Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

SAF semak dasar, susulan peningkatan kes kesihatan mental

Oct 4, 2024 | 2:24 PM
Dr Christopher Cheok, Ahli Lembaga Penasihat Pakar Psikiatri SAF (PSAB), di Paradox Singapore Merchant Court, menghadiri Majlis Makan Malam Sukarelawan Kementerian Pertahanan (Mindef), pada 3 Oktober.
Dr Christopher Cheok, Ahli Lembaga Penasihat Pakar Psikiatri SAF (PSAB), di Paradox Singapore Merchant Court, menghadiri Majlis Makan Malam Sukarelawan Kementerian Pertahanan (Mindef), pada 3 Oktober. - Foto ST

Kes masalah kesihatan mental di kalangan askar dalam Angkatan Bersenjata Singapura (SAF), semakin meningkat.

Ini mencerminkan peningkatan masalah sedemikian di kalangan belia Singapura, secara umum.

Untuk menangani masalah tersebut, pakar psikiatri kanan daripada sektor awam dan swasta sedang berusaha untuk memastikan dasar kesihatan mental SAF dikemas kini.

Antara lain, para sukarelawan ini telah mengesyorkan perubahan kepada klasifikasi perubatan SAF untuk keadaan psikiatri, yang digunakan untuk memastikan askar Singapura sesuai untuk berkhidmat.

Ahli Lembaga Penasihat Pakar Psikiatri (PSAB) SAF, Dr Christopher Cheok, mendedahkan perkara tersebut pada 3 Oktober.

Beliau memetik tinjauan terbaru oleh Institut Kesihatan Mental (IMH), dan Kementerian Kesihatan (MOH), yang mendapati kira-kira satu perempat daripada golongan muda di Singapura menilai diri mereka sebagai mempunyai kesihatan mental yang sangat rendah.

“Oleh kerana kita mengambil sebahagian besar golongan lelaki ke dalam perkhidmatan negara, (statistik ini) juga akan mencerminkan keadaan SAF,” katanya.

Dr Cheok, yang merupakan ketua psikiatri forensik, dan perunding kanan di IMH, merupakan salah seorang daripada 387 sukarelawan yang diiktiraf oleh Kementerian Pertahanan (Mindef) atas sumbangan mereka pada 3 Oktober.

Pada majlis makan malam di Hotel Paradox Singapore Merchant Court, Menteri Pertahanan, Dr Ng Eng Hen berkata, lembaga perubatan Mindef (terdiri dari) PSAB dan Lembaga Penasihat Perubatan, telah membantu SAF memastikan ia mengatur kedudukan askar dengan tepat dan selamat.

Dr Cheok berkata bahawa trend sedemikian adalah sebab SAF perlu menyesuaikan dasar kesihatan mentalnya dari semasa ke semasa, untuk menyesuaikan keadaan masyarakat secara lebih menyeluruh.

“Dengan membantu SAF menyemak dasar mereka, keputusan kami sebagai PSAB sebenarnya memberi kesan kepada beberapa ribu orang sekali gus,” katanya.

Dr Ng berkata bahawa lembaga pengarah ini, serta sukarelawan lain, telah membantu Mindef membina kepercayaan dan keyakinan di kalangan rakyat Singapura terhadap keupayaan SAF untuk mempertahankan mereka, serta memberi khidmat sewajarnya apabila diperlukan.

Bercakap kepada The Straits Times (ST), Dr Cheok menyatakan bahawa banyak perubahan telah dilakukan kepada landskap kesihatan mental dalam SAF sepanjang 10 tahun tempoh perkhidmatannya dalam PSAB.

Satu langkah penting ialah pembangunan Pejabat Kesihatan Mental Mindef/SAF pada 2022, yang mengumpulkan pakar psikiatri, psikologi dan kaunselor di bawah satu bangunan, katanya.

Hasilnya, para askar hari ini mempunyai akses yang lebih baik kepada pelbagai perkhidmatan perubatan dan psikologi, kata Dr Cheok.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg