Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

17 kes kematian di tempat kerja pada separuh pertama 2025

MOM: Kejadian libat kenderaan kekal punca utama pekerja maut
Sep 30, 2025 | 6:34 PM
Kementerian Tenaga Manusia (MOM), kematian di tempat kerja
Kementerian Tenaga Manusia (MOM) berkata kadar kematian di tempat kerja di Singapura bagi separuh pertama 2025 ialah 0.92 bagi setiap 100,000 pekerja. - Foto fail

Seramai 17 pekerja meninggal dunia akibat kecederaan di tempat kerja pada separuh pertama 2025, turun sedikit berbanding 19 kes yang dicatat dalam tempoh sama pada 2024.

Kejadian melibatkan kenderaan kekal sebagai punca utama kematian, sama seperti pada 2024.

Sembilan orang maut dalam kejadian melibatkan kenderaan pada separuh pertama 2025, berbanding 11 kes sepanjang 2024.

Punca utama lain kematian di tempat kerja termasuk terjatuh dari tempat tinggi dan dilanggar objek bergerak, kata Kementerian Tenaga Manusia (MOM) pada 30 September, lapor The Straits Times.

Sektor binaan serta pengangkutan dan penyimpanan menyumbang 65 peratus daripada kematian di tempat kerja dari Januari hingga Jun 2025, menurut data Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (WSH) bagi pertengahan tahun yang dikeluarkan MOM.

Sektor binaan pula mencatat tujuh kematian pada separuh pertama 2025.

Ia meningkat daripada lima kes pada separuh pertama 2024 dan berkurang berbanding 15 kes pada separuh kedua 2024.

Sektor pengangkutan dan penyimpanan pula melaporkan empat kematian dalam enam bulan pertama 2025, berbanding satu kes pada separuh pertama 2024 dan lapan kes pada separuh kedua 2024.

Dalam pada itu, sektor perdagangan borong dan runcit mencatat dua kematian di tempat kerja pada separuh pertama 2025, meningkat daripada satu kes yang dilaporkan sepanjang 2024.

Dua kematian turut dicatat dalam sektor pentadbiran dan khidmat sokongan, yang tidak melaporkan sebarang kematian pada 2024.

MOM berkata kadar kematian di tempat kerja di Singapura bagi separuh pertama 2025 ialah 0.92 bagi setiap 100,000 pekerja.

Angka itu berkurang daripada satu kematian bagi setiap 100,000 pekerja pada separuh pertama 2024, dan 1.2 kematian bagi setiap 100,000 pekerja pada separuh kedua 2024.

Singapura menyasarkan kadar kematian kurang daripada satu bagi setiap 100,000 pekerja menjelang 2028.

Selain itu, 286 kes kecederaan besar dicatat dalam enam bulan pertama 2025, turun daripada 304 kes pada tempoh sama 2024. 

Ia merujuk kepada kecederaan serius yang tidak membawa maut, termasuk yang melibatkan pemotongan sebahagian anggota badan (amputasi), kehilangan daya penglihatan dan kelumpuhan.

Menurut MOM, kadar kecederaan besar jatuh kepada paras terendah iaitu 15.5 kecederaan bagi setiap 100,000 pekerja, mengekalkan trend penurunan yang dilihat sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Tiga punca utama kecederaan besar di tempat kerja ialah tergelincir, tersandung dan jatuh (39 peratus); terjatuh dari tempat tinggi (12 peratus); serta kejadian melibatkan mesin (10 peratus). 

Tiga punca itu secara keseluruhan menyumbang 61 peratus daripada semua kecederaan besar yang dilaporkan dari Januari hingga Jun 2025.

Sektor binaan dan perkilangan menjadi penyumbang utama kecederaan besar, dengan 124 kes – atau 43 peratus – daripada keseluruhan kecederaan besar dilaporkan.

Namun, kedua-dua sektor mencatat penurunan berbanding tempoh sama pada 2024, tambah MOM.

Sektor perkilangan pula melaporkan 55 kecederaan besar dan sifar kematian dalam separuh pertama 2025, menurun berbanding 63 kecederaan besar dan dua kematian pada separuh pertama 2024.

Dalam sektor tersebut, kecederaan besar dan maut daripada kerja membentuk objek daripada logam, menurun daripada 24 kes kepada 17 kes antara separuh pertama 2024 dengan separuh pertama 2025.

MOM berkata penurunan itu didorong oleh pelaksanaan sistem mata demerit pada 2023, serta keperluan keselamatan tambahan yang diperkenal pada Januari 2025 bagi melindungi pekerja yang mengendalikan mesin berisiko tinggi dan habuk mudah terbakar.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg