Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pantai Palawan di Sentosa dibuka semula kepada orang ramai

Aug 17, 2024 | 2:46 PM
Pantai Palawan adalah yang kedua daripada tiga pantai yang dibuka semula kepada pengunjung.
Pantai Palawan adalah yang kedua daripada tiga pantai yang dibuka semula kepada pengunjung. - Foto ST

Pencinta pantai kini boleh berenang kembali di perairan Pantai Palawan di Sentosa, yang telah ditutup selama kira-kira dua bulan selepas dilanda masalah tumpahan minyak yang besar, lapor The Straits Times.

“Kami teruja mengumumkan bahawa aktiviti air telah disambung semula di Pantai Palawan!

“Kembali menyelami lautan dengan papan kayuh anda, sentuh ombak, atau berjemur di bawah sinaran matahari,” kata Perbadanan Kemajuan Sentosa (SDC) dalam catatan Facebook pada 17 Ogos.

SDC menambah bahawa aktiviti air di Pantai Tanjong akan disambung semula apabila mutu air di pantai ini kembali ke paras normal.

Pantai Palawan ialah pantai kedua daripada tiga pantai di Sentosa yang dibuka semula kepada pengunjung, dengan yang pertama ialah Pantai Siloso, yang mengalu-alukan kedatangan orang ramai pada 3 Ogos lalu.

Aktiviti air di pantai di Sentosa, Kepulauan Selatan dan Taman East Coast ditangguhkan selepas sebuah bot melanggar sebuah kapal lain di Terminal Pasir Panjang pada 14 Jun, mengakibatkan tumpahan minyak yang menjejas sebahagian besar perairan di sekitar Singapura.

Insiden itu melibatkan bot korek Belanda, Vox Maxima, dan kapal bunker Singapura, Marine Honor.

Meskipun kerja-kerja pembersihan pantai di Taman East Coast telah selesai, namun tidak semua aktiviti air telah diberi lampu hijau untuk disambung semula di sana.

Lembaga Taman Negara (NParks) berkata dalam catatan Facebook pada 11 Ogos bahawa pengunjung taman itu boleh menyambung semula sukan laut dengan sentuhan minimum air - seperti berkayak di perairan tersebut.

Tetapi NParks menasihatkan orang ramai supaya tidak berenang dan melakukan kegiatan seperti luncur air dan berdayung sambil berdiri di perairan pantai.

Setiausaha Parlimen Kanan (Kemampanan dan Sekitaran), Encik Baey Yam Keng, sebelum ini berkata berenang hanya boleh dilakukan apabila mutu air mantap.

Sementara itu, berenang dan semua aktiviti air di Pantai Eagle Bay di Pulau Lazarus disambung semula pada 13 Ogos.

Para pengunjung juga boleh menaiki bot percuma antara Sentosa Cove dengan Pulau Lazarus pada hujung minggu, antara 17 Ogos dengan 1 September.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg