Panel penasihat Kolej Pengajian Islam Singapura (SCIS) yang akan ditubuhkan, bakal memberi panduan tentang piawaian pendidikan, melakar hala tuju strategik untuk pelbagai program selain mengenal pasti kemahiran penting yang diperlukan oleh barisan pemimpin agama masa hadapan.
Demikian dikongsi oleh Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad, dalam satu hantaran di Facebook pada 14 Januari.
Panel tersebut akan dianggotai Setiausaha Agung Akademi Fiqh Islam Antarabangsa (IIFA), Dr Koutoub Mustapha Sano, tambah Encik Masagos, yang turut menekankan jalinan kukuh antara Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) dengan IIFA.
“Sejajar dengan perbincangan dengan ulama di Kahirah, saya mengadakan perbincangan mendalam bersama Setiausaha Agung IIFA, Dr Koutoub Mustapha Sano, di Jeddah.
“Dr Sano salah seorang ahli Panel Penasihat SCIS. Kami menekankan jalinan kukuh antara Muis dengan IIFA.
“Terima kasih kepada Dr Sano dan IIFA atas kesediaan mereka bekerjasama dengan Singapura,” kata Encik Masagos.
Encik Masagos, yang juga Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Menteri Kedua Kesihatan, kini berada di Arab Saudi sebagai sebahagian daripada lawatan rasminya ke Mesir dan Arab Saudi selama tujuh hari yang dijadual berakhir pada 15 Januari.
Dalam pertemuannya bersama beberapa ulama, Encik Masagos yang turut berkongsi dengan mereka perkembangan SCIS, berkata:
“Para pakar yang kami temui bersetuju bahawa kolej ini mampu memenuhi keperluan pendidikan dan penyelidikan agama kontemporari khususnya dalam negara yang mempunyai ekonomi sekular dan maju.
“Kolej ini juga akan memenuhi keperluan agama khusus bagi umat Islam yang hidup sebagai masyarakat minoriti di negara masing-masing.”
Muis telah menerbitkan buku yang menukil langkah pertama dalam perjalanan membina asas bagi SCIS, yang berjudul, SCIS: Building The Foundations.
Buku SCIS itu merangkumi pemikiran, perancangan dan pencapaian sepanjang perjalanan penubuhan SCIS.
Tujuannya adalah memberi inspirasi kepada pihak berkepentingan dalam merealisasikan projek itu dan juga menggambarkan asas dan hala tuju SCIS dalam menyediakan pendidikan Islam di Singapura.
Semasa di Makkah, Encik Masagos mengadakan perbincangan bersama ulama Saudi, Dr Hatem Al Awni.
Ia menyentuh mengenai visi Singapura membina masyarakat gemilang yang membolehkan masyarakat minoriti Islam berkembang maju dan menyumbang secara aktif.
Beliau turut mengalu-alukan pandangan Dr Al Awni, yang menyokong pembentukan SCIS, mengenai pembangunan pendidikan agama.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg