika Panel menemui fakta-fakta yang mencadangkan salah laku yang boleh diambil tindakan atau kelemahan yang serius, ia akan merujuk perkara tersebut kepada badan atau pihak berkuasa yang berkaitan untuk tindakan tatatertib atau undang-undang selanjutnya,” tambah beliau.
Selain itu, beliau mengatakan bahawa Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) digunakan di sektor swasta, manakala agensi awam seperti Acra ditadbir oleh Akta Sektor Awam (Tadbir Urus) dan manual arahan pemerintah.
“Memandangkan Panel masih dalam proses mengesahkan fakta penuh insiden ini, adalah terlalu awal untuk membuat kesimpulan secara muktamad sama ada terdapat pelanggaran Akta Sektor Awam (Tadbir Urus) atau manual arahan pemerintah,” kata Cik Indranee.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg