Panel lif terbakar di hotel ibis di Bencoolen
Kebakaran berlaku pada panel kawalan lif di hotel ibis Singapore on Bencoolen pada 13 Mac.
Menurut Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), mereka dimaklumkan mengenai kebakaran di tingkat 16 hotel tersebut pada sekitar 9.55 pagi.
Api berjaya dipadamkan menggunakan alat pemadam api dan tiada kecederaan dilapor.
Punca kebakaran masih disiasat.
Apabila The Straits Times (ST) tiba di lokasi di Bencoolen Street kira-kira 12 tengah hari, beberapa orang telah dipindahkan keluar dari premis dan duduk berhampiran Pusat Seni Stamford, yang terletak di belakang hotel tersebut.
Terdapat sekurang-kurangnya sebuah kereta bomba dan dua ambulans di lokasi.
Seorang tetamu hotel dari Filipina, Cik Janice Villamil, berkata penggera kebakaran berbunyi sekitar 9.30 pagi.
Tetamu kemudian diminta berkumpul di lobi sebelum diiringi ke kawasan lapang di hadapan Kuil Kwan Im Thong Hood Cho di Waterloo Street.
Menurut naib presiden firma teknologi yang berada di Singapura bagi menghadiri persidangan, mereka diperiksa di tanah lapang itu untuk memastikan tiada kecederaan yang dialami.
Beliau kemudian diberitahu oleh seorang petugas pembersihan hotel bahawa kebakaran berpunca daripada lif di tingkat 16.
Dalam gambar yang dikongsi oleh Cik Villamil kepada ST, panel lif kelihatan rosak akibat kebakaran.
Beberapa bahagian dinding dan siling di sekelilingnya menjadi hitam akibat jelaga daripada kebakaran itu.
Menurut wadah pelancongan digital Agoda, hotel setinggi 16 tingkat itu mempunyai 534 bilik.
Pihak polis dan ibis telah dihubungi untuk mendapatkan maklumat lanjut.

