Parti Tindakan Rakyat (PAP) akan menghadapi cabaran daripada Perikatan Demokratik Singapura (SDA) di GRC Pasir Ris-Changi pada Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Permohonan kededua pasukan untuk bertanding di kawasan undi itu diterima pada Hari Penamaan Calon pada 23 April.
Pasukan PAP dianggotai oleh Menteri di Pejabat Perdana Menteri, Cik Indranee Rajah; Menteri Negara Kanan (Pejabat Perdana Menteri), Encik Desmond Tan; Encik Sharael Taha; dan muka baru PAP, Cik Valerie Lee.
Pasukan SDA pula dianggotai Pengerusi SDA, Encik Desmond Lim; Setiausaha Agung SDA, Encik Abu Mohamed; Encik Harminder Pal Singh; pengasas Parti Paling Berharga atau ‘Most Valuable Party’ (MVP), Encik Chia Yun Kai.
GRC Pasir Ris-Changi akan menyerap estet di Pasir Ris dan beberapa bahagian paling timur GRC East Coast seperti estet perumahan Loyang dan Flora.
Ia terdiri daripada 100,639 pengundi – 87,768 dari GRC Pasir Ris-Punggol yang akan ditiadakan lagi, serta 12,871 dari GRC East Coast.
Pada GE2020, pasukan PAP meraih 64.16 peratus undi ketika bertanding di GRC Pasir Ris-Punggol, menewaskan SDA yang mendapat 23.67 peratus undi, dan parti Suara Rakyat (PV) yang mendapat 12.17 peratus undi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg