Topik diikuti
Pergi ke BHkuPanel penilai: Cemerlang dalam sukan, bidang niaga jadi obor cetus inspirasi
Panel penilai: Cemerlang dalam sukan, bidang niaga jadi obor cetus inspirasi
Kekuatan.
Itulah sifat utama yang terpateri dalam diri kededua pemenang Anugerah Jauhari dan Anugerah Jauhari Harapan Berita Harian (BH) 2026, Farhanna Farid dan Encik Nabill Shukry Johari.
Malah, kekuatan mereka itu telah menjadi pemangkin besar bagi mencapai kecemerlangan dalam bidang masing-masing, baik dalam sukan powerlifting mahupun bidang keusahawanan.
Sempena Anugerah Jauhari edisi ke-28, panel penilai telah menyerlahkan bagaimana kejayaan kededua pemenang itu bukan sahaja menjadi kebanggaan buat masyarakat Melayu, malah, menjadi inspirasi yang wajar diteladani oleh golongan muda di Singapura hari ini.
Barisan panel penilai tersebut diterajui mantan Menteri Negara Kanan (Ehwal Luar) yang juga seorang diplomat, Encik Zainul Abidin Rasheed; dan Editor BH, Encik Nazry Mokhtar; serta anggota lain termasuk Naib Provos Bersekutu (Pembelajaran Melibatkan Masyarakat) dan Profesor Madya Kelompok Perniagaan, Perhubungan dan Rekaan di Institut Teknologi Singapura (SIT), Dr Intan Azura Mokhtar; Zamil Utama Iseas-Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat; Ahli Lembaga Institut Timur Tengah di Universiti Nasional Singapura (NUS), Encik Fazlur Rahman Kamsani; serta Ketua Perbankan Islam Maybank Singapura, Encik Sazzali Sabandi.
Bagi Farhanna, 34 tahun, kehebatan beliau sebagai seorang powerlifter telah menyinari pentas antarabangsa.
Sewaktu di Pertandingan Kejohanan Angkat Kuasa Klasik Terbuka Dunia di Lithuania pada Jun, beliau telah mencatat rekod dunia ke-14 buat dirinya menerusi angkatan deadlift seberat 220.5 kilogram (kg) bagi kategori wanita 52 kg.
Beliau turut mencatatkan angkatan squat seberat 145 kg dan ‘bench press’ seberat 72.5 kg, sekali gus menduduki tempat kelima secara keseluruhan dengan jumlah angkatan 438 kg.
Justeru, menurut Encik Nazry, kejayaan Farhanna di pentas dunia itu menjadi titik terpenting yang melayakkan beliau menjadi penerima Anugerah Jauhari 2026.
“Panel juri memilih Farhana atas pencapaian luar biasa beliau di persada dunia.
“Ini termasuk kejayaan memecahkan rekod deadlift dunia bukan sekali tetapi beberapa kali.
“Kejayaan ini bukan sahaja mengharumkan nama negara malah membuktikan masyarakat Singapura kian bersedia meraikan kecemerlangan dalam pelbagai bidang,” kata beliau.
Bagai seorang ‘Jauhari’ yang mengenal manikamnya, Farhanna bukan sahaja menjadi lambang kekuatan wanita yang telah mengharumkan nama dalam sukan powerlifting di peringkat antarabangsa.
Malah, beliau telah terbukti menjadi pemimpin yang mampu mendorong sekali gus membentuk generasi muda agar dapat mengorak langkah menuju kecemerlangan dalam bidang yang sama.
Mengulas tentang peranan Farhanna sebagai seorang jurulatih powerlifter yang telah menarik ramai lagi wanita agar menceburi sukan itu, Encik Zainul berkata:
“Pemenang anugerah tahun ini (2026) memang luar biasa.
“Farhanna seorang ahli sukan wanita yang telah berjaya di peringkat antarabangsa.
“Pada masa yang sama, beliau juga menjadi seorang tokoh yang dapat membantu, membuat latihan dan membimbing anak-anak muda kita yang ingin mencapai kejayaan dalam bidang yang sama.”
Turut menzahirkan kekuatan yang serupa tetapi dalam medan berbeza ialah Encik Nabill, yang merupakan pengasas bersama syarikat ‘Cheekies’ – jenama makanan tempatan yang menawarkan pilihan hidangan sihat termasuk ayam perap dan daging kambing.
Bagi usahawan muda berusia 29 tahun itu, perjalanan beliau dalam bidang perniagaan itu bertitik daripada permulaan yang berliku lagi mencabar.
Berbekalkan wang simpanan sebanyak $1,000 sahaja sambil menetap di sebuah rumah sewa bersama keluarganya, beliau telah berjaya melancarkan jenama makanan, Cheekies, pada 2021.
Dengan kecekalan dan semangat waja, Encik Nabill bertungkus lumus menjalankan perniagaannya sambil mengimbangi masa buat menjalani pengajian ijazah Sarjana Muda Pemasaran secara sambilan di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).
Berkat keutuhan jiwanya, hari ini, beliau berjaya membawa jenama Cheekies menjadi sebuah perusahaan komersial yang berkembang maju dengan beroperasi menerusi beberapa dapur profesional serta sebuah gudang, menghasilkan sehingga 500 kg hidangan sedia diperap setiap minggu.
Dengan limpahan rezeki itu, ia telah dapat memberikan kestabilan kewangan serta mengizinkan beliau untuk mendapatkan sebuah rumah tetap bagi diri dan keluarganya.
Merenung akan kejayaan Encik Nabill, Encik Fazlur menyifatkan anak muda itu sebagai sosok teladan bagi golongan belia dalam masyarakat bagi mencapai kecemerlangan yang menyeluruh.
“Walaupun berdepan dengan rintangan hidup, Nabill tetap memperjuangkan dua perkara.
“Pertama, syarikat makanan sihat Cheekies yang menawarkan sumber protein yang baik hingga mendapat permintaan yang begitu besar.
“Kedua, beliau tetap mencari peluang untuk meningkatkan diri dari sudut pelajaran di mana beliau telah menyambung pengajian di universiti sambil terus mengembangkan perniagaannya.
“Dalam ekonomi gig hari ini, kita melihat semakin ramai golongan muda kita yang berminat meneroka bidang keusahawanan dan perniagaan.
“Justeru anak muda yang cemerlang seperti Nabill akan terus menjadi contoh kepada masyarakat khususnya golongan muda, bukan sahaja bagi mencapai kejayaan diri, malah dalam menyumbang kembali kepada masyarakat juga melalui perniagaannya,” kata Encik Fazlur.
Bagi edisi ke-28, Anugerah Jauhari BH 2026 dianjurkan oleh BH dengan sokongan Maybank Singapura selaku penaja utama.
Justeru, buat julung-julung kalinya, Anugerah Jauhari BH memperkenalkan satu lagi anugerah baharu iaitu Anugerah BH-Maybank Perkasa 2026.
Bertunas daripada istilah ‘memperkasakan’, anugerah perkasa itu mempamerkan kisah mobiliti sosial, tentang individu yang telah meningkatkan mutu kehidupan mereka melalui pendidikan, kerjaya, perniagaan mahupun secara berdikari.
Dua pemenang pertama yang telah menerima anugerah tersebut ialah Cik Siti Nurhumaira Azman, 26 tahun; dan Cik Elizabeth Neo Ying Ying, 37 tahun.
Mengulas tentang kepentingan anugerah itu, Ketua Perbankan Islam Maybank Singapura, Encik Sazzali Sabandi, berkata ia menjadi satu wadah bagi masyarakat untuk meraikan ‘wira senyap’ yang telah berjaya mengharungi cabaran dalam kehidupan mereka.
“Anugerah ini menjadi satu lambang harapan bahawa golongan yang mempunyai latar belakang susah dan berjaya mengatasinya dilihat dan didengari serta mempunyai pengiktirafan khusus buat mereka.
“Setiap orang mempunyai cabaran kehidupan harian yang berbeza. Jadi, ia penting bagi kami untuk mengadakan anugerah ini kerana kami bermisi untuk memanusiakan perkhidmatan kewangan.
“Justeru, ia bukan sahaja membantu mereka menyusuri perjalanan kewangan mereka, malah, ia turut mengizinkan mereka untuk mengemudi kehidupan buat diri mereka serta masyarakat sekeliling,” kata beliau.
Anugerah ini turut mendapat sokongan Persatuan Bank di Singapura (ABS) sebagai penaja bersama, manakala AMP Singapura dan Dana Amanah Tabung Amal Aidilfitri (TAA) yang bertindak sebagai rakan masyarakat.