Topik diikuti
Pergi ke BHkuPAP bidas Jamus Lim: Perubahan dasar perlu selaras, bukan sekadar beralih pendirian
PAP bidas Jamus Lim: Perubahan dasar perlu selaras, bukan sekadar beralih pendirian
Tiada salahnya bagi parti politik mengubah pendirian dasar, namun apa yang menjadi isu adalah sama ada pelbagai pendirian yang diambil sesebuah parti itu membentuk satu pendekatan yang selaras, dan mereka bersedia berdepan dengan keseimbangan dan akibatnya.
Demikian kenyataan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Facebook pada 25 Oktober bagi membalas hujah Anggota Parlimen (AP) Parti Pekerja (WP), Profesor Madya Jamus Lim.
Terdahulu, Dr Lim berkata bahawa penyesuaian dasar mengikut perubahan keadaan menunjukkan kematangan dan kebijaksanaan sesebuah parti, bukannya sikap mengambil kesempatan.
Kenyataan Dr Lim itu dibuat susulan ucapan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, di Persidangan PAP yang menyifatkan WP tidak konsisten serta beralih pendirian mengikut “tiupan angin politik”.
Beliau juga menyifatkan dakwaan Encik Wong itu sebagai sikap “talam dua muka yang sukar dipercayai” sambil menarik perhatian kepada apa yang disifatkannya sebagai pembalikan dasar oleh PAP sejak beberapa tahun lalu.
Dr Lim memberi contoh perubahan dalam pendirian pemerintah berhubung isu-isu seperti kempen berhenti pada dua anak, insurans pengangguran, gaji minimum bagi pekerja tempatan, serta pemansuhan Seksyen 377A yang sebelum ini menjenayahkan hubungan seks sesama lelaki.
Membalas kenyataan Dr Lim menerusi laman Facebook Petir.sg, PAP menegaskan bahawa Dr Lim terlepas pandang bahagian penting ucapan Encik Wong.
Encik Wong telah pun menyatakan keberanian membuat keputusan sukar tidak bermakna pemerintah sentiasa betul, sebaliknya penting untuk mendengar pandangan rakyat dan bersedia berubah jika dasar tidak berkesan.
“Justeru, isunya bukanlah sama ada dasar perlu diubah atau tidak. Isunya adalah sama ada pelbagai pendirian yang diambil oleh sesebuah parti politik membentuk satu pendekatan yang selaras dan bersepadu, serta sama ada parti tersebut bersedia untuk berdepan dengan keseimbangan dan akibat yang menyusul,” kata PAP.
Sebelum ini, Encik Wong menarik perhatian mengenai pendirian berbolak-balik WP berhubung isu perumahan dan tenaga kerja asing. Mengenai perumahan, WP menggesa pembinaan flat HDB dikurangkan pada 2019 semasa harga jualan semula merosot, namun mengkritik kekurangan flat pada 2023 akibat gangguan pembinaan dek Covid-19.
Dalam isu tenaga kerja asing pula, WP pernah menggesa pertumbuhan sifar, tetapi kemudian menggesa kuota dilonggarkan baru-baru ini akibat masalah kekurangan pekerja yang dihadapi syarikat kecil dan sederhana (SME).
PAP berkata sekiranya cadangan WP diikuti, Singapura akan mengetatkan dasar pekerja asing pada 2013 sehingga pertumbuhan sifar sebelum melonggarkannya semula beberapa tahun kemudian.
“Untuk berterus-terang, perubahan dasar boleh mencerminkan bukti baharu, perubahan keadaan atau pengajaran yang diperoleh.
“Namun, perubahan sedemikian mestilah berasaskan rasional yang jelas, dengan keseimbangan serta kesan yang lebih meluas dipertimbangkan dan dijelaskan sewajarnya. Itulah yang dituntut dalam penggubalan dasar yang bertanggungjawab,” kata PAP.