Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

S’pura masuki fasa baru bersih tumpahan minyak

Ambil masa 3 bulan lagi sebelum kegiatan laut di pantai dapat disambung semula
Jun 24, 2024 | 6:24 PM
Pekerja khas dari Oil Spill Response Limited (OSRL) membersihkan minyak di bongkah batu di Pantai Siloso dengan air yang dipam dari laut. Pelampung pembendungan diletakkan di sekeliling bongkah batu untuk menghalang minyak tersebut daripada mencemari semula pantai. – Foto MPA.
Pekerja khas dari Oil Spill Response Limited (OSRL) membersihkan minyak di bongkah batu di Pantai Siloso dengan air yang dipam dari laut. Pelampung pembendungan diletakkan di sekeliling bongkah batu untuk menghalang minyak tersebut daripada mencemari semula pantai. – Foto MPA. - Foto MPA

Singapura telah memulakan fasa seterusnya dalam usaha pembersihan perairan dan pantai berikutan tumpahan minyak pada 14 Jun lalu, selepas hampir menyelesaikan penyingkiran minyak pukal pada fasa pertama.

Operasi pembersihan fasa kedua ini termasuk pembersihan sisa-sisa minyak yang lebih sukar yang terperangkap di kawasan seperti di celah-celah batu, prasarana tepi air dan bongkah batu yang tidak mudah diakses dan memerlukan usaha yang besar melibatkan sumber serta peralatan khusus.

Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, berkata tiada tompokan minyak yang diperhatikan di sepanjang Pantai East Coast dan Changi sejak 18 Jun berdasarkan imej satelit dan dron.

Pihak berkuasa kini sudah bersedia ke fasa pembersihan seterusnya yang melibatkan pembersihan yang lebih tertumpu di kawasan yang sukar dicapai di laut dan darat, mengalihkan baki minyak dalam kapal bunker yang terjejas serta bekerjasama dengan negara jiran untuk mengurangkan kesan tumpahan minyak ke atas mereka.

“Fasa seterusnya ini akan mengambil masa dan memerlukan perhatian yang teliti memandangkan kerumitannya dan risiko mencemarkan semula kawasan yang terjejas,” ujar beliau pada sidang media pada 24 Jun.

Sidang media di Pusat Akhbar Nasional itu juga disertai Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu dan Menteri Pembangunan Negara, Encik Desmond Lee.

Encik Chee berkata, respons pantas dan keupayaan agensi yang terlibat dalam pembersihan tumpahan minyak tersebut adalah disebabkan oleh kerjasama silang agensi yang kukuh yang dibina selama ini.

“Kami punyai SOP (prosedur operasi standard) yang mantap dan menjalankan latihan respons tumpahan minyak secara berkala setiap dua tahun, melibatkan agensi pemerintah dan rakan kongsi industri kami.

“Bagi insiden ini, SOP kami berkesan dan agensi, rakan kongsi industri serta sukarelawan kami telah melakukan kerja baik,” katanya.

Beliau berkata, situasi tumpahan minyak yang berlaku itu kekal dinamik dan pihak berkuasa akan terus memantau keadaan di laut termasuk melihat sama ada terdapat minyak yang mungkin timbul semula dan menjejas pantai Singapura.

Fasa kedua pembersihan tumpahan minyak itu akan dilakukan dengan teliti, mengambil kira keadaan di tapak pembersihan termasuk angin, pasang surut air dan arus air laut.

Ini untuk meminimumkan minyak yang terperangkap di bongkah batu daripada mencemari semula laut, pantai dan kawasan yang terdapat biodiversiti.

Satu lagi tugas penting, menurut Encik Chee, ialah mengeluarkan baki minyak bahan api dari kapal Marine Honour yang terjejas.

“MPA (Penguasa Kelautan dan Pelabuhan Singapura) akan menjalankan operasi untuk mengeluarkan baki minyak bahan api daripada kapal yang rosak dengan selamat. Ini perlu dilakukan dengan berhati-hati untuk memastikan tiada lagi tumpahan berlaku.

“Juruukur kami telah menyelesaikan penilaian mereka dan jangkakan operasi pengeluaran minyak itu mengambil masa kira-kira satu hingga dua minggu,” katanya.

Pihak berkuasa Singapura juga sudah berhubung rapat dengan rakan sejawatan mereka dari Malaysia dan Indonesia sejak berlakunya insiden tumpahan minyak itu dan negara ini kekal bersedia untuk membantu mereka, tambah Encik Chee.

Cik Fu pula berkata operasi pembersihan tumpahan minyak itu dijangka mengambil masa tiga bulan sebelum kawasan pantai yang terjejas boleh dibuka semula kepada awam.

Fasa baru ini akan melibatkan kakitangan terlatih menggunakan peralatan yang lebih khusus.

“Bongkah batu tidak dapat diakses semudah pantai dan permukaannya tidak rata. Minyak yang telah memasuki celah-celah batu perlu dihapuskan dengan betul.

“Kami juga mengambil berat memastikan pekerja selamat semasa mereka beroperasi di kawasan berbatu yang mungkin tidak rata, sukar dicapai kerana mereka menghadap ke laut dan sangat licin,” katanya.

Pembersihan sedemikian sudah pun dilakukan di bongkah batu di pantai Siloso pada 21 Jun. Dalam beberapa minggu akan datang, operasi serupa akan dijalankan di Sentosa Cove, Pantai East Coast dan Hutan Simpanan Labrador.

“Kami jangkakan mengambil masa sekitar tiga bulan untuk menyelesaikan fasa pembersihan seterusnya ini, selepas itu kami akan membuka semula kawasan awam yang terjejas secara berperingkat.

“Bagi kawasan yang kurang terjejas, kami berharap dapat membukanya lebih awal. Kami akan menyambung semula aktiviti laut hanya apabila mutu air dinilai selamat,” ujar beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg