Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pemimpin harus lihat pada masyarakat, manfaatkan sumber

Persidangan ICCOS hari pertama tampilkan empat perbincangan panel, dibarisi anggota panel tempatan dan luar negara
Oct 14, 2024 | 9:19 PM
Antara topik yang dibincangkan pada perbincangan panel ialah mengenai Kepimpinan Perwakilan dan Peningkatan Sosial dan Pemberdayaan. 
Antara topik yang dibincangkan pada perbincangan panel ialah mengenai Kepimpinan Perwakilan dan Peningkatan Sosial dan Pemberdayaan.  - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Penting bagi masyarakat mengambil tanggungjawab ke atas masalah mereka dan memperkukuh kepimpinan dari dalam, ujar Presiden Pusat Islam dan Demokrasi Filipina, Cik Amina Rasul-Bernardo.

Beliau menekankan bahawa mereka harus berusaha menyelesaikan masalah sendiri daripada hanya bergantung pada pihak luar seperti presiden atau gabenor wilayah.

Menurutnya, ini akan memperkasakan masyarakat untuk menjadi lebih berdaya tahan dan berdikari dalam menghadapi cabaran.

Beliau mengatakan demikian di salah satu perbincangan panel bagi topik Kepimpinan Perwakilan di Persidangan Antarabangsa mengenai Masyarakat Gemilang (ICCOS) yang berlangsung di Ekspo dan Konvensyen Marina Bay Sands pada 14 Oktober.

Bertemakan “Memberi Inspirasi Pemimpin Masa Depan: Membina Kepercayaan, Memperkasakan Masyarakat” persidangan dua hari yang dianjurkan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) itu memberi tumpuan kepada peranan pemimpin masyarakat masa kini dan masa depan dalam membangunkan masyarakat Muslim yang berjaya.

Persidangan hari pertama itu menampilkan empat perbincangan panel yang dibarisi oleh anggota panel tempatan dan luar negara.

Menghuraikan mengenai topik Kepimpinan Wakil, Cik Amina, yang berasal dari Filipina, berkata bahawa sebagai negara minoriti Muslim, mereka perlu menguatkan asas kesatuan dan ini bermula dari dalam masyarakat.

“Kita perlu pemimpin masyarakat kita untuk ke hadapan dan bercakap mengenai mencintai jiran kita.

“Mengapa kita tidak boleh ada lebih banyak perkara seperti ini kerana ia mampu menyatukan masyarakat kita,” tambahnya.

Di panel perbincangan itu, Cik Amina ditemani Presiden LBKM, Dr Syed Harun Alhabsyi; dan konsultan dalam menentang ekstremisme ganas di Perancis, Dr Baptiste Brodard, sebagai anggota panel.

Dr Syed Harun berkongsi sentimen yang sama dengan menambah bahawa pemimpin Muslim, atau pemimpin daripada masyarakat Muslim, perlu melihat diri mereka sebagai pembawa obor bagi masyarakat.

“Mereka membawa pandangan dan kebimbangan masyarakat ke hadapan, terutama golongan minoriti Muslim, serta membawanya ke pentas, untuk menyokong keperluan masyarakat.

Beliau turut menambah bahawa dengan peningkatan dalam perkahwinan antara etnik dan percampuran budaya yang berbeza dalam kalangan Melayu Muslim di Singapura, pemimpin masa depan perlu lebih peka dan fleksibel dalam menghadapi identiti yang pelbagai dalam masyarakat.

Beiau menambah bahawa kepelbagaian itu mampu mempengaruhi cara masyarakat berinteraksi dengan masyarakat yang lain dan lebih besar lagi, dari sudut negara.

“Bukan hanya dari segi kepimpinan politik, bahkan kepimpinan masyarakat dan agama.

“Pemimpin memainkan peranan bukan sahaja antara masyarakat Muslim dan negara, bahkan dalam merangka hubungan dalam masyarakat terhadap latar belakang berbeza dan perbezaan identiti,” ujar Dr Syed Harun.

Berkongsi mengenai cabaran yang dihadapi masyarakat Filipina khususnya di Mindanao, Dr Amina menambah bahawa mereka mempunyai kepelbagaian sosiobudaya yang rumit dengan kumpulan masyarakat yang pelbagai.

Tambahan itu, mereka mempunyai kekurangan sumber untuk menguatkan masyarakat di sana.

Sesuai dengan hal ini, sebuah lagi panel perbincangan merungkai mengenai isu Peningkatan Sosial dan Pemerkasan.

Anggota panel itu terdiri daripada Pengasas Bersama, LaunchGood, Amerika Syarikat, Encik Omar Hamid; Ketua Pegawai Eksekutif, KidSTART Singapore Limited, Cik Rahayu Buang; Pengasas Bersama, Project Hills, Encik Zulhaqem Zulkifli.

Encik Omar berkata sebagai seorang pengasas syarikat yang juga memberi manfaat kepada masyarakat, ia adalah wajar untuk mendapatkan inspirasi dari pelbagai bidang supaya dapat membantu masyarakat Muslim dengan lebih baik.

“Saya sentiasa mengambil inspirasi apabila kami berhubung dengan masyarakat Islam yang bekerja di syarikat-syarikat terbesar di dunia kemudian, mereka membawa bakat itu kembali ke dalam masyarakat Muslim untuk bantu memperbaiki piawaian,” katanya.

Beliau memberi contoh bagaimana syarikat seperti Nike dapat menghasilkan hijab yang mampu memberi manfaat pada masyarakat Muslim walaupun perkara itu boleh dilakukan oleh syarikat Muslim.

“Ia seperti kita memerlukan seseorang dari luar untuk menghasilakn produk untuk kita apabila kita sebenarnya boleh mengatakan, ‘tidak, kita akan bantu saudara perempuan kita secara langsung,

“Pemikiran seperti ini diperlukan,” tambahnya.

Beliau merupakan pemilik bersama bagi LaunchGood, wadah crowdfunding dunia yang direka khusus untuk menyokong dan mengumpul dana bagi projek yang diketuai oleh masyarakat Muslim.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg