Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PAP lancar kumpulan baru pertingkat masa depan mampan S’pura

Jan 21, 2025 | 9:38 PM
Majlis pelancaran Kumpulan Tindakan Iklim (CAG) juga menyaksikan satu sesi dialog antara pemimpin kumpulan itu, yang dipengerusikan bersama Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Dr Koh Poh Koon (tengah), dan Anggota Parlimen (AP) GRC Nee Soon, Encik Louis Ng (dua dari kiri), dengan peserta yang terdiri daripada sektor kemampanan dan perniagaan pada 21 Januari.
Majlis pelancaran Kumpulan Tindakan Iklim (CAG) juga menyaksikan satu sesi dialog antara pemimpin kumpulan itu, yang dipengerusikan bersama Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Dr Koh Poh Koon (tengah), dan Anggota Parlimen (AP) GRC Nee Soon, Encik Louis Ng (dua dari kiri), dengan peserta yang terdiri daripada sektor kemampanan dan perniagaan pada 21 Januari. - Foto ST

Parti Tindakan Rakyat (PAP) melancarkan Kumpulan Tindakan Iklim (CAG) terbaru untuk mengukuhkan usaha parti tersebut dalam mencapai masa depan yang mampan untuk Singapura.

Ini termasuk interaksi secara meluas dengan semua sektor dan mendengar pandangan dan kebimbangan rakyat Singapura mengenai perubahan iklim, ujar Penolong Setiausaha Agung PAP, Encik Desmond Lee.

Beliau menambah, CAG akan mengedepankan usul keempat mengenai perubahan iklim di Parlimen, yang akan memberi fokus kepada memperkukuh sokongan bagi syarikat kecil dan sederhana (SME) dalam beralih ke amalan mampan.

Ketika berucap di majlis pelancaran CAG di Akademi Kemampanan Singapura pada 21 Januari, Encik Lee, yang juga Menteri Pembangunan Negara, berkata kumpulan itu akan memperjuangkan usaha menangani usaha tersebut bersama sebagai sebuah negara.

“Tugas segera kami ialah berinteraksi secara meluas dan berkesan dengan semua sektor.

“Memanfaatkan pengetahuan dan perspektif pelbagai pakar dalam bidang tertentu serta aktivis iklim, mendengar pandangan dan kebimbangan rakyat Singapura mengenai perubahan iklim dan memperjuangkan langkah yang perlu kita ambil bersama sebagai sebuah negara,” jelasnya.

Dipengerusikan bersama oleh Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Dr Koh Poh Koon, dan Anggota Parlimen (AP) GRC Nee Soon, Encik Louis Ng, CAG akan distrukturkan kepada lima jawatankuasa kecil, seiring dengan Pelan Hijau Singapura.

Lima jawatankuasa tersebut ialah bandar dalam alam semula jadi, penetapan semula tenaga, ekonomi hijau, masa depan yang berdaya tahan, dan kehidupan mampan.

Ia akan dipimpin oleh lima AP PAP – Cik Nadia Ahmad Samdin bagi jawatankuasa bandar dalam alam semula jadi; Cik Poh Li San bagi jawatankuasa penetapan semula tenaga; Encik Don Wee bagi jawatankuasa ekonomi hijau; Cik Carrie Tan bagi jawatankuasa masa depan yang berdaya tahan; Cik Hany Soh bagi jawatankuasa kehidupan mampan.

Pada Jun 2024, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mengumumkan penubuhan dua kumpulan baru di PAP yang akan memberi fokus kepada Perubahan Iklim dan Kesihatan Mental – dua cabaran besar yang dihadapi Singapura.

Ia juga sejajar dengan usaha penyegaran semula yang dikenali sebagai ‘#refreshPAP’, bertujuan membina matlamat bersama dengan semua rakyat Singapura.

CAG komited untuk mengambil tindakan tegas terhadap perubahan iklim, memperkasakan masyarakat, memperjuangkan reformasi pada dasar dan memupuk kepimpinan pemikiran untuk mencipta perubahan yang bermakna dan berkekalan untuk generasi akan datang.

Mengulas mengenai kumpulan itu, Dr Koh berkata:

“Wadah ini sebenarnya bertujuan menghimpunkan mereka yang prihatin terhadap tindakan iklim.

“Bukan sahaja aktivis parti kami, malah pihak di luar parti, termasuk golongan karyawan, syarikat korporat, yang meminati usaha tersebut dan NGO untuk mempengaruhi dasar serta mencipta perubahan yang kita perlukan di akar umbi.”

Beliau menambah, sebelum ini, pelbagai usaha sudah dijalankan, namun dengan penubuhan kumpulan itu, ia akan memperkukuh segala usaha tersebut.

AP Encik Louis Ng pula berkongsi bahawa CAG sedang menyediakan usul keempat mengenai perubahan iklim di Parlimen pada 2025, yang akan memberi fokus kepada SME.

Bercakap kepada media, Encik Louis berkata sesi perbincangan serta dialog sudah diadakan sejak Jun 2024 bagi usul tersebut, dan dalam pemerhatiannya, terdapat jurang yang besar antara syarikat berbilang negara (MNC) dengan SME.

Menurutnya, MNC sudah peka mengenai perubahan iklim dan laporan iklim, namun perkara itu kurang disedari oleh SME, yang membentuk sebahagian besar masyarakat perniagaan.

Lantas, CAG akan menggesa pemerintah supaya meningkatkan sokongan kepada perniagaan, terutama SME, bagi membantu mereka dalam peralihan hijau serta memastikan peralihan kepada masyarakat rendah karbon dilakukan secara adil dan menyeluruh.

“Jika kita mahu memastikan peralihan yang adil dan menyeluruh, ia mesti merangkumi SME juga.

“Daripada menunggu beberapa tahun lagi sehingga laporan iklim diwajibkan untuk semua, adalah lebih baik kita bersikap proaktif dengan mendekati SME sekarang, membantu mereka bersiap sedia untuk peralihan hijau ini, dan memastikan penyertaan kita dalam perjalanan ini dari awal,” ujar beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg