Topic followed successfully
Go to BHkuPantau tahap keletihan pemandu, tetapkan jadual realistik, cara lindung pekerja pengangkutan
Pantau tahap keletihan pemandu, tetapkan jadual realistik, cara lindung pekerja pengangkutan
Pantau tahap keletihan pemandu, tetapkan jadual realistik, cara lindung pekerja pengangkutan
Syarikat perlu memberi perhatian kepada pengurusan keletihan pemandu, perancangan perjalanan, serta jadual penghantaran yang realistik supaya tuntutan operasi tidak menggalakkan tingkah laku pemanduan yang tidak selamat, secara tidak sengaja.
Ini merupakan antara langkah untuk melindungi pekerja dalam sektor pengangkutan dan penyimpanan, kongsi Pengerusi Majlis Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (WSH), Encik Abu Bakar Mohd Nor, kepada Berita Harian (BH) pada 2 April.
Sebanyak 36 kes kematian telah dilaporkan pada 2025, menurut laporan tahunan WSH 2025 oleh Kementerian Tenaga Manusia (MOM) yang dikeluarkan pada 25 Mac.
Antara 36 kes kematian itu, enam berpunca daripada kemalangan jalan raya berkaitan kerja, di mana dua daripadanya melibatkan penunggang penghantaran.
“Kita perlu akur bahawa bagi ramai pekerja, khususnya dalam sektor pengangkutan dan penyimpanan, tempat kerja mereka tidak terhad kepada gudang atau tapak kerja sahaja, tetapi turut meliputi jalan raya awam.
“Ini bermakna rangka kerja keselamatan tempat kerja perlu disepadukan dengan lebih rapat bersama dasar keselamatan jalan raya.
“Sebagai contoh, syarikat perlu memberi perhatian kepada pengurusan keletihan pemandu, perancangan perjalanan, serta jadual penghantaran yang realistik supaya tuntutan operasi tidak menggalakkan tingkah laku pemanduan yang tidak selamat, secara tidak sengaja,” ujar Encik Abu Bakar, yang juga pengasas bersama M Kapital Holdings.
Justeru, bagi menangani risiko kenderaan dengan lebih berkesan, MOM dan Majlis WSH akan memberi tumpuan kepada penggunaan teknologi, memperkukuh garis panduan untuk syarikat, serta bekerjasama dengan rakan industri.
Teknologi seperti sistem pemantauan dalam kenderaan dan analitik video dapat dimanfaatkan untuk mengesan tingkah laku pemanduan yang tidak selamat lebih awal, kata Encik Abu Bakar.
Syarikat yang ingin mengguna pakai teknologi itu boleh memanfaatkan geran pemerintah seperti Geran Meningkatkan Daya Penghasilan (PSG) dan Geran Pembangunan Perusahaan (EDG), yang merangkumi keselamatan armada kenderaan dan sistem pemantauan.
Namun, beliau akur adalah mencabar bagi syarikat kecil dan sederhana (SME) untuk meluaskan penggunaan teknologi.
Bagi mengatasi cabaran itu, Majlis WSH sedang meneroka cara untuk menjadikan penyelesaian sebegini lebih mudah diakses.
Ini membabitkan kerjasama industri dengan penyedia teknologi seperti alat pemakai (wearables) untuk memantau keletihan, dron untuk pemeriksaan lebih selamat, dan pengesan Internet of Things (IoT) bagi meningkatkan kesedaran situasi secara masa nyata.
Pengesan IoT ialah alat pengesan pintar yang berhubung dengan rangkaian untuk meningkatkan pemantauan, keselamatan, atau kecekapan operasi.
Di samping itu, Majlis WSH akan terus menyediakan panduan praktikal untuk membantu syarikat meningkatkan keselamatan kenderaan.
Ini termasuk bahan rujukan seperti garis panduan Pengurusan Keselamatan Trafik di Tempat Kerja, nasihat, serta sumber praktikal seperti bahan latihan, poster dan bahan komunikasi bagi mempromosikan pemanduan selamat.
Dalam pada itu, melalui inisiatif seperti program WSH Advocates, Majlis WSH juga akan bekerjasama dengan syarikat utama untuk memperkukuh piawaian keselamatan di seluruh rantaian bekalan mereka, termasuk operasi pengangkutan dan logistik.
Menurut Encik Abu Bakar, keselamatan di tempat kerja bukan lagi sekadar mencegah kemalangan, malah ia merangkumi kesihatan jangka panjang dan kesejahteraan.
Isu seperti kesejahteraan mental, kelesuan, dan penyakit pekerjaan menjadi semakin menyerlah.
“Dengan mengembangkan strategi Majlis WSH ke arah pendekatan yang lebih menyeluruh bagi menangani kededua risiko keselamatan segera dan hasil kesihatan jangka panjang, ia dapat memastikan pekerja dilindungi bukan sahaja pada waktu tertentu, tetapi sepanjang tempoh pekerjaan mereka,” tambah beliau.
Perincian lebih lanjut akan dikongsi semasa Sidang WSH Singapura 2026 yang bakal diadakan pada 23 Julai.

