Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PAP dijangka ganti tiga pengerusi cawangan di GRC Aljunied

Belum jelas sama ada dipindahkan ke kawasan lain; doktor pergigian Faisal Abdul Aziz dijangka gantikan Shamsul Kamar
Feb 12, 2025 | 4:27 PM
PAP dijangka menggantikan tiga daripada lima pengerusi cawangan Aljunied parti itu: (Dari kiri) Encik Kenny Sim, Encik Shamsul Kamar, dan Encik Victor Lye.
PAP dijangka menggantikan tiga daripada lima pengerusi cawangan Aljunied parti itu: (Dari kiri) Encik Kenny Sim, Encik Shamsul Kamar, dan Encik Victor Lye. - Foto PAP

Parti Tindakan Rakyat (PAP) dijangka menggantikan tiga daripada lima pengerusi semasa cawangan Aljunied parti itu: Encik Kenny Sim, Encik Shamsul Kamar, dan Encik Victor Lye, menurut akhbar The Straits Times (ST).

Encik Shamsul dan Encik Lye bertanding di kawasan pilihan raya yang dikuasai Parti Pekerja (WP) itu pada 2015 dan 2020, sementara Encik Sim dilantik sebagai pengerusi cawangan Paya Lebar pada Ogos 2024.

Encik Shamsul dijangka digantikan oleh Dr Faisal Abdul Aziz, manakala kawasan Encik Sim akan diambil alih Encik Daniel Liu.

Dr Adrian Ang, yang kini timbalan pengerusi kawasan Encik Lye, dijangka menggantikan beliau. 

Jika perubahan itu dilaksanakan, ini akan menjadi kali kedua dalam enam bulan PAP membuat perubahan kepimpinan pada peringkat cawangan di Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) itu. 

Setakat ini belum jelas sama ada pengerusi cawangan yang keluar itu akan dipindahkan ke kawasan lain.

Ini bermakna, kecuali Cik Chan Hui Yuh, PAP mungkin meletakkan senarai calon baru sepenuhnya di GRC itu pada Pilihan Raya Umum 2025. 

Pada Ogos 2024, PAP mengumumkan Encik Sim akan menggantikan peguam, Encik Alex Yeo, yang bertanding pada pilihan raya 2020.

Pada masa sama, ia mengumumkan bahawa aktivis kesatuan sekerja, Encik Jagathishwaran Rajo, akan menggantikan karyawan perbankan, Encik Chua Eng Leong, yang juga antara calon pilihan raya 2020.

Encik Shamsul, seorang bekas pendidik, dijangka digantikan oleh Dr Faisal, seorang pengarah klinikal di kumpulan klinik pergigian Nuffield Dental. 

Encik Shamsul menjadi pengerusi cawangan Kaki Bukit dalam GRC itu sejak 2015. 

Dr Faisal dilihat mengiringi dan bergambar di sisi Encik Shamsul semasa sambutan Tahun Baru Cina (CNY). Foto itu dimuat naik oleh Encik Shamsul pada 11 Februari di Facebook.

Dr Faisal juga menghadiri majlis jamuan malam CNY Kaki Bukit pada 8 Februari.

Encik Shamsul Kamar (berbaju lengan biru) bersama karyawan yang kemungkinan menggantikannya, Dr Faisal Abdul Aziz (di sebelah kanannya), pada majlis sambutan Tahun Baru Cina cawangan PAP.
Encik Shamsul Kamar (berbaju lengan biru) bersama karyawan yang kemungkinan menggantikannya, Dr Faisal Abdul Aziz (di sebelah kanannya), pada majlis sambutan Tahun Baru Cina cawangan PAP. - Foto SHAMSUL KAMAR

Pada November 2024, Dr Faisal memuat naik gambar di platform media sosial Threads yang menunjukkan beliau bersama anggota lain daripada cawangan Kaki Bukit pada persidangan parti PAP 2024.

“Saya mempelajari banyak daripada mereka dalam memahami peranan yang dimainkan oleh pelbagai pertubuhan dalam memperjuangkan hak dan menyuarakan pendapat rakyat Singapura,” katanya.

Dr Faisal juga pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kesejahteraan di Kaki Bukit, menurut laman web syarikatnya.

Menurut laman web itu lagi, beliau baru-baru ini dilantik sebagai anggota Lembaga Pengurusan Masjid (LPM) di Masjid Angullia.

Dr Faisal sudah berkahwin dan mempunyai dua anak.

Dalam pada itu, sumber yang dipercayai memberitahu ST Encik Sim, Ketua Eksekutif syarikat peruncit dan pengedar peralatan teknologi maklumat Serial Achieva, akan meletakkan jawatan sebagai pengerusi cawangan Paya Lebar. Beliau menjadi pengerusi cawangan itu sejak Ogos 2024.

Encik Sim akan digantikan oleh Encik Liu, Pengarah Urusan perunding perancangan bandar Morrow Architects and Planners, yang menjadi pengerusi Jawatankuasa Perundingan Rakyat Nee Soon East sejak 2022.

Ketika dihubungi ST, Encik Sim dan Encik Liu enggan mengulas mengenai kemungkinan peralihan tersebut.

Encik Liu adalah anak Dr Liu Thai Ker, yang terkenal sebagai arkitek moden Singapura.

Sementara itu, Encik Lye dijangka digantikan oleh Dr Ang, pengarah di syarikat pengurusan kemudahan dan alam sekitar Chye Thiam Maintenance.

Dr Ang naib pengerusi cawangan Bedok Reservoir-Punggol yang dipimpin Encik Lye, menurut Encik Lye dalam satu hantaran Facebook pada 24 Januari.

Berdasarkan hantaran Facebook itu, Dr Ang kelihatan giat bersembang bersama penduduk di kedai kopi.

Pada awal Januari, Dr Ang menghadiri majlis penyampaian Anugerah Biasiswa dan Edusave di kawasan tersebut, serta membawa warga emas dari Rumah Jagaan Thye Hua Kwan ke kompleks beli-belah Jewel Changi Airport.

Sebelum ini, Dr Ang aktif di kawasan Toa Payoh West-Thomson, yang dipimpin Menteri Pengangkutan, Encik Chee Hong Tat, malah pernah memegang jawatan setiausaha cawangan di kejiranan itu.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg