Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

PAP menang tanpa tanding di GRC Marine Parade-Braddell Heights

Kali pertama sejak 2011 PAP menang tanpa bertanding; beberapa parti pembangkang lahir rasa kecewa
Apr 23, 2025 | 8:10 PM
GE2025, Pilihan Raya Umum 2025, GRC, Marine Parade-Braddell Heights, Dr Faishal Ibrahim, Seah Kian Peng, Tin Pei Ling
Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang terdiri daripada (dari kiri) Encik Goh Pei Ming; Cik Tin Pei Ling; Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; Speaker Parlimen, Encik Seah Kian Peng; dan Cik Diana Pang, menang tanpa bertanding bagi GRC Marine Parade-Braddell Heights pada 23 April. - Foto ZAOBAO

Parti Tindakan Rakyat (PAP) memenangi kawasan undi pertamanya bagi Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025) apabila tiada parti pembangkang yang hadir untuk bertanding di GRC Marine Parade-Braddell Heights pada 23 April.

Pasukan PAP yang terdiri daripada Speaker Parlimen, Encik Seah Kian Peng; Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara), Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim; Cik Tin Pei Ling; serta dua muka baru PAP, Cik Diana Pang dan Encik Goh Pei Ming, akan menjadi sebahagian daripada Parlimen ke-15 Singapura.

Ini adalah kali pertama sejak 2011, PAP menang tanpa bertanding. Pada tahun itu, PAP memenangi GRC Tanjong Pagar tanpa bertanding.

Sebelum ini, pasukan PAP di GRC Marine Parade-Braddell Heights dijangka akan menghadapi tentangan daripada pasukan Parti Pekerja (WP) yang telah bertanding di GRC Marine Parade pada 2020 dan memperoleh 42.26 peratus undi – kalah kepada PAP yang memenangi 57.74 peratus undi.

Tanda-tanda WP tidak akan bertanding mula tercetus sekitar 11.45 pagi apabila wartawan di Sekolah Kong Hwa – salah satu daripada sembilan Pusat Penamaan Calon – menyedari WP belum tiba untuk menyerahkan dokumen mereka.

Sumber dalaman pusat tersebut memberitahu Berita Harian (BH) pada 11.54 pagi:

“Hanya tinggal beberapa minit sahaja, walaupun mereka datang, tidak cukup masa untuk mereka menyerahkan borang mereka. Sah walkover (menang tanpa bertanding).”

Kemenangan tanpa bertanding itu disahkan apabila tiada pasukan daripada WP muncul pada 12 tengah hari untuk mendaftar sebagai calon untuk GE2025.

Dalam satu kejadian yang tidak dijangka, Menteri Tenaga Manusia, Dr Tan See Leng, yang juga menteri utama bagi pasukan PAP di GRC Marine Parade-Braddell Heights, telah dipindahkan ke GRC Chua Chu Kang pada 23 April.

Apabila ditanya sama ada beliau terkejut pasukannya menang tanpa bertanding, Encik Seah berkata: “Ya, kerana sudah lama perkara ini tidak berlaku.”

“Tetapi walkover atau tidak, hati dan misi kami, dan matlamat kami tetap tidak berubah, iaitu melakukan yang terbaik dan berkhidmat untuk menjadikan kehidupan lebih baik untuk penduduk,” kata Encik Seah.

Beberapa parti pembangkang meluahkan rasa kecewa terhadap keputusan tidak dijangka di Marine Parade-Braddell Heights GRC.

Setiausaha Agung Parti Kemajuan Singapura (PSP), Encik Leong Mun Wai berkata:

“PSP percaya kita seharusnya memberi warga Singapura peluang untuk mengalami proses demokratik... kita tidak seharusnya mempunyai walkover. Dan itu sedikit mengecewakan... tapi saya jangka ada sebab munasabah mengapa itu berlaku.”

Setiausaha Agung PPP, Encik Goh Meng Seng berkata beliau teramat kecewa dan berasa marah mendengar berita itu.

Pasukan PAP itu tidak mengesahkan siapa di antara mereka yang akan mengetuai pasukan GRC Marine Parade-Braddell Heights, walaupun wartawan mengulangi soalan yang sama lebih daripada tiga kali.

Dalam sidang media berasingan pada hari yang sama, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mengesahkan kepada media bahawa Encik Seah akan menjadi menteri utama untuk GRC tersebut, sekiranya pasukan PAP itu menang pada GE2025.

Meskipun PAP menang tanpa bertanding, Dr Faishal berkata pasukannya akan terus bekerja keras untuk penduduk dan menggunakan masa beberapa hari ini untuk menyokong calon PAP yang bertanding di kawasan lain.

“Kami akan bekerja lebih keras untuk meningkatkan tahap kehidupan penduduk-penduduk di sini. Kami tidak mengambil ringan. Tumpuan kami adalah penduduk-penduduk.

“Walaupun kami menang tanpa bertanding, kami akan terus bekerja keras untuk menolong rakan-rakan kami di serata Singapura supaya PAP dan Perdana Menteri Lawrence Wong mendapat mandat yang kuat,” kata Dr Faishal.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg