Parti Tindakan Rakyat (PAP) telah melantik beberapa wajah baru untuk mengambil alih sebagai pengerusi cawangan di empat cawangannya di GRC Aljunied dan Hougang, menjelang pilihan raya umum (GE2025) akan datang
Perubahan itu, yang berkuat kuasa mulai 17 Februari, akan menyaksikan pengarah klinikal dan pakar bedah pergigian di Nuffield Holdings, Dr Faisal Abdul Aziz mengambil alih sebagai pengerusi cawangan Kaki Bukit PAP daripada Encik Shamsul Kamar.
Menurut PAP, Dr Faisal merupakan aktivis parti di Kaki Bukit sejak 2015 dan pernah terlibat dalam penganjuran dialog dengan Biro Ehwal Melayu (MAB) PAP dan sayap pemudanya, PAP Muda.
Beliau juga berkhidmat sebagai Penolong Setiausaha Lembaga Pentadbir Masjid Angullia dan sebagai Ahli Jawatankuasa Penasihat Sekolah Menengah Bedok South, di mana beliau pernah menjalani persekolahannya dahulu.
Dalam satu catatan Facebook pada 13 Februari, Dr Faisal berkata beliau berbesar hati untuk mengambil alih peranan daripada Encik Shamsul, yang disifatkannya sebagai seorang “guru, mentor, dan sahabat yang dikasihi”.
“Saya ingin meluangkan sedikit masa untuk mengucapkan terima kasih yang tulus kepada Encik Shamsul atas dedikasi dan komitmen yang tidak berbelah bagi kepada masyarakat kita sejak 10 tahun lalu.
“Beliau telah berkhidmat di Kaki Bukit dengan penuh kasih sayang dan dedikasi, melaksanakan banyak inisiatif untuk manfaat penduduk kita.
“Dalam beberapa minggu akan datang, saya akan berkongsi rancangan dan visi saya untuk masyarakat kami,” kata Dr Faisal.
Perubahan lain termasuk perlantikan Dr Adrian Ang, yang merupakan Pengarah di Chye Thiam Maintenance Pte Ltd dan naib pengerusi semasa cawangan Bedok Reservoir-Punggol, mengambil alih Encik Victor Lye, sebagai pengerusi cawangan baru.
Peguam dan mantan Timbalan Pendakwa Raya di Jabatan Peguam Negara, Encik Marshall Lim akan menggantikan usahawan, Encik Jackson Lam sebagai pengerusi cawangan PAP di Hougang.
Encik Daniel Liu, yang merupakan pengarah urusan Morrow, sebuah firma perancangan bandar dan seni bina, akan mengambil alih sebagai pengerusi cawangan daripada Encik Kenny Sim di cawangan Paya Lebar PAP.
“Parti juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pengerusi cawangan Victor, Kenny, Shamsul, dan Jackson yang telah bersara, atas perkhidmatan mereka kepada penduduk, di samping mereka terus berkhidmat di tempat lain dalam parti,” kata PAP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg