Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PAP East Coast yakin dapat tawan hati pengundi meski pertarungan sukar

Jangka saingan sengit daripada WP
Apr 23, 2025 | 8:40 PM
Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong (tengah), memperkenalkan pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) GRC East Coast di ibu pejabat PAP di New Upper Changi Road, yang terdiri daripada (dari kiri) Cik Hazlina Abdul Halim, Encik Tan Kiat How, Cik Jessica Tan dan Encik Dinesh Vasu Dash.
Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong (tengah), memperkenalkan pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) GRC East Coast di ibu pejabat PAP di New Upper Changi Road, yang terdiri daripada (dari kiri) Cik Hazlina Abdul Halim, Encik Tan Kiat How, Cik Jessica Tan dan Encik Dinesh Vasu Dash. - Foto ZAOBAO

GRC East Coast sentiasa menjadi kawasan undi yang sukar untuk dipertahankan tetapi pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yakin ia mampu memikat hati pengundi, kata Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong.

Bercakap pada sidang media untuk memperkenalkan barisan calon PAP GRC East Coast secara rasmi, Encik Tong berkata beliau yakin kepelbagaian, kesegaran dan pengalaman berbeza yang dibawa oleh pasukan baru itu akan meletakkannya pada kedudukan yang baik.

“Kami yakin dengan apa yang kami telah sediakan untuk penduduk East Coast. Kami akan terus memberikan keyakinan kepada pengundi bahawa kami wajar mendapat kepercayaan dan keyakinan mereka, dan sudah tentu, akhirnya memenangi undi mereka,” kata Encik Tong.

Encik Tong mengetuai pasukan PAP GRC East Coast yang akan bersaing dengan pasukan Parti Pekerja (WP) yang diketuai oleh veteran parti itu, Encik Yee Jenn Jong.

Anggota lain pasukan PAP itu terdiri daripada Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Pembangunan Negara), Encik Tan Kiat How; Cik Jessica Tan; dan dua muka baru – Encik Dinesh Vasu Dash, 50 tahun, dan Cik Hazlina Abdul Halim, 40 tahun.

Selain Encik Yee, pasukan WP turut merangkumi Encik Nathaniel Koh, 41 tahun, dan tiga muka baru – Cik Paris V. Parameswari, 51 tahun; Encik Sufyan Mikhail Putra, 33 tahun; dan Encik Jasper Kuan, 46 tahun.

Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, yang menyertai politik pada 2011 dan mengetuai pasukan GRC East Coast pada GE2020, telah mengumumkan persaraannya.

Sementara itu, ketika bercakap kepada media di ibu pejabat PAP di New Upper Changi Road, Encik Tong berkata GE2025 akan terus menjadi pilihan raya umum yang sukar untuk pasukan PAP GRC East Coast.

“Saya fikir kehadiran pembangkang telah menjadi satu ciri kekal landskap politik Singapura.

“Lebih banyak pertandingan, lebih banyak perwakilan yang pelbagai (yang diingini)... East Coast sentiasa menjadi (tempat pertaruhan) yang mencabar sepanjang beberapa dekad,” kata Encik Tong.

Menyedari isu seperti ekonomi dan pekerjaan akan menjadi antara kebimbangan utama semasa GE2025, Encik Tong berkata pemerintah amat sedar dan justeru, telah menyediakan beberapa inisiatif untuk membantu penduduk semasa Belanjawan 2025.

Meskipun demikian, Encik Tong berkata pemerintah telah menjangkakan kesukaran yang dihadapi oleh penduduk, dan bersedia untuk melakukan lebih banyak untuk membantu jika perlu.

Memperkenalkan muka baru pasukannya, Encik Tong berkata Cik Hazlina membawa pengalaman berharga dengan usahanya memperjuangkan hak wanita dan pembangunan wanita, manakala Encik Dinesh “amat berupaya menangani operasi besar” ketika berhadapan pandemik Covid-19.

Berkongsi dengan media tentang harapannya, Cik Hazlina berkata beliau ingin membina sebuah negara yang membolehkan setiap warga berhak mendapat peluang yang adil untuk diri mereka, keluarga dan anak-anak mereka.

“East Coast adalah tempat untuk semua, muda dan tua, keluarga dan rakan-rakan. Kami berada di sini untuk menjadikan East Coast lebih baik.

“Kami berdiri di atas bahu gergasi dan ingin meneruskan kerja-kerja yang telah mereka lakukan. Kami telah mendengar cabaran yang dihadapi penduduk, dan kami mahu berusaha menanganinya bersama-sama,” kata Cik Hazlina.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg