Topik diikuti
Pergi ke BHkuPanggilan polis hanya guna nombor khas 6000-0999 bagi banteras penyamaran
Panggilan polis hanya guna nombor khas 6000-0999 bagi banteras penyamaran
Mulai 2 November, orang ramai akan menerima panggilan daripada polis menggunakan hanya satu nombor khas: 6000-0999.
Nombor itu dikhaskan untuk kegunaan polis sahaja, justeru tiada individu atau organisasi di sini yang dapat menggunakannya bagi membuat panggilan telefon.
Langkah itu menangani kesukaran yang dihadapi orang ramai untuk menyemak sama ada panggilan daripada pelbagai nombor, termasuk talian tetap dan telefon bimbit, benar-benar datang daripada polis atau daripada penipu yang menyamar sebagai pegawai polis.
Polis merupakan agensi pemerintah pertama yang melancarkan nombor telefon khas sebegini sebagai sebahagian daripada ‘senjata’ terkini pemerintah menentang penipuan melibatkan mereka yang menyamar sebagai pegawai pemerintah.
Agensi pemerintah lain dijangka menyusul, menurut satu pengumuman pada 1 November oleh polis, Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI), unit Produk Pemerintah Terbuka (OGP) di bawah Agensi Teknologi Pemerintah (GovTech), dan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA).
“Kami mahu orang ramai dapat mengenali panggilan daripada polis dengan lebih mudah,” kata Timbalan Penolong Pesuruhjaya polis (DAC) Rudy Dzulkarnaen, sambil menambah bahawa nombor khas itu memberi orang ramai satu nombor untuk diperhatikan apabila menerima panggilan.
“Namun begitu, kami menggalakkan semua orang agar terus berwaspada, terutama apabila menerima panggilan yang mendakwa datang daripada agensi pemerintah seperti polis,” kata DAC Rudy, yang juga Timbalan Pengarah, Jabatan Penyampaian Perkhidmatan polis.
Penipu terus menyamar sebagai pegawai pemerintah, terutama pegawai polis, untuk memperdaya mangsa supaya memindahkan wang atau mendedahkan maklumat sensitif.
Dari Januari hingga September 2026, terdapat sekurang-kurangnya 3,230 kes penipuan yang dilaporkan melibatkan penyamaran sebagai pegawai pemerintah Singapura, dengan kerugian sekurang-kurangnya $142.5 juta.
Dalam tempoh yang sama pada 2025, terdapat sekurang-kurangnya 3,380 kes yang dilaporkan, dengan kerugian sekurang-kurangnya $182.6 juta.
Polis ialah agensi pemerintah yang paling kerap dijadikan sasaran penyamaran.
Dalam sembilan bulan pertama 2026, terdapat sekurang-kurangnya 1,310 kes yang dilaporkan melibatkan penipu menyamar sebagai pegawai polis, dengan kerugian sekurang-kurangnya $53.3 juta.
Dalam tempoh yang sama pada 2025, terdapat sekurang-kurangnya 1,010 kes yang dilaporkan, dengan jumlah kerugian $61.4 juta.
Bagi menentang penipuan sebegitu, Menteri Negara Kanan (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Goh Pei Ming, mengumumkan pada Februari bahawa polis sedang bekerjasama dengan OGP dan IMDA untuk menyediakan satu nombor tunggal yang mudah dikenali bagi panggilan polis.
Setiap panggilan daripada nombor baharu polis, 6000-0999, akan disusuli Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) yang dihantar daripada ID ‘gov.sg, dengan butiran mengenai cara orang ramai boleh menghubungi polis jika memerlukan bantuan lanjut.
SMS itu akan dihantar walaupun panggilan polis tidak dijawab.
SMS itu biasanya akan menyertakan nama pegawai polis yang membuat panggilan.
Jika pegawai itu memerlukan orang ramai menghubunginya semula, nombor telefonnya akan disertakan dalam mesej tersebut.