Beberapa perubahan dalam pelantikan Setiausaha Tetap di Kementerian Perdagangan dan Perusahaan (MTI) akan berkuat kuasa mulai 1 September 2024, menurut Divisyen Perkhidmatan Awam (PSD), Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan.
Setiausaha Tetap (Dasar), Encik Gabriel Lim Meng Liang, akan bersara pada 1 September selepas 24 tahun berkhidmat dalam perkhidmatan awam.
Sementara itu, Setiausaha Tetap Kedua Kementerian Tenaga Manusia (MOM), Encik Jeffrey Siow Chen Siang, akan dilantik serentak sebagai Setiausaha Tetap Kedua MTI.
Setiausaha Tetap (Pembangunan) MTI, Dr Beh Swan Gin, pula akan dilantik semula sebagai Setiausaha Tetap MTI.
Encik Lim, 48 tahun, menceburi kerjaya dalam perkhidmatan awam sejak 2000 dan telah menjawat pelbagai pelantikan dalam beberapa kementerian, termasuk sebagai ketua setiausaha sulit mantan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, dari 2011 hingga 2014.
Pada 2014, beliau dilantik sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) bekas Penguasa Pembangunan Media (MDA).
Antaranya, beliau menerajui usaha mengawal selia dan membangunkan industri media dan mengetuai penggabungan MDA dengan Penguasa Pembangunan Infokom untuk membentuk Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA).
Encik Lim kemudian dilantik Setiausaha Tetap Kedua Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) (kini Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital atau MDDI) pada 2016 dan seterusnya Setiausaha Tetap MTI pada 2019.
Pada 2023, beliau dilantik sebagai Setiausaha Tetap (Dasar) MTI.
Di MTI, beliau antara lain menerajui kementerian itu dalam membangunkan langkah sokongan buat perniagaan semasa pandemik Covid-19 dan memainkan peranan penting dalam pemulihan ekonomi pascapandemik.
Atas sumbangan beliau kepada perkhidmatan awam, Encik Lim dianugerahi Pingat Pentadbiran Awam (Emas) pada 2020.
Mengucapkan terima kasih atas sumbangan beliau, Menteri Bertanggungjawab bagi Perkhidmatan Awam, Encik Chan Chun Sing, berkata:
“Saya ingin merakamkan penghargaan kami atas kepimpinan dan sumbangan cemerlang beliau kepada Perkhidmatan Awam.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg